• Mike, Kim Siang dan Swee Liang memeriksa kekemasan pembuatan bahagian<br> dalaman bot yang hampir siap dibina. Mike, Kim Siang dan Swee Liang memeriksa kekemasan pembuatan bahagian
    dalaman bot yang hampir siap dibina.
1 /

Bermula dengan menumpang bot nelayan ke laut untuk memancing, lima adik beradik Thien kini adalah antara nama besar dalam industri pembuatan bot di dalam dan luar negara.

Thein Kim Chock, 60, bersama adik-adiknya Kim Chong, 55, Kim Song, 53, Kim Siang, 50, dan Swee Liang, 49, berjaya mengasaskan syarikat Boat Explorer Group dengan lebih 100 pekerja di kilang pembuatannya berpangkalan di Pulau Gadong, Melaka.

Selain mempunyai bilik pameran di Klebang, Melaka dan Kuala Lumpur, mereka juga mempunyai kilang pembuatan bot yang beroperasi hampir 10 tahun di New Zealand serta mengadakan jalinan kerjasama dengan syarikat pembuatan bot di Australia, Amerika, Eropah, Sepanyol dan England.

Bot fiber keluaran mereka merangkumi jenis penjelajah, kayak, perahu panjang, bot bagi aktiviti memancing dan menyelam serta feri.

Mengimbas kembali pembabitan dalam industri itu, Pengarah Urusan syarikat itu, Kim Siang atau lebih dikenali sebagai Mike berkata ia bertitik tolak dari hobi memancing kelima-lima mereka. Beliau berkata keluarga mereka yang mempunyai bengkel kecil membaik pulih bot di Klebang di sini, membina hubungan rapat dengan nelayan sekali gus membolehkan mereka menumpang bot ke laut untuk memancing.

“Kami saling memerlukan di mana kami akan membantu mereka membaiki bot mereka yang bermasalah dan sebagai satu balasan mereka akan tumpangkan kami ke laut untuk memancing,” katanya kepada Bernama di sini.

Malah kerana minat ke laut, lima beradik itu membina sebuah bot kayu pertama mereka untuk aktiviti riadah pada 1970-an. Mike berkata mereka kemudian mengambil keputusan untuk bergiat lebih serius dalam aktiviti pembuatan dan menjual beli bot pada 1984.


Tragedi kebakaran

Hasrat dan impian lima beradik Thien untuk mengecap kejayaan dalam perniagaan baru yang diceburi itu bagaimanapun menerima tamparan hebat selepas bengkel mereka hangus dalam satu kebakaran.

“Kita kerugian hampir RM300,000 dalam kebakaran yang memusnahkan kesemua enjin bot dan bekalan alatan membuat dan membaiki bot hanya selepas dua bulan memulakan perniagaan,” kata Mike.

Beliau berkata kejadian yang menjadi detik pahit dalam kehidupan mereka itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat sebaliknya menjadi perangsang untuk mereka terus berkecimpung dalam industri itu. Mereka mengambil masa antara lapan hingga sembilan tahun untuk bermula semula dan terpaksa meningkatkan usaha dalam bidang pemasaran.

Mike berkata berbekalkan minat, semangat dan impian syarikat Boat Explorer Group kemudian berjaya menghasilkan sehingga 600 bot sebulan dengan pelbagai reka bentuk dan saiz.

Sehingga kini, katanya, syarikat itu yang menggunakan gentian fiber tempatan sebagai bahan utama pembinaan bot telah berjaya menghasilkan lebih 10,000 bot sepanjang pembabitan 28 tahun dalam industri itu.

Pelbagai dugaan dan pengalaman terpaksa dilalui lima beradik itu pada awal perniagaan mereka terutama dalam memasarkan teknologi bot gentian fiber yang ketika itu asing kepada nelayan. Mike berkata bot gentian fiber sebenarnya lebih selamat berbanding perahu atau bot berasaskan kayu berikutan ketahanan material itu.

“Kami menjual bot di merata tempat di seluruh negara. Sambil menjual bot, kami cuba membawa pembaharuan dalam industri perikanan di mana kita menasihatkan nelayan agar menukar bot mereka kepada yang lebih selamat mengikut perkembangan teknologi semasa,” katanya yang juga pemilik Restoran Seafearer di Batang Tiga di sini.

Beliau berkata ia adalah usaha yang amat sukar dan proses mengubah mentaliti nelayan mengambil masa antara lima hingga enam tahun.

“Selain itu, kami juga berjaya mengubah pemikiran nelayan agar mempelbagaikan aktiviti mereka dengan menceburi bidang pelancongan menggunakan bot yang mereka miliki,” katanya.

Kini kebanyakan nelayan di Pulau Perhentian, Redang, Tioman, Pangkor dan Langkawi menawarkan pakej menyelam dan memancing dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.


Masa depan

Mike berkata mereka juga terpaksa bersaing dengan pengeluar bot lain di dalam dan luar negara. Oleh itu, beliau dan adik-adiknya sentiasa melakukan pembaharuan seperti menghasilkan bot yang lebih besar, berkualiti dan mempunyai reka bentuk yang terkini.

Contohnya, dua model baru iaitu River Cruise 3100 dan Voyager 4000 Separa Kabin (HC) telah dilancarkan baru-baru ini untuk pasaran tempatan bagi menyaingi pasaran bot antarabangsa yang kini banyak didominasi negara barat seperti New Zealand, Britain dan Australia, kata Mike.

Voyager 4000HC menggunakan enjin terbaru, Evinrude E-Tec yang mesra alam dan mendapat kelulusan daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) yang mampu menjangkau kelajuan sehingga 65 kilometer sejam menggunakan dua unit enjin empat lejang dengan keupayaan 300 kuasa kuda.

Manakala River Cruise 3100 yang mempunyai kelajuan sederhana iaitu 28 kilometer sejam mampu membawa muatan penumpang sehingga 40 orang pada satu masa.

“Matlamat kami adalah untuk membawa nama Malaysia antara pengeluar bot terkenal di dunia selain memperkenalkan Melaka sebagai lokasi sukan air atau bot pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Industri pembuatan bot di negara ini adalah satu industri yang sedang berkembang dan mewujudkan banyak prospek ekonomi pada sektor perbankan selain mempelbagaikan aktiviti riadah dan membuka peluang pekerjaan terutama dalam sektor pelancongan.

Bagaimanapun pemilikan bot di kalangan rakyat Malaysia dan Asia masih terhad kepada golongan tertentu berikutan kesukaran memperoleh pinjaman bank untuk membeli bot.

“Kami tidak dapat pinjaman bot seperti di Australia, Eropah dan New Zealand. Sama juga seperti pembelian kereta di mana jika industri bot ini dapat diadakan pinjaman, ia akan meningkatkan pendapatan bank melalui faedah atau bunga dan insurans yang dikenakan,” kata Mike.

Beliau berkata pemilikan bot dalam sesebuah keluarga mampu mengurangkan aktiviti negatif dalam kalangan generasi muda dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Inisiatif ini (pinjaman bank) secara tidak langsung akan membantu mengembangkan lagi industri bot kerana negara kita mempunyai banyak sungai dan tasik untuk beriadah atau melakukan aktiviti sukan air,” katanya yang meminta kerajaan agar menimbang untuk mewujudkan dasar bagi tujuan itu. - Bernama