$entry.content.caption.value
Galeri Shah Alam di Taman Tasik Shah Alam bagaikan gedung seni anak muda untuk menampilkan karya mereka. Saban waktu, ada sahaja pameran seni diadakan sana untuk mendekatkan jurang penggiat dan masyarakat.
Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bagi merancakkan nadi platform tersebut, maka pihak galeri yang ditubuhkan 26 Januari 1991, merancang pelbagai aktiviti menarik untuk menggalakkan lebih ramai datang ke sana.
Penolong Kuratornya, Khairil Anwar Mohd Azhari berkata, Galeri Shah Alam bakal menyediakan pelbagai program untuk semua peminat seni, seperti pameran secara solo mahupun berkala pada tahun ini.
Menurutnya, pelukis yang sudah menempa nama dalam bidang lukisan dijemput untuk mempamerkan karya hebat untuk tatapan semua peminat lukisan.”
Galeri berkenaan sentiasa menukar bahan pameran yang sedia ada bagi menarik minat pengunjung. Usaha tersebut dilakukan semata-mata untuk menarik orang ramai untuk terus berkunjung ke sini.
“Bahan ini bukanlah sekadar untuk dipamerkan sahaja tetapi ada nilai yang tersendiri buat mereka yang benar-benar memahami,” ujarnya.
Menurut Khairil Anwar, Galeri Shah Alam yang menjadi pusat pameran karya pelukis dan pereka, turut dikenali sebagai destinasi pelancongan.
“Galeri ini merupakan pusat khazanah seni warisan untuk generasi akan datang di samping mengembangkan penghayatan seni budaya melalui pameran, bacaan puisi, diskusi dan sebagainya,” katanya.
Platform pelukis muda
Barisan pelukis muda dan baru yang masih tercari-cari tempat untuk membina kerjaya, Galeri Shah Alam adalah jawapannya. Selain menjadi pusat rujukan seni untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, galeri itu juga dijadikan platform untuk pelukis muda dan baru untuk pamerkan karya masing-masing.
“Sebagai pelukis muda dan yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia lukisan, pastinya berhadapan kesukaran untuk mereka mencari tempat pamerkan hasil karya.
“Jadi, galeri ini menyediakan ruang untuk mereka. Mereka bebas pamerkan bahan karya sama ada secara solo ataupun berkumpulan. Paling penting, golongan ini dapat menimba ilmu dalam bidang berkenaan sebelum melangkah ke dunia sebenar,” ujarnya.
Selain peluang tonjolkan karya pelukis muda, galeri berkenaan juga mengadakan pameran dari pelukis dan institusi seni dari luar negara untuk masyarakat menilai dan membuat rujukan terhadap perkembangan seni secara global.
Pameran tampil Karya unik di Galeri
Pameran Nilai Citra, Pameran Koleksi Tetap, Pameran Terbuka dan banyak lagi adalah antara bentuk pameran yang pernah diadakan di Galeri Shah Alam.
Aktiviti terbaru, bermula 8 Februari hingga 26 Februari ini sedang berlangsungnya Pameran Fotografik Akar Kukubesi, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Koleksi karya yang dipamerkan adalah datang dari pengkarya fotografik, HDR Legion dan Behance Malaysia.
“Banyak karya fotografi yang telah dijadikan karya fotografik telah dimuatkan pada pameran ini. Mereka yang menyertainya pula bukanlah calang-calang orang sebaliknya mereka yang mahir dan berpengetahuan dalam bidang berkenaan,” katanya sambil memberitahu masuk adalah percuma.
Beliau berkata, pameran berkenaan adalah pameran kali kedua buat pengkarya fotografik yang hebat iaitu Kukubesi.
“Kukubesi adalah orang lama dalam bidang fotografik. Dia telah menjadi ikon kepada fotografik tempatan.
“Walaupun terkenal, dia tetap membuka peluang untuk pengkarya muda dalam bidang grafik dan fotografik untuk mempamerkan karya mereka di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang kreatif ini,” katanya.




