SEBUAH pertubuhan dikenali Geng Supik Hitam yang dianggotai kira-kira 30 lelaki dan perempuan dilihat ‘menggempur’ dua lokasi di sekitar daerah Besut dan Setiu.

Kumpulan diketuai seorang ahli perniagaan, Mohd Hafizuddin Amalin, 35, sering dilihat berpakaian kemeja T hitam di lokasi kawasan tumpuan utama pelancong di dua daerah tersebut.

Mereka kini bukan sahaja aktif di darat tetapi bergiat aktif di dua pulau peranginan daerah ini iaitu Pulau Perhentian dan Rhu termasuk kawasan pergunungan.

Bagaimanapun menurut  Mohd  Hafizuddin, geng ini  bukan sebuah kumpulan kongsi gelap atau ekstrem sebaliknya kumpulan sukarelawan yang menjalankan kerja amal mengutip sampah di kawasan pelancongan utama.

Menurutnya, ia ditubuhkan sejak 2016 dan mempunyai 30 ahli berumur 17 hingga 50 tahun aktif melakukan kerja sukarela itu terutama hujung minggu.

“Ahli kami terdiri daripada pelbagai profesion seperti guru, ahli perniagaan, kerja swasta dan bekerja sendiri,” katanya.

Sampah yang berjaya dipungut oleh Geng Supik Hitam di Pulau Rhu

Tubuh kumpulan kerana kesedaran

Menurutnya, pertubuhan ini diwujudkan atas kesedaran untuk memungut sampah yang ditinggalkan segelintir pengunjung di destinasi pelancongan utama di daerah ini.

“Pada masa sama, kami dapat berekreasi dan melakukan aktiviti menyihatkan seperti memanjat Bukit Keluang yang kini popular bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi sehingga ke Kelantan,” katanya.

Mohd Hafizuddin berkata, asal penubuhan geng ini adalah untuk membantu memungut sampah di sepanjang trek sehingga ke puncak Bukit Keluang.

“Bertitik tolak daripada inilah timbul ilham untuk menubuhkan Geng Supik Hitam di sini dan kami hampir setiap hujung minggu mendaki Bukit Keluang sambil membawa supik (plastik) hitam untuk mengutip sampah,” katanya.

Lazimnya, sebanyak tiga hingga empat plastik hitam sampah sarap dapat dikutip di laluan dan puncak Bukit Keluang setiap kali mereka mengadakan program.

Beliau yang juga anggota Sukarelawan Polis Ibu Pejabat Polis itu berkata, waktu  mendaki tidak menentu sehinggakan ada ketikanya mereka mendaki pada waktu malam kerana ketika itu sudah tidak ada pengunjung dan sampah dapat dikutip dengan maksimum.

Mendaki Bukit Keluang pada waktu malam untuk beriadah sambil memungut sampah

Daki Gunung Sarut

Menurutnya, selain lokasi tersebut, gengnya sering meronda sepanjang pantai Bukit Keluang demi tujuan sama.

“Kami pergi lebih jauh dan mencabar apabila seramai 10 ahli geng ini mendaki Gunung Sarut, Setiu yang mempunyai ketinggian 1,229 meter dari aras laut bulan lepas.

“Kami bergabung dengan kumpulan pendaki lain dan dapat membawa turun dua plastik sampah kebanyakannya botol air plastik dan tin makanan segera yang ditinggalkan pendaki lain,” katanya.

Beliau memberitahu, kini gengnya telah melakukan aktiviti sama di dua pulau terkenal di daerah ini iaitu Pulau Rhu dan Perhentian.

Menurutnya, minggu lepas seramai 24 ahlinya mendayung 12 kayak dari Pantai Bukit Keluang ke Pulau Rhu sejauh 1.5 kilometer atau 0.8 batu nautika.

“Di pulau itu kami memungut sampah sarap seperti bekas plastik makanan dan minuman yang ditinggalkan pengunjung,” katanya.

Katanya, ada sampah yang dikutip dan ditanam di kawasan sama bergantung kepada jenis sampah.

Bergabung dengan sukarelawan lain termasuk polis memungut sampah di perkampungan Pulau Perhentian

Keluar belanja sendiri

Terbaharu ahlinya dijemput IPD Besut menyertai program membersihkan pantai di perkampungan Pulau Perhentian sempena Program Go Green anjuran IPD itu.

Kata beliau, kumpulan ini memberi khidmat secara sukarela malah mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri seperti membeli plastik sampah, membiayai kos pengangkutan selain makan dan minum.

“Matlamat kami untuk mendidik masyarakat tidak membuang sampah sesuka hati dan pastikan kawasan pelancongan sentiasa bersih sekali gus menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Mohd Hafizuddin berkata, usaha mereka juga dapat membantu pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kebersihan di lokasi tumpuan utama pengunjung setempat dan pelancong.