Mungkin ramai dari kita tidak pernah mendengar frasa “efek placebo”. Sebenarnya istilah placebo hanya berlaku dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan. Penjelasannya sangat mudah; iaitu manusia bertindak balas mengikut hukum psikologi.

Lalu sekiranya sebuah kaedah perubatan palsu atau sejenis ubat tiruan yang digambarkan sebagai ubat yang mustajab, didatangkan dengan pakej lengkap – harga yang mahal, testimonial yang berjela, pembungkusan yang eksklusif dan dikatakan dicipta oleh profesor yang hebat – maka pesakit yang melazimi kaedah tersebut atau yang memakan ubat itu akan menunjukkan kesan pembaikan yang cepat, seperti ubat asli atau seperti kaedah rawatan yang sebenar.

Justeru pesakit akan percaya bahawa ubat atau kaedah tersebut sangat mujarab! Tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka telah ditipu; sedangkan yang membantu penyembuhan mereka adalah situasi psikologi yang sentiasa positif.

Kesan placebo ini boleh dibuktikan dalam makmal dengan menggunakan kaedah “Buta Berganda” atau Double Blind, iaitu sejumlah pesakit yang mengalami masalah yang sama akan dibahagikan kepada dua kelompok. Satu kelompok dibekalkan dengan ubat asli sementara kelompok lain diberikan dengan ubat palsu, dengan syarat pesakit dan para doktor yang merawat tidak mengetahui bahawa mereka sedang diuji dengan ubat palsu.

Namun di situ ada sebuah pertanyaan barangkali; bagaimana kita mengetahui ubat itu palsu atau asli? Inilah satu perkara yang sangat rumit untuk dijawab dan dibuktikan. Selalunya yang mengetahui masalah ini hanya ada dua kelompok, iaitu kelompok yang terlibat dalam menghasilkan ubat palsu dan satu lagi hanyalah para pakar yang memang telah bergelumang dalam bidang farmasi.


Syaitan menyeru memasuki 'Islam palsu'

Rupanya “ubat palsu” juga berlaku dalam perkara agama! Ini boleh dicerap apabila kita memahami bahawa agama merupakan ubat kepada rohani, penawar hati dan penenang jiwa.

Banyak jemaah Islam telah menyebarkan pelbagai ubat palsu kepada masyarakat bagi melariskan pemikiran dan perjuangan mereka. Walhal dakwah yang mereka lakukan itu sangat jauh dari metode dakwah Nabi SAW dan para sahabat r.a.

Tetapi oleh kerana penyerunya itu memakai serban besar, boleh bercakap Arab, berjubah labuh, memiliki pengikut yang ramai, malah dikatakan mempunyai ilmu yang mendalam, serta mendapat dukungan dari sekian banyak ulama lain; menjadikan kita terpedaya dengan dakwah palsu tersebut. Seperti pesakit yang tertipu apabila ubat palsu didatangkan dengan pakej lengkap yang telah dihurai seperti di atas.

Walhal itu bukanlah ukuran sebenar kebenaran. Kebenaran dalam Islam adalah mengikut ALLAH dan Rasul-NYA, berdasarkan pemahaman para sahabat. Kerana ALLAH telah berfirman dalam al-Quran:

“Orang Muhajirin dan Ansar yang awal dan orang yang mengikut mereka dengan sebaik-baiknya, ALLAH redha kepada mereka dan mereka redha kepada ALLAH.” (at-Taubah, 9: 100)

ALLAH menjanjikan keredhaan-NYA jika kita mengikut Kaum Muhajirin dan Ansar. Siapa lagi kalau mereka itu bukan sahabat. Lantaran itu makna mengikut sahabat adalah mengikuti mereka dari segi pemahaman beragama, mencontohi mereka menegakkan sunnah dan menjadikan mereka neraca dalam melihat Islam. Di situlah letaknya kebenaran yang hakiki.

Sahabat Nabi, Ibnu Mas’ud r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah membuat satu garis lurus, kemudian bersabda, “Inilah jalan ALLAH yang lurus.” Kemudian beliau membuat beberapa garis lagi di kanan dan kiri garis lurus tadi, kemudian bersabda, “Dan ini adalah jalan-jalan yang tidak ada satu pun darinya melainkan ada syaitan yang mengajak kepadanya.” Lalu beliau membaca firman-Nya, “…Dan sungguh inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)…” (Shahih: riwayat Ahmad dan lain-lain)

Justeru, fenomena placebo ini telah dijelaskan oleh ALLAH melalui lisan Rasul-NYA bahawa akan datang satu zaman di mana syaitan yang bertopengkan watak ulama’ akan menyeru umat untuk mengikut dakwah palsu mereka, dengan menamakan seruan itu sebagai “Islam yang sebenar”.


Hizbut Tahrir dengan alasan ketiadaan khalifah

Kita ambil contoh bagaimana Hizbut Tahrir (HT) mengatakan bahawa kelemahan umat Islam hari ini adalah lantaran musnahnya sistem Khalifah al-Uzma pada tahun 1924 setelah Dinasti Turki Uthmaniyah dihapuskan oleh Mustafa Kamal at-Tarturk. Segala kelemahan umat Islam yang dilihat hari ini; seperti pencerobohan oleh tentera kuffar, bobroknya akhlak umat, tandusnya ilmu pengetahuan, lemahnya ekonomi masyarakat dan segala 1001 macam masalah lagi adalah berpunca dari ketiadaan khilifah.

Hizbut Tahrir Malaysia telah menulis artikel bertajuk Kehancuran daulah khilafah - punca kepada seluruh tragedi di dunia Islam dan Lenyapnya daulah khilafah – ibu kepada segala kejahatan.

Tetapi satu hal yang sengaja tidak diceritakan oleh HT kepada umat bahawa Khalifah al-Uzma telah terhapus pada tahun 775M (158H) setelah Kerajaan Dinasti Umayyah diserang oleh Bani ‘Abbas di bawah tangan Abu ‘Abbas as-Saffah. Khalifah ‘Abdur Rahman ad-Dakhil melarikan diri ke Cordova lalu memerintah saki baki jajahan Umayyah sementara Abu ‘Abbas membentuk kerajaan Abasiyah di Baghdad.

Pada tahun 756M inilah dunia menyaksikan bahawa wujud dua orang khalifah yang memimpin dunia Islam. Sedangkan mereka ini saling bermusuhan dan saling serang menyerang. Malah antara satu sama lain tidak pernah untuk tunduk dan berdamai. Lantas apakah pada waktu itu boleh dikatakan kedua-dua mereka adalah khalifah, atau salah seorang dari mereka adalah Khalifah Yang Agung atau jawapan yang lebih tepat adalah mengakui khalifah telah musnah?

Justeru yang benar adalah khalifah yang agung telah termusnah pada saat naiknya Abu Abbas di Baghdad. Ketiadaan Khalifah al-Uzma ini berlanjutan sehingga saat ini. Kerana pada setiap zaman umat Islam tidak pernah dikuasai oleh satu kerajaan secara mutlak, malah pada setiap zaman itu dicatat munculnya banyak kerajaan dalam waktu yang sama.

Namun di sana ada satu soalan yang wajar ditanyakan kepada HT, “Mengapakah Imam asy-Syafie dan seluruh imam yang lain sesudah beliau tidak pernah menjadikan Khalifah al-Uzma sebagai matlamat perjuangan? Tidak pernah tercatat mereka menggerakkan massa bagi menubuhkan Khalifah al-Uzma, malah mereka tidak pernah mengkambing-hitamkan ketiadaan khalifah untuk setiap kecelakaan atau kelemahan umat Islam.”

Setelah itu kita tanyakan lagi kepada HT, “Sekiranya Imam asy-Syafie dan seluruh Imam Ahlus Sunnah tidak pernah berbuat seperti kalian, apakah kalian lebih alim dan mengerti tentang Islam berbanding mereka? Jika kalian menjawabnya “ya” bererti kalian adalah kaum pendusta. Namun jika kalian menjawab “tidak” bererti kalian telah membuka pintu kesesatan.


Hizbut Tahrir sebenarnya anti hadis

Namun sebenarnya kesesatan terbesar Hizbut Tahrir adalah mereka menolak hadis ahad yang maqbul (diterima) sebagai hujah dalam aqidah.

Oleh itu mereka menolak qadar, adanya azab kubur, syafaat nabi, keluarnya dajjal, 10 sahabat yang dijamin Syurga, telaga nabi dan banyak lagi perkara keimanan. Sehinggakan apabila kita membaca kitab-kitab yang membahaskan firqah (kelompok) dalam Islam maka kita dapati bahawa mereka adalah penerus mazhab (aqidah) muktazilah pada zaman ini.

Syamsudin Ramadhan an-Nawi menulis artikel - Hadis Ahad Tidak Boleh Dijadikan Hujah Dalam Perkara Aqidah. Mereka namakan kaedah ini sebagai kaedah yang diamalkan oleh para sahabat. Namun kenyataan dusta mereka ini tidak berjaya mereka buktikan dengan konkrit.

Sebuah soalan yang cukup ringkas untuk mereka, “Sekiranya para sahabat telah ijmak (sepakat) untuk hanya menerima khabar mutawatir dalam hal keimanan, dan diteruskan oleh tabiin dan para imam Ahlus Sunnah, maka sila berikan sebuah kitab aqidah yang ditulis oleh para salaf as-soleh yang di dalamnya tidak ada satu pun keimanan yang bersumber dari hadis ahad.”

Saya telah meminta kepada mereka, namun sampai saat ini mereka tidak berjaya menemukannya!.


Abu Amru, Mohd Radzi Othman
Sekretariat Ulama Muda Umno (IlMU)


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.