MENGIMPIKAN kediaman sendiri namun tekanan kos sara hidup mengakibatkan ramai di antara kita  mudah terpedaya dengan tawaran harga rumah murah sehingga ada yang tidak masuk akal.

Dengan harga serendah RM45,000, kita mula terpengaruh dan sanggup mengeluarkan wang simpanan walaupun jauh di sudut hati, wujud perasaan curiga.

"Saya yakin tidak kena tipu, mereka boleh buat rumah semurah itu." Itu kata-kata untuk memujuk hati sendiri apabila menyerahkan sebahagian wang dengan harapan menggunung.

Namun, apa yang dicurigai benar-benar terjadi, wang yang dilaburkan hangus. Apabila diperiksa,  bukan hanya kita, tetapi ratusan lagi turut menjadi mangsa penipuan rumah.

Kenapa ia terus berlaku walaupun pihak berwajib sudah berkali-kali memberi amaran dan menasihatkan pembeli supaya memeriksa status pemaju terlebih dahulu?

Kes terbaru yang tular di laman sosial sehingga menyebabkan pemiliknya ditahan untuk siasatan benar-benar membuka mata masyarakat.

Ramai mula sedar hak pengguna dan ini sesuatu yang positif dengan harapan tiada lagi isu penipuan berlaku pada masa depan.

Seorang pembantu tadbir, Hasni Hadi, 44, berkongsi kisah dukanya yang terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM67,000.

“Saya terpedaya dengan strategi pemasaran syarikat pemaju perumahan tersebut, ia betul-betul menarik.

“Pada awalnya saya tidak  mampu bayar penuh RM67,000, jadi saya bayar RM1,000 sebanyak tiga kali kemudian saya nekad jual salah sebuah rumah untuk buat bayaran penuh kepada syarikat perumahan berkenaan termasuk membuat pinjaman peribadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bayaran penuh dibuat Hasni selesai pada Januari 2016 apabila dia begitu yakin dengan tawaran promosi dibuat syarikat perumahan itu.

“Ini bukan rumah pertama saya tapi keempat, lepas saja buat bayaran penuh barulah meletup berita dan kisah pembongkaran syarikat pemaju ini menipu dan ramai pembeli jadi mangsa.

“Lepas itu saya cari maklumat berkenaan pemaju dan syarikat berkenaan, dan ternyata tawaran yang dibuat tidak logik. Saya sedar telah diperdaya apabila bayaran elaun tiba-tiba ditamatkan, apabila pemaju temberang bahawa dia dirompak,” jelasnya.

Selain itu, Hasni berkata apabila pembeli meminta si pemaju membayar semula wang yang telah diberikan kepadanya, dia hanya berkata niat asalnya ialah beri kami rumah.

“Saya tidak pernah lawat tapak perumahan tersebut sebab kami hanya diberitahu lokasi tapi tak tahu lot mana, sebab dia kata nanti kami akan dibawa untuk pilih lot, namun itu hanyalah pembohongan.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati sebelum beli, kaji latar belakang penjual dan pemaju perumahan.

“Paling penting lantik  peguam sendiri bukannya peguam daripada syarikat perumahan,” tegasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pasukan khas siasat kes tipu skim rumah mampu milik]

*Jangan LUPA ESOK! Kenyataan daripada pakar kriminologi dan peguam mengenai isu sindiket rumah murah

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUDAYA Melayu lama harus ditonjolkan kembali termasuk dalam konteks mengekalkan pakaian tradisi lama. Itulah yang cuba dilakukan Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia (Dendang Anak) Cawangan Perak dengan memperjuangkan tradisi lama Melayu melalui konsep pakaian dan persembahan mereka.
  • DUA tahun lalu, sebuah warung di persimpangan Felda Bukit Cherakah, Kuala Selangor mendapat perhatian meluas daripada orang ramai.
  • "Hanya Melayu tahu dirinya itu Melayu
  • PERKEMBANGAN teknologi dan pengaruh luar yang memisahkan budaya Melayu kini semakin membimbangkan.
  • KERANA nila setitik, rosak susu sebelanga. Itu pepatah yang sesuai digunakan selepas sistem binaan industri (IBS) dikaitkan dengan 'scammer'.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.