Nabi SAW menyampaikan satu berita yang sangat digeruni semenjak 1400 tahun lalu. Berita mengandungi peringatan tentang penyakit yang akan menimpa umatnya pada akhir zaman.

Beliau bersabda: “Hampir saja umat (yang kafir dan sesat, benci kepada Islam) mengerumuni kamu dari segenap penjuru, sebagaimana mereka berkumpul memakan makanan dalam piring“. Kemudian seorang bertanya, “Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada ketika itu sedikit?” Rasulullah berkata, “Bahkan kamu pada ketika itu ramai, akan tetapi kamu semua adalah ibarat sampah yang dibawa oleh air hujan. ALLAH akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kamu dan akan menimpakan dalam hati kamu Wahn’. Kemudian seseorang bertanya, “Apa itu ‘wahn’?” Rasulullah berkata, “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Ahmad dan Abu Daud).

Beginilah penyakit dan musibah yang akan melanda umat Islam. Kesan daripada penyakit ini akan menjauhkan kita daripada agama dan melemahkan gerakan dan kekuatan umat Islam yang boleh menyumbang kepada kejatuhan Islam. Bayangkan apa akan terjadi kepada umat Islam jika kecintaan kepada kemuliaan pangkat, kuasa dan harta benda telah menguasai diri?. Maka sudah pasti seseorang itu akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkannya dengan apa cara sekalipun sama ada halal atau haram meskipun saling berbunuhan demi mendapatkan kedudukan pangkat, kuasa mahupun harta benda.

Kita harus insaf bahawa kemuliaan itu adalah milik ALLAH semata-mata dan diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki, firman-NYA dalam surah al-Fathir ayat 10: “Barang siapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi ALLAH-lah kemuliaan itu semuanya.” Dalam surah al-An’am ayat 165: “Dan DIAlah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-NYA kepadamu. Sesungguhnya TUHANmu amat cepat seksaan-NYA dan sesungguhnya DIA Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Untuk mengubati penyakit ini, usaha tasfiyah (penyucian) perlu dilaksanakan dengan memberikan ilmu pengetahuan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya orang yang beriman meyakini bahawa dua sumber tersebut merupakan ubat bagi penyakit yang timbul dalam hati manusia. Dengan memberikan kefahaman yang benar, diharapkan tindakan dan niat yang benar juga akan datang seiring.

Berbincang soal kefahaman, saya ingin menyentuh sedikit isu kefahaman mengenai hukum Islam. Ada sebahagian orang mendakwa hukum Islam adalah hudud semata-mata. Perkara ini jelas menunjukkan kefahaman umat Islam sendiri mengenai hukum Islam masih kabur.

Menurut Syeikh Abdul Wahab Khallaf salah seorang tokoh ushul fiqh, hukum Islam itu sangat luas, tidak hanya tertumpu kepada hudud sahaja. Sebenarnya perkara yang menjadi teras adalah hukum aqidah, syariat dan akhlak. Daripada hukum syariat dipecahkan pula antaranya kepada ibadah dan muamalat. Seterusnya antara pecahan hukum muamalat pula adalah hukum jual beli, nikah kahwin dan juga jenayah. Di sinilah letak duduknya hukum hudud. Kedudukan ini tidak bermaksud hukum hudud itu kecil, namun dari segi urutannya, ia bukan terletak di tempat pertama dalam hukum Islam. Oleh kerana kejahilan dan salah faham mengenai hukum Islam, mengakibatkan tuduhan dan tohmahan dilemparkan secara membuta tuli kepada pihak yang lain.

Bagi menangani salah faham ini, pihak kerajaan khususnya perlu mengambil inisiatif melaksanakan program tasfiyah dengan mengadakan pengisian ilmu agar hukum Islam tidak disalah faham dan disalah tafsirkan lagi. Maka, langkah untuk mendidik (tarbiah) masyarakat dengan ajaran dan nilai-nilai murni agama perlu digerakkan.

Dalam proses memberi didikan, ia memerlukan masa dan juga kesabaran yang tinggi. Nabi Nuh AS sendiri berdakwah kepada ahli keluarganya selama 950 tahun dan hanya segelintir sahaja menerima dakwah beliau. Ini tidak bermakna beliau gagal, kerana ALLAH sering kali menjadikan Nabi Nuh AS sebagai contoh teladan yang dirakamkan kisah-kisah beliau di dalam al-Quran.

Justeru menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan satu modul yang standard, sesuai dan khusus untuk digunakan dalam melaksanakan kursus kepada pelajar dalam bidang agama khususnya kerana mereka inilah antara aset yang bakal menjadi pendidik dan pendakwah kepada generasi muda dan masyarakat di Malaysia.