ANAK adalah amanah di atas bahu setiap ibu bapa. Amanah itu perlu ditunaikan seperti mana yang dipertanggungjawabkan. Adakah kita pada hari ini tahu dan sedar, apakah amanah yang wajib ditunaikan oleh setiap ibu bapa?  

Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.” (Surah Al-Dzaariyaat: 56)

Fitrah inilah yang harus dijaga dan dipelihara oleh kedua orang tuanya, jangan sampai anak-anak yang lahir itu berubah fitrahnya.

Fitrah yang dimaksudkan adalah Islam, seperti mana firman ALLAH: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah ALLAH disebabkan Dia telah menciptakan manusia sesuai dengan fitrah itu.” (Surah Al-Rum: 30)

Didikan peratam adalah tauhid

Menjadi kewajipan setiap ibu bapa memastikan anaknya berdiri di atas fitrah tauhid. Maka hendaklah seluruh keluarga Muslim menghidupkan nilai tauhid dalam kehidupan seharian. Golongan nabi dan orang soleh menanamkan nilai tauhid kepada anaknya.

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 133 ALLAH menceritakan kisah Nabi Ya’qub AS: “Apakah kamu semuanya menjadi saksi-saksi ketika kematian menghampiri Ya’qub dia berkata kepada anak-anaknya, “Apa yang akan kamu sembah sepeninggalanku?” Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu, dan Tuhan nenek moyangmu iaitu Ibrahim, Ismail, Ishaq; Tuhan yang Maha Esa dan kami berserah diri kepada-Nya.” (Surah Al-Baqarah: 133)

Ini adalah pesan Nabi Ya’qub AS kepada anak-anaknya yang disampaikan dalam bentuk pertanyaan atau pun ujian.

Sudah tentulah Baginda telah menjelaskan kepada anak-anaknya tentang hal ini sebelum baginda bertanya. Tidak ada guru yang memberikan ujian sebelum menyampaikan pelajaran terlebih dahulu.

Demikian juga Nabi Ibrahim AS berpesan kepada anak-anaknya: “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya’qub: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam agama Islam.” (Surah Al-Baqarah: 132)

Mati dalam keadaan beragama Islam bererti mentauhidkan ALLAH. Waqi’ ibnu Jarrah, guru Imam Al-Syafie berkata, “Kami mendidik anak-anak kami dengan kalimah Lailahaillallah.”
Maka sejak dari kecil lagi golongan Nabi, ulama, orang soleh sudah membiasakan telinga anak dengan kalimah Lailahaillallah dan pelajaran-pelajaran tentangnya.

Tauhid yakni mengesakan ALLAH di dalam ibadah adalah pelajaran pertama yang wajib disampaikan sejak anak masih kecil dan berterusan sepanjang hayat.

Jangan tangguh sehingga anak sudah besar, kerana fitrahnya ketika lahir perlu dipelihara sebelum ia berubah. Kebanyakan manusia memulakan mendidik anak-anak dengan sebutan mama, papa, daddy, mummy. Kita berasa seronok bila anak-anak boleh memanggil kita.

Namun dapat kita lihat bahawa golongan nabi dan orang soleh ketika memberi wasiat kepada anak-anaknya, mereka menekankan perkara tauhid.

Mereka tidak bertanya apa yang akan kamu makan selepas peninggalanku, bagaimana pekerjaan kamu, bagaimana urusan dunia kamu.

 Kebanyakan manusia cemas dengan urusan dunia anak-anaknya, tetapi urusan akhirat anaknya dia tidak peduli. Kebanyakan manusia di dalam wasiat menyebut hal-hal berkaitan dunia semata-mata, tentang harta.

Apa yang akan disembah oleh anak isterinya setelah kematiannya dia tidak peduli.

Kemurnian akidah anak

Seorang mukmin harus tahu bahawa tidak ada yang lebih penting dan lebih wajib dilakukan oleh seorang manusia melainkan menegakkan hak ALLAH SWT atas hamba-Nya.
Ini adalah keutamaan nombor satu dalam pendidikan yang wajib kita beri kepada keluarga, iaitu akidah yang sahih.

Apabila kita bercakap dengan anak, bermain dengannya, peralatan, permainannya, semua kita perlu kaitkan dengan konsep ketuhanan.

Misalnya kita melukis pokok kelapa, kita bukan sekadar mengajarkannya bahawa itu adalah pokok kelapa. Tetapi ceritakan hubung kait pokok ini dengan ALLAH SWT. Ini makhluk ALLAH.

Dengan itu, dari kecil dia sudah faham dan kenal ALLAH. Orang pada hari ini hendak menjadikan anaknya doktor, dia menyediakan peralatan mainan doktor kepada anaknya. Begitu cara mereka memupuk minat anak kepada hal dunia.

 Maka begitu juga seharusnya kita memupuk minat anak kepada agama. Kita hendak didik anak dan keluarga dengan akidah yang benar, jadi kita kaitkan setiap barang mainan mereka dengan ALLAH.

Perlu diperhatikan, barang mainan anak-anak juga ada yang menepati syarak dan ada yang tidak menepati syarak. Barang mainan yang tidak syarie begitu banyak. Kadangkala anak dididik dengan terlalu banyak patung sehingga kehidupannya dengan patung sahaja.

Kita kena hati-hati dengan patung sebab di dalam hadis sahih, Nabi SAW mengatakan dengan tegas malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada patung. Difahami rumah yang tidak dimasuki  malaikat, itu jauh daripada rahmat ALLAH dan syaitan dekat dengannya.

Kalau patung itu digunakan untuk tujuan mengajar, itu ada perbahasan yang lain di mana ia dibolehkan.

Budayakan agama

Bagaimanapun golongan ahli ilmu menetapkan sekiranya patung itu hendak digunakan untuk tujuan belajar pun, hendaklah elakkan ia daripada bersifat sempurna, dan mestilah dielakkan dari memperkenalkan budaya orang kafir, seperti mendedahkan aurat dan sebagainya.

 Sebab mengapa ia tidak boleh dalam bentuk sempurna kerana di akhirat kelak ALLAH akan memerintahkan, “Hidupkanlah apa yang telah engkau ciptakan” (Riwayat Bukhari & Muslim), dan manusia sama sekali tidak akan dapat menghidupkan patung tersebut. Ini adalah satu bentuk seksaan di akhirat kelak bagi orang yang membuat gambar dan patung.

Jadi kalau kita ingin gunakan patung-patung untuk belajar, tidak mengapa dengan mengikuti syarat-syaratnya, tetapi kalau sampai dibiarkan anak itu ke mana-mana dengan membawa patung, nak berjalan mesti bawa patung, nak tidur dengan patung, itu tidak boleh. Perkara ini perlu diperhatikan kerana ia ada kaitan langsung dengan akidah.

Begitu juga filem, cerita kartun. Cerita seperti ini memberi kepada anak suatu kepercayaan; ada kuasa sakti, ada kuasa hikmat, ada kuasa selain ALLAH. Hal ini sebenarnya membantutkan cara mereka berfikir.

Sedangkan kita inginkan mereka cinta ilmu, kita ingin jadikan mereka membudayakan agama dalam kehidupannya.

Tetapi bila kita beri kepada mereka Transformers, Barbie, secara automatik kita telah menjadikan mereka cenderung dan minat kepada hal-hal seumpama itu; melakukan sesuatu dengan kuasa tertentu, meminta pertolongan selain daripada ALLAH, yang perempuan pula minat bersolek, memakai pakaian tidak menutup aurat dan sebagainya.

Jadi kita takkan mampu mencapai matlamat untuk kaitkan apa yang ada di persekitaran anak-anak kita itu dengan konsep ketuhanan.

Saya tertarik untuk menceritakan tentang seorang bapa saudara saya, ketika saya masih di sekolah rendah, saya berasa dilayan olehnya seperti saya sudah dewasa.

Semasa saya berjalan dengannya ketika saya masih kecil dia menyebut, “Abang, lihatlah ciptaan ALLAH. Lihatlah matahari, ALLAH yang telah menciptanya. Lihat kedudukan matahari, ALLAH meletakkannya jauh..”

Segala benda yang dilihat di sekeliling saya dia kaitkan kepada ALLAH. Saya berasa seperti seorang budak yang dilayan seperti seorang dewasa. Kesannya, saya ingat apa yang dikatakannya itu sehingga ke hari ini.

Inilah yang harus digalakkan dan dipupuk di tengah-tengah keluarga kita, iaitu sentiasa mempelajari dan berusaha untuk mengamalkan nilai-nilai tauhid di dalam keluarga.

Dr Fathul Bari Mat Jahya
Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU )

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.