• Pemandangan di Gaza City, Gaza semalam ekoran serangan udara Israel selama lebih seminggu baru-baru ini. - Foto Bernama Pemandangan di Gaza City, Gaza semalam ekoran serangan udara Israel selama lebih seminggu baru-baru ini. - Foto Bernama
1 /

GENCATAN senjata akhirnya berjaya dilaksanakan selepas lapan hari konflik meletus di Semenanjung Gaza, sekali gus membawa khabar gembira kepada dunia terutamanya umat Islam. 
   
Persetujuan gencatan senjata rejim Tel Aviv-Palestin, yang menetapkan kedua-dua pihak berhenti menyerang lawan masing-masing, itu bagaimanapun tidak bermakna rakyat Palestin sudah dapat menarik nafas lega sepenuhnya.
   
Bantuan kemanusiaan masih amat diperlukan rakyat Palestin untuk membina semula kehidupan berikutan kemusnahan, kehilangan nyawa dan harta benda akibat serangan Israel di wilayah berkenaan.
   
Atas nama naluri kemanusiaan sejagat, serangan kejam rejim Zionis ke atas penduduk Gaza bukan sahaja mengundang simpati tetapi juga menggerakkan pelbagai bantuan kemanusiaan dilakukan segera bagi membantu seluruh mangsa peperangan di Gaza.

Masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan kaum turut terus mendesak agar tindakan ketenteraan jet pejuang Israel dan roket Hamas dihentikan.
   
Ini soal hak asasi manusia. Acap kali apabila konflik Israel-Palestin, yang sudah lama berlarutan, para pemimpin dan rakyat Malaysia akan bercakap dalam satu nada membicarakan tentang penindasan, perampasan hak, penghinaan dan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, rata-ratanya umat Islam.   
   
Masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama tampil menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan menghulurkan bantuan meringankan penderitaan penduduk Palestin akibat serangan demi serangan kejam tentera rejim Zionis.
   
Selasa lepas, anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengetepikan agenda politik masing-masing untuk sepakat menyokong usul mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza.
   
Daripada segi logik akal yang waras serta perikemanusiaan, penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar isu yang melibatkan umat Islam tetapi lebih daripada itu, ia melibatkan nilai kemanusiaan yang dirasai bersama oleh masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama. 
   
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr P. Sivamurugan berkata isu Palestin merentasi batasan agama dan peperangan yang sudah makan tahun berlarutan tidak sepatutnya terus berlaku. 
   
"Kita terdiri daripada masyarakat rencam dan kita faham pertembungan cerita antara kaum dan etnik di negara ini. Kita juga bersatu padu menolak sekeras-kerasnya apa yang dilakukan Israel di Gaza yang cuba menakluki wilayah penduduk di sana, bersikap kejam merampas harta dan membunuh rakyat Palestin.   
   
"Masyarakat (Malaysia) turut menggambarkan pendirian sama bahawa meskipun tamadun dunia baru wujud, peperangan tidak harus dihalalkan dan di sinilah semangat 1Malaysia itu secara tidak langsung terserlah tanpa mengira keturunan, kepercayaan dan agama," katanya.
   
Selain bantuan makanan, pakaian dan wang dihulurkan kepada penduduk Palestin, Sivamurugan berkata Malaysia juga bertindak sebagai negara Islam yang progresif dan lantang bersuara menegakkan isu keamanan dan konsep ummah.
   
Beliau berkata meskipun memiliki fahaman politik berbeza, masyarakat Malaysia masih boleh menyumbang, membantu dan memberi makna sebuah kehidupan kepada penduduk Gaza.
   
"Kita perlu melihat kepelbagaian (perbezaan bangsa, agama dan politik) yang kita miliki sebagai suatu kelebihan untuk membantu dan menyumbang terhadap kebaikan... kepelbagaian juga adalah suatu aset dan bukan liabiliti yang wajar kita digunakan untuk tujuan kebaikan," katanya.
   
Pensyarah Jabatan Politik dan Kerajaan, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Jawan berkata sokongan padu rakyat Malaysia membantu masyarakat Palestin harus dipuji kerana Malaysia sememangnya menentang keganasan yang dilakukan rejim Zionis untuk mencapai matlamat mereka.
    
Katanya, dunia hari ini bukan lagi berada 'di zaman gelap' kerana segalanya perlu dilaksanakan dalam keadaan aman damai melalui rundingan dan perbincangan antara pihak berkepentingan.
   
"Kita dapat melihat usaha berterusan rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin... Dalam misi ini mereka tidak didasari oleh ideologi atau perbezaan agama sebaliknya telah membuktikan kematangan terhadap memperjuangkan keamanan dan kemanusiaan sejagat meskipun pada hakikatnya mereka diwarnai pendapat berbeza," katanya.
   
Jawan berkata perlakuan ini adalah suatu kejayaan dalam konteks perpaduan kerana mereka berjaya meletakkan suatu titik persamaan untuk menyokong suatu isu besar yang memerlukan penglibatan seluruh masyarakat dunia.
   
Mengakui bahawa konsep 1Malaysia lebih terserlah di kalangan rakyat Malaysia apabila memperjuangkan isu Palestin, beliau berkata perbezaan pendapat dan ideologi politik di negara ini hakikatnya mampu mendidik rakyat Malaysia untuk meraikan kepelbagaian pandangan masyarakat berbilang bangsa.
   
"Saya tidak melihat pandangan yang berbeza antara masyarakat sebagai sesuatu yang meruntuhkan tetapi merupakan suatu pendekatan yang mampu menyuburkan dialog sekali gus membawa kepada penambahbaikan institusi negara," katanya.
   
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar pula berkata, walaupun secara umum isu Palestin mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia, masih wujud segelintir masyarakat bersikap tidak ambil peduli.
   
"Kita mengakui wujud penglibatan masyarakat bukan Islam untuk membela nasib penduduk Palestin namun ia tidak begitu menyerlah... saya tidak berani menyatakan mereka bersungguh-sungguh dan komited terlibat dalam isu ini kerana saya belum nampak penglibatan mereka secara menyeluruh," katanya kepada Bernama.
   
Katanya, peratusan majoriti 95 peratus penduduk Palestin merupakan masyarakat Islam dan baki lima peratus lagi bukan beragama Islam mungkin antara faktor masyarakat bukan Islam di negara ini kurang memberi perhatian terhadap isu berkenaan.
   
"Kebanyakan masyarakat bukan Islam di negara ini mengaitkan penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin sebagai penderitaan penduduk Islam yang lebih sinonim dengan kaum Melayu dan merupakan tanggungjawab bangsa Melayu untuk membantu".
   
Chandra, yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just), berkata jika dibandingkan dengan negara lain, masyarakat bukan Islam terlibat secara langsung dan memainkan peranan menentang Israel terutamanya apabila protes membantah kezaliman rejim Tel Aviv diadakan. - Bernama