$entry.content.caption.value
Selepas kemunculan kali pertamanya di Frankfurt Motor Show 2011, Ducati Diavel AMG akhirnya tiba di Malaysia di mana lima unit diperuntukkan tahun ini. Bagaimanapun tiga daripadanya sudah pun ditempah dan dua unit masih menunggu pembeli bertuah.
Dibawakan oleh Next Bike Sdn Bhd, pengimport dan pengedar motosikal Ducati di Malaysia, model tersebut kini dipamerkan di Ducati AMG Performance Centre, Bangsar.
Produk yang merupakan kolaborasi antara Ducati dan AMG itu dijual pada harga RM193,999. Ia berasaskan karbon Diavel dan dipakaikan dengan fiber karbon hitam kusam bersama jalur dan bingkai trim warna AMG “Diamond White Bright”.
Ciri lain termasuk edisi khas rim aloi hitam, gril radiator sisi fiber karbon (dengan kemasan aluminium), sistem ekzos gaya sport AMG dengan penutup hujung berukir dan juga tempat duduk AMG kemasan kulit Alcantara.
Setiap Ducati Diavel AMG didatangkan dengan nombor pengenalan di bahagian tangki minyak. Ducati Diavel AMG yang dipamerkan di Bangsar nombor pengenalan yang tertulis adalah ‘0000’.
Secara teknikalnya, spesifikasi Diavel AMG kekal sama daripada varian Diavel Carbon dengan enjin bersesaran 1,198cc Testastretta 11° yang menghamburkan kuasa 162hp dan kilas 127Nm serta memaparkan ciri keselamatan sistem anti kunci brek, kawalan tarikan Ducati dan mod pemanduan Ducati.
Sebelum ini, kerjasama Ducati bersama AMG diumumkan di Los Angeles Motor Show 2010.
Diavel AMG adalah model pertama yang diilhamkan daripada perkongsian Ducati-AMG yang menggabungkan ciri-ciri penggayaan tersendiri dari kedua-dua jenama berorientasikan prestasi.




