SEORANG wanita sahabat penulis  memberitahu beliau pernah hilang berat badan berbelas-belas kilogram hanya kerana susah hati dan murung. Puncanya ialah suaminya main kayu tiga.

Beliau dengan nada bergurau memberitahu rakan-rakannya, susah hati adalah kaedah paling mujarab untuk mengurangkan berat badan.

Setahun lalu, beliau telah berkahwin sekali lagi dengan seorang lelaki pilihan hati. Berat badan beliau telah meningkat. Beliau percaya ia berpunca daripada perasaan senang hati kerana memiliki suami yang penyayang. 

Bagaimanapun beliau agak cemas apabila mendapati suami barunya kuat makan. Beliau dapati perut suami sudah mula membuncit disertai berat badan yang bertambah secara ketara.

Peningkatan selera makan sama ada pada lelaki atau wanita yang baru berkahwin adalah perkara biasa kerana mereka senang hati. Hubungan biologi suami isteri adalah antara punca utama seseorang yang berkahwin mengalami perasaan senang hati.

Terdapat pelbagai faktor lain yang menyebabkan selera makan berkurangan. Seseorang yang mengalami sakit kronik contohnya kanser tertentu, sering mengambil ubat-ubatan moden, kurang/tidak makan sayur-sayuran dan sering sembelit dikaitkan dengan kurang selera makan. Ubat-ubatan moden seperti kemoterapi mengganggu fungsi hati di mana hati ialah organ utama yang membantu tubuh mendetoksifikasi.

Perubatan Tradisional China percaya gangguan fungsi hati akan menyebabkan gangguan selera dan penghadaman selain mengganggu ketenteraman minda. Mereka yang kerap mengalami sembelit sebenarnya dipercayai mengalami gangguan fungsi hati.


Periksa lidah

Jika anda sering mengalami sembelit cuba julurkan lidah anda di hadapan cermin. Lihat warna dan tekstur lidah. Jika ia berwarna putih/kuning dan kering, maka ia adalah tanda anda mengalami ‘hati sesak’ iaitu fungsi hati anda mengalami gangguan.

Mereka yang sering mengalami susah hati, murung dan resah boleh mengalami keadaan lidah yang sama. Begitu juga mereka yang sering makan ubat-ubatan moden dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan.

Jadi, beberapa langkah boleh dilakukan untuk meningkatkan selera makan iaitu dengan mengambil herba yang bersifat menggalakkan pengeluaran bendalir hempedu.

Herba bersifat pahit seperti peria, patawali atau buah tunjuk langit biasanya membantu melancarkan pengeluaran bendalir hempedu. Ulam-ulaman seperti pegaga kampung dan ulam raja juga dipercayai memiliki sifat yang serupa.

Kebaikan pengambilan herba kategori penggalak pengeluaran bendalir hempedu ialah ia membantu melancarkan fungsi sistem penghadaman, melancarkan fungsi hati dan meningkatkan selera makan.

Sesetengah orang yang mengalami demam selesema mudah mengalami kurang/hilang selera terhadap makanan tertentu atau sebarang jenis makanan.

Amalan orang dulu-dulu mengambil makanan mudah hadam seperti bubur nasi merupakan amalan yang sesuai dengan keperluan selera ketika seseorang mengalami demam selesema atau sakit tenat.

Orang Cina pula biasa memberi orang sakit makan sup ayam yang dicampurkan dengan beberapa jenis herba contohnya cendawan. Rupa-rupanya cendawan mengandungi sejenis karbohidrat yang bersifat merangsang fungsi sistem imun di samping pelbagai sifat lain yang bermanfaat.

Sesetengah orang Melayu apabila demam selesema mereka mengamalkan sup sayur, ayam, nasi atau bihun yang ditambah dengan herba seperti kayu manis dan cengkih.

Selain menambat selera makan, herba tersebut sebenarnya bersifat antivirus dan melancarkan penghadaman. Herba-herba seperti halia, bawang dan bawang putih juga bersifat antivirus di samping memiliki sifat anti-keradangan.  

Terdapat pelbagai pendapat mengenai mengapa seseorang yang mengalami demam selesema mudah mengalami kekurangan selera makan. Satu daripada puncanya ialah selesema berpunca dari keradangan menyebabkan seseorang kurang sensitif terhadap bau atau aroma makanan.

Oleh sebab salah satu tarikan seseorang terhadap makanan ialah aromanya maka selesema yang dialami dipercayai menyebabkan selera makan terganggu.

Soalannya mengapa mereka yang mengalami demam atau flu yang tidak mengalami selesema juga mengalami kehilangan selera makan? Terdapat pendapat menyatakan tubuh menumpukan perhatian terhadap langkah untuk melawan virus atau sedang cuba membaik pulih kerosakan yang sedang dialami oleh tubuh. Ada logiknya namun terdapat penjelasan lain seperti berikut.


Bilangan mRNA

Terdapat kajian menunjukkan pengesanan pucuk/putik rasa terhadap keamatan rasa pahit tidak serupa antara seorang dengan yang lain. Pucuk/putik rasa mengandungi reseptor bagi mengesan sesuatu jenis rasa.

Misalnya pucuk/putik rasa manis mengandungi reseptor yang dapat mengesan molekul-molekul manis. Pucuk/putik rasa pahit pula mengandungi reseptor yang dapat mengesan rasa pahit.

Setiap pucuk/putik rasa mengandungi molekul mRNA (messenger RNA) yang berfungsi membina reseptor pengesan rasa pahit. Kajian mendapati mereka yang mudah mendapati brokoli berasa pahit kerana mereka memiliki bilangan molekul mRNA yang tinggi dalam pucuk/putik rasa.

Deduksi penulis dari kajian seperti ini ialah faktor-faktor tertentu yang berlaku terhadap diri seseorang dapat mengubah bilangan mRNA yang bertanggung-jawab terhadap jumlah mRNA yang dibina secara epigenetik (faktor-faktor luar mempengaruhi gen ekspresi).

Seseorang yang mengalami demam selesema, murung atau kanser akan merasa hampir setiap jenis makanan merasa pahit besar kemungkinan berpunca daripada pertambahan jumlah mRNA untuk pembinaan reseptor pengesan rasa pahit.

Pada masa yang sama jumlah mRNA untuk pembinaan reseptor pengesan rasa yang lain berkurangan.

Dari sudut perubatan moden terdapat keadaan kesihatan tertentu menyebabkan seseorang hilang selera makan. Beberapa jenis kanser seperti kanser perut, ovari, usus besar dan pankreas menyebabkan kehilangan selera makan.

Sudah tentu sebahagian besar kanser tahap serius akan menyebabkan penghidap hilang selera makan.

Penyalahgunaan kebanyakan dadah berjadual termasuk amphetamine dan heroin menyebabkan hilang selera makan. Kerap makan ubat-ubatan moden tertentu seperti antibiotik, kemoterapi, kodein (terdapat dalam ubat batuk) dan heroin juga adalah antara punca kehilangan selera makan.

Penyakit berikut boleh menyebabkan hilang selera makan iaitu HIV, hepatitis, penyakit Crohn (sejenis penyakit usus kerana keradangan), COPD (chronic obstructive pulmonary disease) sakit buah pinggang, nyanyuk, kegagalan jantung dan hipotiroidism. Sesetengah wanita mengandung dikatakan boleh mengalami kekurangan selera makan.

Kesimpulannya kekurangan selera makan sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor. Jika ia sekadar berpunca daripada tekanan emosi, kerap mengambil antibiotik atau sembelit maka ia mudah diatasi.

Namun jika anda mengalami kekurangan selera makan secara berpanjangan tanpa sebab yang dapat dikesan maka segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.


Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AHG )
Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan
pendidik nutrisi holistik. Buku: Kawal Berat Badan, V.
Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes Jenis 2.
Rawat Dengan Herba – Cegah Demam & Flu.