MESKIPUN berketurunan Cina, namun dia kurang fasih berkomunikasi apatah lagi membaca dan menulis dalam bahasa Mandarin dan Kantonis.

Berbeza dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang tidak kedengaran pelat bila dia berkomunikasi.

Dawn Chan Lin Lee, 35, atau mesra dipanggil Dawn adalah seorang gadis periang yang berasal dari Bukit Sebukor, Melaka Tengah, Melaka.

Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Dato’ Palembang, Bukit Baru kemudian menyambung pengajian menengahnya di St David’s High School, Bukit Baru di Melaka.

Dia mengakui bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi antara guru dan rakan-rakan di sekolah.

“Di rumah pula, kami sekeluarga hanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Saya hanya didedahkan dengan bahasa Kantonis dan Mandarin dan bahasa Melayu ketika dihantar ke rumah pengasuh pasangan baba dan nyonya ketika kecil, namun saya tidak fasih keseluruhan bahasa-bahasa itu cuma faham sikit-sikit pada awalnya,” katanya.

Anak kedua dari dua beradik itu berkata, ketika kecil dia dijaga oleh pasangan baba nyonya.

“Ketika itu dia didedahkan dengan makanan baba nyonya yang persis dengan makanan orang Melayu.

“Dari situ saya kenal apa itu sambal belacan, saya kemudian jatuh cinta dengan rasa enak sambal belacan selain rasa pedasnya,” katanya.

Rakan baik berlainan bangsa

Anak kepada pasangan Stanley Chan Kheng Fong dan Sue Yap Ah Loi itu berkata, di sekolah dia mula bergaul dengan rakan dari pelbagai bangsa seperti Melayu dan India.

“Melalui mereka, saya kenal makanan Melayu bahkan percakapan saya dalam bahasa Melayu juga semakin fasih.

“Ketika di bangku sekolah juga saya punyai dua rakan baik bernama Sharifah Nurul Hafiza Jamalullail atau dipanggil Hafiza dan Karpreet Kaur dan sehingga kini kami masih berhubung meskipun masing-masing sudah berumah tangga,” katanya yang masih bujang itu.

Rakan-rakan media begitu rapat dengan Dawn (tiga, kanan) yang terkenal dengan sikap mesra dan mudah didekati.

Menurutnya, ketika zaman persekolahan dia kerap bertandang ke rumah Hafiza.

“Bila ke rumahnya, saya pasti dijamu dengan hidangan dan masakan tradisional orang Melayu,” katanya.

Katanya lagi, ketika sambutan Aidilfitri dan Deepavali pula dia tidak melepaskan peluang menziarahi rakan-rakan beragama lain.

“Aspek agama dan keturunan tidak menjadi penghalang untuk berkawan, bahkan kami saling hormat menghormati di antara satu sama lain,” katanya.

Masak nasi goreng kampung

Dalam pada itu, Dawn mengakui kali pertama menikmati nasi goreng kampung yang dimasak seorang rakan bernama Shahirin menyebabkan dia jatuh suka kepada makanan itu.

“Saya terus minta resipi daripadanya sebab saya nak belajar cara masakan tersebut. Ternyata hasilnya hampir sama,” katanya gembira.

Menceritakan pengalaman ketika berada dalam dunia pekerjaan, dia yang bertugas sebagai wartawan New Straits Times Press (NSTP) sejak tahun 2008 berkata, hubungannya dengan rakan dari bangsa lain semakin berkembang.

“Dalam dunia kewartawanan, saya jumpa rakan-rakan dari pelbagai bangsa dan negeri, begitu juga dengan orang yang ditemu ramah rata-ratanya bercakap bahasa Melayu dengan saya,” katanya.

Menurutnya, dia mula mengenali kuih keria, nasi lemak, lontong, soto, sate dan lain-lain melalui rakan berbangsa Melayu.

“Malah di pejabat juga saya dikelilingi rakan-rakan berbangsa Melayu dan mereka juga tidak kekok bahkan tidak pernah meminggirkan kehadiran saya,” katanya.

Pada masa sama, Dawn yang terkenal sebagai seorang yang cukup mesra dan peramah di kalangan rakan-rakan meminta rakyat negara ini rapatkan jurang perbezaan antara satu sama lain demi memupuk perpaduan yang lebih utuh.

“Berkawan juga kena tengok keserasian, kita akan lebih serasi berkawan dengan mereka yang boleh lepak sama-sama dan kongsi pandangan, jika berbeza kaum dari situlah kita boleh belajar mengenai adat dan agama mereka.

“Jika ada pendapat yang bercanggah, luahkan sahaja dan jangan biar sesuatu ketidakpuasan itu berpanjangan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.