• Dekati budaya Bajau di Sabah
1 /

Berpeluang mengikuti program Kembara Murobbi Merentasi Borneo ke Sabah minggu lalu memberi pengalaman manis bagi Abdul Rashid Abdul Manaf.
Baginya, peluang itu hanya datang sekali sahaja. Selain mengikuti tentatif program yang telah disediakan, Abdul Rashid yakin destinasi ke Negeri Di Bawah Bayu itu memberikan satu pengalaman manis buat dirinya.

Ketika penulis menemuinya baru-baru ini, ternyata masih jelas kegembiraan terpampang pada wajah anak muda yang masih menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Sudah lama saya ingin ke Sabah dan mengenali adat dan budaya kaum di sini. Manalah tahu rezeki saya ditugaskan untuk mengajar di sana setelah tamat belajar.

"Jadi, dengan pendedahan awal sebegini, saya yakin dapat menjalankan khidmat dengan baik,” kata bakal pendidik itu.

Menurutnya, Sabah sememangnya kaya dengan pelbagai keindahan alam semula jadi daripada dasar lautnya hinggalah ke puncak gunung Kinabalu. Di samping itu, negeri tersebut turut mempunyai lebih 32 etnik seperti Bajau, Iranun, Kadazan Dusun dan Murut yang mengamalkan budaya dan adat masing-masing.


Kenali kaum Bajau

Di Sabah, Abdul Rashid dan peserta program dibawa ke Kampung Sembirai, Kota Belud untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai budaya dan kehidupan penduduk di Sabah khususnya dari suku kaum Bajau.

"Sebelum ini, saya sudah dengar suku kaum Bajau yang menetap di Sabah. Cuma tidak tahu bilangan penduduknya ramai berbanding suku kaum yang lain," kata anak muda ini.

Menurutnya, suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad-abad lamanya. Mereka mendiami kawasan persisiran pantai dari Tawau hingga ke Labuan, dengan kepadatan tertinggi di Semporna, Lahad Datu dan Kudat. Kini masyarakat Bajau ramai menetap di Semenanjung Malaysia.

Suku kaum Bajau begitu menekankan hubungan kekeluargaan dan “le’od” iaitu kelompok sedaerah. Sesuai dengan perkembangan masa kini, ramai masyarakat Bajau berkahwin dengan bangsa lain termasuk Cina, Arab, India dan suku kaum tempatan di negara ini.

"Sepanjang berada dalam kelompok suku kaum Bajau, saya berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti bersama mereka. Antaranya, gotong royong, sukaneka dan slot motivasi. Pendek kata, mereka senang memberi kerjasama dan tidak banyak rungutan yang diterima walaupun aktiviti sangat padat," katanya.


Tarian Igal-Igal

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sembirai, Masliah Mohd berkata, pihak kampung mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja yang ingin melawat kampung berkenaan.

"Kami gembira jika ada yang ingin menetap di sini. Sekurang-kurangnya mereka (pelawat) mampu mengenali suku kaum Bajau ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Ujar Abdul Rashid, selama dia tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Sembirai itu, beberapa jenis tarian berjaya dipelajari dan dia begitu seronok kerana dapat mendalami tarian berkenaan.

"Saya seronok dapat mengenali tarian igal-igal. Tarian berkenaan merupakan tarian tradisi suku kaum Bajau di Sabah. Ia kerap diadakan di majlis keramaian seperti majlis perkahwinan atau majlis rasmi anjuran kerajaan," katanya.

Abdul Rashid juga berpeluang mengenali tarian daling-daling yang merupakan tarian kegembiraan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Bajau dan Suluk di daerah Semporna. Biasanya tarian ini dipersembahkan beberapa pasangan penari dalam majlis perkahwinan ataupun upacara keramaian lain di daerah Pantai Timur.


Mahir ukir parang

Kaum Bajau juga dikenali kerana kemahiran mereka dalam seni membuat parang. Difahamkan masyarakat Bajau dari Kampung Siasai Jaya yang terletak di daerah Kota Belud memiliki kepakaran tersebut.

"Bermula daripada proses membentuk bilah, hinggalah kepada seni ukir hulu parang yang cukup halus, semuanya dilakukan masyarakat ini," ujarnya.

Terdapat beberapa jenis parang Bajau mengikut kegunaan. Parang Barong misalnya, digunakan ketika perang, parang Gayang pula jenis yang digunakan oleh pejuang menentang penjajah terkenal, Datu Mat Salleh, manakala yang lain-lain adalah seperti parang Pidah, sabit Bajau, Beladau, Pais dan Lada-lada. Sebilah parang boleh dijual dengan harga setinggi RM500 bergantung kepada saiz.

Pengalaman berada di Sabah menggamit memori indah bagi Abdul Rashid apatah lagi mengenangkan negeri yang unik dan menarik itu.

"Yang paling menyeronokkan apabila negeri ini kaya dengan keunikan tarian kebudayaannya sehingga membuatkan negeri ini dilihat berbeza dari negeri lain," katanya.