MANUSIA diciptakan dengan fitrahnya tersendiri. Lelaki mempunyai kecenderungan meminati dan tertarik dengan wanita. Begitulah sebaliknya dengan wanita. Mana-mana lelaki atau wanita yang tidak mempunyai perasaan ini maka dia melanggari fitrah yang diciptakan ALLAH SWT.

Bagi memenuhi tuntutan fitrah ini secara suci, Islam sediakan jalan perkahwinan. Melalui perkahwinan, perasaan dan nafsu yang ada pada lelaki dan wanita dapat disempurnakan dengan cara yang halal dan diberikan pahala. Apabila jalan halal ditawarkan, maka tidak ada lagi ruang untuk diharuskan jalan yang haram iaitu zina.
 
Teruna dara bercinta

Seorang lelaki dan perempuan pasti akan melalui detik-detik cinta dalam hidupnya. Apabila sampai ke suatu tahap umur, si teruna akan terpikat dengan si dara. Anak dara pula teruja tatkala ada teruna yang ingin berkenalan dengannya. Perasaan ini adalah fitrah yang dianugerahkan. Ia hanya perlu diuruskan dengan betul mengikut landasan yang disediakan.

Pasangan pemuda dan pemudi yang istilahnya sedang dilamun cinta, pertama sekali bersyukurlah kerana anda memiliki fitrah yang normal. Kedua, pastikan cinta yang dijalin tersebut jelas dan betul hala tujunya, iaitu menuju ke gerbang perkahwinan sebagai menyahut saranan al-Quran dan sunnah Rasul junjungan.

Jika  kedua-duanya meletakkan matlamat perkenalan dan hubungan yang dijalin demi meraih reda dan rahmat Ilahi, maka anda tidak akan tergamak untuk mencemarkannya dengan perbuatan yang mengundang dosa. Perkahwinan dan rumah tangga mesti diliputi dengan cinta dan kasih sayang.

ALLAH berfirman: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah Al-Rum: 21)

Jika rumah tangga sunyi daripada kasih sayang dan belas ihsan malah diganti pula dengan marah dan kebencian, itu tandanya ia jauh dari rahmat dan keberkatan. Perlu dirawat sebelum terlambat. Perlu dicegah sebelum parah.

Layani dengan baik

Kasih sayang dan belas ihsan mampu disuburkan apabila pasangan suami isteri tahu dan sedar hak dan tanggungjawab masing-masing. Keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga akan sentiasa bersemarak apabila adanya konsep 'saling' antara suami isteri seperti saling mengasihi, menghormati, memahami, mempercayai, mendoakan dan mengingati.

Wahai suami, isteri anda juga seorang manusia yang punya jiwa dan perasaan. Usah dilayan seperti seorang hamba atau khadam. Bersyukurlah kerana ada wanita yang sudi menjadi peneman setia perjalanan hidup anda. Bersyukurlah kerana ada wanita yang sanggup menanggung kesakitan mengandung dan melahirkan zuriat keturunan anda. Bersyukurlah kerana ada wanita yang sudi menerima diri anda, kelebihan dan kekurangan diterima seadanya.

Dialah isteri. Isteri yang perlu disantuni sehabis baik oleh suami. Bukan tanda "takut bini". Tetapi itulah lambang suami mithali. Melayani isteri seperti yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Firman ALLAH: "Dan layani dan bergaullah dengan mereka (isteri) secara baik (makruf)." (Surah Al-Nisaa’: 19)

Rasulullah SAW juga berpesan: "Terimalah wasiat ini supaya kamu semua berlaku baik dengan golongan perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW adalah contoh suami terbaik dan Baginda SAW mengingatkan: "Sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu ialah yang paling baik dengan isterinya dan akulah yang paling dengan isteriku." (Riwayat Ibn Hibban, dinilai hasan lighairihi oleh Syuaib al-Arnaut)

Jadi, usah berasa kekok dan malu untuk menguruskan rumah dan anak. Ketika anda membantu isteri melakukan kerja, niatlah itu semua kerana anda ingin mengikut sunnah. Anda ingin menjadi suami yang terbaik untuk isteri seperti yang dipesan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sunnah mengajar kita menjadi suami luar biasa yang mampu memahami hati perempuan dan menghormati hak isteri. Layani isteri anda dengan baik kerana Rasulullah SAW sangat baik dengan isteri-isterinya. Bisikkan kata-kata cinta. Hadiahkan kucupan mesra. Dengar luahan hatinya. Sabar dengan rajuknya. Belai sifat manjanya. Nasihati kecuaiannya. Pimpin tangannya hingga ke syurga.

Berikan nafkah
 
Isteri juga punyai hak-hak lain yang perlu ditunaikan oleh suami. Dalam sebuah hadis, Mu’awiyah bin Haidah RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, apa hak seorang isteri yang harus dipenuhi oleh suaminya?" Maka Rasulullah SAW menjawab: "Engkau memberinya makan apabila engkau makan,  memberinya pakaian apabila engkau berpakaian, janganlah engkau memukul wajahnya, janganlah engkau mencaci dan menghinanya, janganlah engkau meninggalkannya melainkan dalam rumah (yakni jangan berpisah tempat tidur melainkan dalam rumah)." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad, Hadis sahih dan disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Dzahabi)

Berdasarkan hadis ini, suami yang bertanggungjawab akan berusaha untuk menyempurnakan nafkahnya kepada isteri. Disediakan tempat tinggal, makan dan pakaian mengikut kemampuannya. ALLAH berfirman: "…Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah: 233)

Hendon binti ‘Utbah isteri kepada Abu Sufyan pernah datang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya tidak memberikan nafkah yang cukup untuk dia dan anak-anaknya. Sehinggakan Hendon terpaksa mengambil harta suaminya tanpa diberitahu demi menyara keperluannya. Hendon bertanya kepada Rasulullah SAW adakah perbuatannya itu dibolehkan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah hartanya (suami) secara baik, sekadar memenuhi keperluanmu dan anakmu sahaja." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Wahai suami, kerahkan kudratmu untuk mencari pendapatan yang halal. Setiap kepenatan dan perit jerih anda membanting tulang mencari rezeki, niatkan untuk menjadi suami yang terbaik seperti yang disuruh oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mudah-mudahan niat ini akan menghilangkan kepenatan dan diganti dengan kebahagiaan hingga ke syurga.

Selain itu, ombak tidak selalunya tenang, kadangkala ia bergelora. Seorang suami mungkin diuji dek karenah isteri. Namun, kesilapan dan kecuaian isteri bukanlah menjadi ruang untuk suami memperlakukan apa sahaja. Dalam keadaan ini pun, isteri masih ada hak yang perlu diraikan. Berikan teguran dan nasihat dengan baik.

Dalam membuat teguran, elakkan perkataan yang menghina dan merendah-rendahkan maruahnya. Dialah wanita yang telah menyempurnakan cinta anda. Mengapa perlu diherdik dan dihina?

Jika perlu dipisahkan tempat tidur, lakukan hanya di rumah sendiri.  Anda pisahkan tempat tidur demi memberi peringatan dan ruangnya untuknya bermuhasabah. Kesalahannya tidak perlu diheboh-hebohkan.

Jika sampai tahap perlu dipukul pun, pukulan tersebut tidak boleh mencederakan fizikalnya. Hanya demi mendidik dan memberi pengajaran.  Elakkan memukul wajahnya, kerana wajah lambang kemuliaan seseorang.

Wahai suami, apabila anda menjadi seorang suami seperti yang diajar oleh al-Quran dan ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW, andalah suami yang luar biasa. Isteri berbangga mempunyai suami seperti anda. Dalam diam dia berkata: "Dia…Suamiku luar biasa!"


*ABD RAZAK MUTHALIB (Penulis adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang Ilmu Wahyu, UIA)
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • Saya selalu rasa iri hati dengan jiran-jiran yang memiliki kehidupan lebih baik dan mewah berbanding saya dan suami. Suami saya bukanlah orang besar di mana-mana syarikat gah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.