• Dapat barang dari mimpi Antara koleksi barang lama Hisham.
  • Dapat barang dari mimpi Dabus yang digunakan dalam tarian ketika majlis berinai ini disepuh sepenuhnya.
1 /

Dari luar rumah kedengaran sayup-sayup alunan lagu klasik. Di muka pintu, seorang lelaki muda berkulit hitam manis, segak mengenakan topi tweed melemparkan senyuman menyambut kedatangan penulis.

Sebaik memasuki kediaman separuh kayu separuh batu, kelihatan deretan barangan lama mengisi ruang. Pinggan batu, tempayan, senjata, botol kaca, piring hitam dan bekas alkohol unik disusun mengikut jenis. Di atas lantai, terletak molek beberapa album setem dan syiling lama. Terdapat juga bekas berisi batu akik dan paip.

“Ruang depan rumah pusaka ini memang saya dirikan khas untuk menyimpan barang-barang koleksi,” tutur Muhammad Hisham Musa, 30, seraya mempersilakan khazanah kesayangannya dibelek.

Melihat dabus di tangan penulis, pantas dia memberi trivia. Kata Hisham, alat yang diwarisi daripada moyang saudara itu tidak dipaterikan tetapi disepuh sepenuhnya. Ia digunakan olehnya sendiri sampai sekarang setiap kali mempersembahkan Tarian Dabus pada malam berinai.

“Saya bukan sahaja meminati barangan lama malah warisan budaya kita. Selain tarian dabus, saya aktif dengan persatuan nasyid, marhaban dan dikir burdah sekitar kampung,” ujar anak jati Kelanang, Banting, Selangor yang juga bilal pengurusan jenazah sejak usia 16 tahun ini lagi.

Hisham kemudian mencapai seputar, senjata lama yang merupakan pusaka turun-temurun keluarga. Imbasnya, senjata itu banyak berjasa dalam mempertahankan maruah bangsa dan agama.

Mudah jumpa

Minat terhadap barang lama berputik apabila acap kali pada zaman kanak-kanaknya, Hisham melihat arwah datuk, Abdul Wahab Mohamad Som mengelap barang tembaga. Kelekaan si datuk bersama koleksi tembaganya membuatkan Hisham turut ralit. Sedikit sebanyak, jiwanya memahami kepuasan diperoleh daripada hobi tersebut.

“Satu hari datuk hulurkan dua batu akik. Gembira bukan kepalang apabila menerima pemberiannya.

“Sejak itu saya mula berangan-angan mahu ada koleksi barang lama dan unik milik sendiri,” ujarnya.

Entah disebabkan teruja atau memang hendak jadi rezeki, sejak itu minat Hisham seolah-olah dipermudahkan. Mengakui tidak punya banyak wang untuk dilaburkan semata-mata kepuasan hobi, ada cara lain bagaimana koleksinya bertambah.

“Alhamdulillah, pandangan saya cepat mengesan jika terdapat barang lama di satu-satu tempat. Misalnya, ketika membakar sampah di kebun, saya terjumpa takar dalam tanah. Begitu juga syiling, pinggan lama dan seterika kepala ayam.

"Ketika berjalan-jalan di sekitar Bukit Jugra pula, saya pernah temui batu cincin dan subang lama,” ujar Hisham yang turut mendapat barang melalui alamat mimpi.

Batu bawah cucur atap

Menyentuh tentang mimpi yang memberitahu kedudukan barang, pengalaman pertama kali ditempuh Hisham ketika berusia lapan tahun. Mimpi yang memberitahu tentang lokasi batu akik itu dialaminya sekitar jam dua pagi.

“Sebaik terjaga daripada tidur, saya terus ke serambi depan rumah. Saya terlihat ada kesan kilat di sebalik titisan air yang turun dari cucur atap. Apabila diamati benda berkilat tersebut, nyata ia batu yang baru saya mimpikan,” kata Hisham.

Bagaimanapun, dia menolak tanggapan bahawa mengumpul barang lama akan menemukan pemilik dengan peristiwa mistik. Setakat yang pernah dialaminya, hanyalah seputar yang disimpan rapi tiba-tiba berada di sisi sebaik terjaga dari tidur beberapa tahun dulu.

“Saya tak pernah asap barangan ini. Malah nak mengelap selalu pun tak sempat, jadi saya lakukan secara berperingkat.

“Semua koleksi saya sayang sebab setiap satunya ada sejarah tersendiri. Saya akan pastikan ia jadi warisan anak cucu. Mudah-mudahan, ia dapat mengingatkan mereka mengenai akar bangsa dan budaya kita,” katanya yang mengisi hari dengan melakukan kerja-kerja kampung.