DEK terpesona dengan pementasan opera Cina, menumbuhkan minat Chua Pei Yong terhadap bidang seni dan kebudayaan sedari kecil.

Tambahan pula, anak sulung daripada empat beradik ini turut mendapat galakan dan sokongan penuh daripada ibu, Yong Kim Chong dan bapanya, Chua Kee Soon.

Berkongsi minatnya, cerita Pei Yong, beliau terpesona dengan budaya dan pementasan opera Cina terutama pada perayaan Bulan Hantu Lapar

Katanya, pementasan opera Cina berasal dari kisah rakyat dan ketuhanan seperti Perjalanan ke Barat.

“Air muka, lirikan mata dan pergerakan mereka seolah-olah membawa saya menghayati ceritanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Biar ia bersifat dongeng, wanita berusia 27 tahun ini percaya setiap cerita menyelitkan pelbagai pengajaran dan menerapkan falsafah masyarakat Tionghua beribu zaman lamanya.

“Ibu bapa saya juga banyak mendendangkan lagu kanak-kanak dan lagu rakyat etnik Hokkien semasa kecil.

“Contohnya, lagu Ti Oo Oo yang bermaksud langit sudah gelap. Lagu itu mengisahkan datuk dan nenek yang bertelagah mengenai cara memasak keladi dan akhirnya periuk mereka pecah berderai,” katanya.

Susulan itu, Pei Yong nekad mengarang mengenai kaumnya  dan secara tidak langsung berkongsi latar masyarakatnya.

“Lagipun, saya dapati karya bahasa Melayu berlatarkan budaya bukan Melayu semakin sedikit di pasaran,” katanya.

Pun begitu, pemegang Diploma Farmasi ini tidak menafikan cabaran utama yang perlu dihadapi ialah penerimaan pembaca Melayu.

Tambahan pula, golongan ini sudah berada di zon selesa dan tidak cuba memahami dengan lebih mendalam budaya kaum lain.

Beliau turut memberi contoh ramai rakannya dari kaum lain masih tidak tahu tanda perkabungan yang dipakai pada sebelah kanan menandakan individu tersebut telah kehilangan saudara sebelah ibu dan sebaliknya,” katanya.

Bagi Pei Yong, pemahaman konteks budaya kaum lain akan membantu memahami budaya dan falsafah yang diamalkan kaum lain dan secara tidak langsung, boleh menambah ilmu pengetahuan.

Bagaimanapun, anak kelahiran Klang, Selangor ini tidak menolak kekurangan penulis bukan Melayu antara faktor utamanya.

“Pada hemat saya, kita boleh terus mempromosikan budaya diri dalam penulisan selain menerapkan amalan kaum lain dan hubungan perpaduan yang wujud di negara kita.

“Jadi, saya harus mengubah tanggapan tersebut dengan cuba menulis karya informatif kepada semua lapisan pembaca,” katanya.

Pei Yong gemar membawa latar masyarakat Tionghua atau masyarakat pekerja di hospital terutama ahli farmasi menerusi pelbagai karyanya yang bergenre puisi, sajak, cerpen dan novelet.

Antara karyanya ialah Kalam Kalbu (Antologi Puisi Simfoni Gagak Rimba; Di Balik Cermin (Antologi Puisi Hari Sastera ke-17 Menata Zaman) dan Rumpun Nusantara & Runtuhkan Tembok Itu (Antologi Sajak Ziarah Karyawan).

Pencinta seni ini juga berharap karyanya memberi inspirasi selain mendapat penghargaan dari orang muda.

Usah agungkan budaya luar

Terus menulis, Pei Yong menganggap persaingan juga boleh menyemarakkan warna-warni industri seni dan budaya.

“Kita sentiasa bersaing dalam kehidupan seharian. Jadi, saya tidak kisah persaingan kerana boleh meningkatkan semangat penggiat seni lain untuk menghasilkan karya terbaik,” Persaingan juga membuatkan penulis yang berada di zon selesa akan bertindak melangkah ke hadapan.

Dalam pada itu, lulusan Management & Science University (MSU) ini turut melihat seni dan budaya sebagai cabang yang mampu berkembang jika masyarakat tidak terlalu mengagungkan budaya luar.

“Penggiat seni harus cuba memikat masyarakat dengan kualiti karya  setanding dengan pihak luar. Cuma, peluang yang ditawarkan harus digunakan sebaiknya,” katanya.

Rentetan itu, katanya, ibu bapa wajar memupuk minat anak-anak dengan budaya membaca selain lebih mengenali budaya dan perspektif baru dalam kehidupan.

“Secara tidak langsung, anak-anak muda juga akan minat bidang ini.Contoh terbaik, menyertai pembidaan ibu kota buku dunia 2020,” katanya.