MENGENDALIKAN dan mendirikan pusat penyelidikan dan pembangunan akhlak serta peradaban ummah, bukannya mudah, tapi itu dilakukan Dr Masjuki, 56, sejak operasi RPWP pada 2005.

Anak yatim dan asnaf, juga keluarga rakan pendukung menjadi sampel komuniti yang mahu dijadikan generasi gemilang melalui kaedah yang terpahat dalam al-Quran dan sunnah, secara teori dan praktikal.

Sebagai langkah awal, Dr Masjuki selaku bekas usahawan dan isterinya Shakirah Abdullah, 54, yang juga bekas guru telah mewakafkan diri untuk menjadi petugas sukarela sepenuh masa.

Mereka juga mewakafkan seluruh wang simpanan dan harta keluarga termasuk dua pasar mini, sebuah restoran, juga tanah seluas suku ekar serta tiga rumah di atasnya termasuk banglo kediaman peribadi beliau sendiri.

Secara gotong-royong, tiga rumah diwakafkan ini kemudiannya digabungkan dan dibangunkan menjadi tiga tingkat, Apabila premis diwakafkan masih tidak mencukupi, RPWP membeli pula satu per empat ekar tanah bersebelahan secara berkongsi-kongsi dalam kalangan pengasasnya.

Inilah rakan-rakan Dr Masjuki yang sama-sama menggarap pembangunan akhlak dan sarana RPWP

Kompleks tiga tingkat diwakafkan lalu disambung untuk menambah ruang lantai. Sebagai tambahan dana, Dr Masjuki turut mewakafkan tanah milik keluarganya di Pinggiran Putra bernilai RM500,000.

"Setiap hari kita ada buat kerja, jadi sambil role call bersama anak-anak, kita bakar semangat di situ. Sebab nabi sendiri beritahu ALLAH membolak-balikkan hati kita, cabaran paling utama ialah semangat kerana nak buat kerja perlu semangat.

"Orang luar mungkin kerja tujuh ke lapan jam, kita pula kerja hampir 20 jam sehari. Tidur empat ke lima jam saja, jadi cabaran besar memang nak maintain semangat.

"Sedara mara, kawan-kawan, bertandang pun tanya mengapa pilih jalan gini. Itu sentiasa mengasak. Nak mencapai mak, bapak sedara mara reda bukan senang. Cabaran utama di situ.

"Kalau orang luar ada reward motivation, termasuk duit. Tapi di sini tak ada pangkat, duit, nama, tak ada apa-apa... kerja pula banyak. Jadi  motivasinya hanya reda ALLAH, bukan duit," kongsinya.

Pinjam semangat

Sebagai pengasas utama RPWP, tentunya Dr Masjuki perlu lebih bersemangat tinggi kerana harus meminjamkan semangatnya untuk pengasas bersamanya yang berada di RPWP tanpa gaji dan imbuhan.

Selain cabaran dari awal hingga sekarang berkaitan dana, menurutnya paling mengujinya adalah untuk mengekalkan semangat murabbi dan anak-anak berjumlah hampir 300 orang di RPWP.

"Sebab kita ada banyak urusan. Setiap individu di sini ada tugasnya. Jika semangat, perasaan dan tenaganya lemah, tentunya pelaksanaan urusan tak berapa sempurna.

"Sebab itu tiap malam kita ada syura. Dalam tulah kita boost semangat. Pagi pula kita ada role call untuk bapa-bapa co-founder," katanya yang dibantu ketujuh-tujuh anaknya dengan peranan dan pembahagian tugas masing-masing.

Melihat latar belakangnya tidak hairanlah Dr Masjuki mempunyai semangat tinggi kerana beliau telah melalui segala kesusahan hidup dalam belantara di hujung desa terpencil di Kampung Paya Besar, Segamat Johor sebagai anak peneroka hutan.

Tiada sebarang kemudahan asas seperti jalan, elektrik dan bekalan air, zaman kanak-kanaknya beliau sudah biasa berjalan kaki lebih 20 km sehari untuk ke sekolah rendah, sendirian meredah jalan balak di celah belukar, 12 bukit dan paya, merentasi dua estet dan dua desa.

Semasa menengah, beliau berbasikal sejauh 45 km sehari, 25 km ulang alik ke sekolah di bandar, dan 20 km lagi untuk ke sekolah agama di Kampung Melayu Raya. Beberapa malam dalam seminggu, berbasikal 20 km ulang-alik di gelap malam untuk menuntut ilmu silat di sebuah estet.

Antara binaan di tanah wakaf yang sedang dibangunkan

Atas segala kesusahan itu beliau berjaya mencipta kejayaannya, menjadi graduan cemerlang di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar (DVM), seterusnya mencipta kejayaan di pelbagai bidang perniagaan.

Impiannya mengembalikan Islam dalam kegemilangannya melalui perlaksanaan dan bukan sekadar ceramah-ceramah saja.

Ditanya masa hadapan anak-anaknya nanti dengan pendekatannya itu, baginya masa hadapan tidak akan ada untuk anak jika hari ini kita masih terus memikirkan diri dan anak sendiri dan gagal berkorban untuk membangun potensi masyarakat mereka.

"ALLAH ada cara tersendiri untuk melindungi anak-anak yang bakal saya tinggalkan," katanya.

Hari ini RPWP memiliki pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga Institut latihan kemahirannya sendiri.

WE pula bagi menjana pendapatan untuk pengurusan RPWP.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DIANUGERAHI dengan Padma Shri iaitu penghargaan awam tertinggi India keempat pada tahun 2006, Sudha Varghese, yang juga dikenali sebagai Sister Sudha, tidak pernah berhenti membantu golongan masyarakat kasta paling rendah di Bihar, India.
  • BELIAU berjaya mencipta kejayaan di pelbagai bidang, termasuklah pembuatan dan import eksport, perniagaan barangan kulit, perabot, pakaian, barangan saintifik, jentera, haiwan ternakan dan banyak lagi.
  • ROB Greenfield ialah aktivis alam sekitar dan kemanusiaan dengan cara tersendiri dalam menyampaikan misinya. Beliau pengasas The Food Squash Fiasco, sebuah kempen berusaha mengatasi masalah sisa makanan dan kelaparan di Amerika Syarikat.
  • PERNAH kita memikirkan apakah nasib pelarian di sesuatu kem penempatan tanpa pasukan paramedik terutama dalam bidang perbidanan.