"PUNYALAH payah yang tuntut wang nak dituntut. Hari pertama pergi jam 10 pagi, nombor giliran dah habis. Hari kedua pula beratur lama. Kaunter ada satu saja, tak efisien langsung!"

Demikian luah seorang rakan, Alias Ghani selepas ketika bertemunya di Bandar Sri Permaisuri, kelmarin.

Alias memberitahu, dia teruja untuk membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD) apabila tular di media sosial mengenai seorang wanita yang mendakwa mendapat RM14,000 selepas membuat semakan WTD miliknya.

"Walaupun tidak sebanyak mana, boleh juga tampung untuk belanja dapur dalam keadaan ekonomi yang semakin mendesak kini," katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Ada yang sanggup menunggu awal pagi untuk membuat semakan tersebut. Memang seronok bila dapat WTD dalam jumlah yang kita sendiri tidak sangka.

"Tetapi untuk membuat semakan, kita terpaksa mempunyai semangat waja untuk beratur panjang dan berhadapan dengan prosedur lain," kata Alias.

Orang ramai yang berjaya mendapatkan angka giliran perlu beratur terlebih dahulu dan mengisi nama serta nombor kad pengenalan masing-masing sebelum mendapatkan nombor giliran bagi membuat semakan.

Setelah selesai kesemua prosedur tersebut, barulah mereka diberikan nombor giliran untuk membuat semakan secara berperingkat.

Tiada bayaran atau caj perkhidmatan dikenakan.

Namun, rata-rata pengguna yang membuat semakan pulang hampa apabila hasil semakan tidak menemui sebarang baki wang walaupun telah lama beratur menunggu giliran.

Sebuah akhbar pernah melaporkan, berdasarkan tinjauan dan pengalaman wartawan menyaksikan pelbagai reaksi apabila lebih ramai yang hampa kerana durian runtuh diharapkan tidak menjadi kenyataan, berbanding mereka yang tersenyum kerana mendapat rezeki terpijak.

Penulis sendiri tidak pernah membuat semakan sama ada mempunyai wang tidak dituntut atau tidak, yang kini disimpan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Seorang rakan, Ibrahim Darman memberitahu, dia telah dua kali cuba membuat semakan di kaunter Jabatan Akauntan Negara di Affin Bank Shah Alam, namun gagal kerana nombor giliran telah habis.

"Mula-mula pergi jam 10 pagi, angka giliran dah habis. Pergi jam 9 pagi pun dah tak ada. Akhirnya langsung malas nak buat semakan," katanya.

Katanya, Jabatan Akauntan Negara perlu mempertingkatkan lagi sistem semakan ini dengan membolehkan orang ramai menyemak secara dalam talian (online) bagi memudahkan mereka.

"Ini telah dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengaktifkan dalam talian mereka sehingga 24 jam," katanya.

Dengan cara itu, orang ramai tidak perlu membuang masa beratur panjang, melainkan urusan pengeluaran wang atau lain-lain urusan berkaitan sahaja dibuat di kaunter.

Malah ada juga yang mengadu laman web Jabatan Akauntan Negara tidak membantu untuk mendapatkan informasi mengenai WTD kerana semua maklumat dicampur aduk.

Sekarang kita berada pada zaman teknologi maklumat, dengan semua urusan di hujung jari, jadi sepatutnya Jabatan Akaun Negara menggunakan teknologi ini untuk urusan semakan.

"Hotline juga susah nak masuk. Rasanya macam tak ada orang nak jawab panggilan. Memang tipikal kerajaan.

"Bukankah senang kalau ada aplikasi yang boleh membuat semakan melalui aplikasi telefon," kata Ibrahim.

Bagaimanapun Jabatan Akauntan Negara Malaysia menjelaskan mereka dalam proses bagi membangunkan portal semakan dan permohonan secara dalam talian itu.

Menurut Jabatan Akauntan Negara, sistem itu dijangka beroperasi tahun depan.

“Kita memahami keperluan portal ini berdasarkan keadaan semasa yang mahukan proses semakan lebih cepat dan mudah tanpa perlu bersusah payah beratur di kaunter," kata kenyataan itu.

Namun dalam keadaan masyarakat sedang teruja untuk mengetahui jumlah WTD mereka, tempoh untuk menaik taraf portal sehingga tahun depan dianggap terlalu lama.

Berita baik adalah semakan WTD ini tidak mempunyai tarikh luput, jadi jika tiada keperluan mendesak, orang ramai tidak perlulah membuat semakan serentak pada satu masa.

Bersabar, duit itu takkan ke mana!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMA asalnya adalah Lembaga Kemajuan Tanah Rancangan Sungai Dusun dan dibuka pada Disember 1962.
  • TERLALU banyak makan atau minum minuman dan makanan bergula meningkatkan kandungan glukos di dalam otak dan ia dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.
  • "ARWAH abah dulu nak namakan saya Balqis, tapi tak tahu macam mana dalam surat beranak jadi Pulkis,” kata seorang warga emas, Siti Pulkis Hassan, 77, ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
  • BERADA berhampiran Sungai Perak antara Bota Kanan menuju ke pekan Parit, terletak sebuah tempat tradisional bernama Kampung Pendiat yang majoritinya dihuni masyarakat Melayu.
  • KARTUNIS mampu mendidik dan membangkitkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu penting jika mereka diberikan kebebasan berkarya, kata kartunis Malaysia, Gayour.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.