• Ammar Al Ali Celotehnya dan zikir ketika memasak memberi impak berbeza kepada penonton
1 /

Pernahkah anda terdengar atau pernah menonton rancangan ‘Hidangan Barakah’ di TV Al-Hijrah? Apakah istimewanya rancangan ini?

Mesti ada yang pernah menonton dan ada yang tidak pernah pun mengetahui akan rancangan ini. Justeru penulis terbaca satu blog My Personal Space yang memberi komen mengenai rancangan tersebut.

Antara komennya: “Ya ALLAH tak boleh nak menahan diri daripada bercakap pasal rancangan best ni. Ini rancangan masakan. Bukan sebarang chef. Bukan orang tempatan. Di hos sendiri oleh Chef Ammar Al Ali. Rasanya dia mungkin dari Arab kot

“Nak dijadikan cerita, satu petang tu terbuka la 114 Al-Hijrah. Lepas tu, tengok lah rancangan Hidangan Barakah ini. Memang ralit. Ralit dengan gaya chef, ralit dengan percakapan chef yang sekejap bahasa Melayu, sekejap bahasa Inggeris, sekejap dalam bahasa Arab. Ya ALLAH seronok sangat-sangat.

Sebenarnya, inilah kali pertama melihat program masakan berbentuk Islamik. Sepanjang chef memasak, dia akan berzikir dan memberi nasihat peringatan kepada kita agar apa yang kita lakukan,” kata pemilik blog ini.

Itulah antara komennya mengenai keistimewaan rancangan yang dihoskan chef dari Jordan ini, Ammar Al Ali yang 18 tahun menetap di Malaysia dan berkhidmat dengan pelbagai dapur hotel serata negara.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menemu bual Ammar dan dapat menyelongkar sikit sejarah hidupnya yang minat dalam bidang masakan walaupun ketika kecilnya sering dihalau oleh ibunya daripada dapur.

Suka ke dapur

Ammar berkata, sejak kecil telah terbit minat untuk memasak dan mengetahui resipi yang dimasak oleh ibunya atau neneknya ketika di negara asal yang juga terkenal dengan masakan Arab.

Menurutnya, ketika sekolah rendah, banyak kali cubaannya untuk melihat ibunya bersama neneknya memasak di dapur dihalang kerana bagi masyarakat sana memasak adalah tugas wanita ketika di rumah.

“Tetapi saya tidak putus asa dan apabila ibu melihat keinginan saya dalam bidang masakan barulah dia memberi izin untuk turut berada di dapur dan membantunya memasak.

“Daripada situlah, minat memasak semakin menebal dalam diri saya dan apabila berkesempatan menyambung pelajaran di Malaysia, seakan memberi ruang besar pada saya untuk meneruskan kerjaya kulinari ini,” katanya.

Selain itu kata Ammar, pada mulanya beliau datang ke negara ini untuk menyambung pelajaran di salah satu institut pengajian tinggi awam untuk mendalami ilmu pentadbiran, tetapi setelah setahun, beliau berhenti atas sebab mahu sambutng dalam bidang kulinari.

“Justeru saya sambung pelajaran di Kolej Taylor dalam bidang masakan seterusnya apabila tamat pengajian, saya mula berkecimpung dalam dunia masakan di hotel terpilih.

“Namun bukan mudah kita mahu belajar, bukan mudah berada di tahap ini jika tidak bermula dengan kepayahan. Walaupun terpaksa pegang mop lantai dan cuci pinggan terlebih dahulu, asalkan dapat melihat chef yang lain menyediakan hidangan seterusnya menyalin sedikit resipi yang disediakan,” katanya.

Ingat pesan nenek

Penghijrahan ke negara lain juga kata Ammar yang suka menyebut tag line ‘suka suka hati’, menjadi sebahagian caranya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu masakan kerana lain negara lain makanannya justeru mahu dikongsi bersama penonton dan rakan di Facebooknya.

“Nenek saya pernah berpesan, ilmu yang ada jangan di bawa mati, sebaiknya perlu dikongsi dan disebarkan kerana ilmu itu milik ALLAH, dan segalanya adalah milik-Nya, jadi jika tidak dikongsi ia tidak berguna.

“Oleh itu, niat saya hanya mahu berkongsi ilmu yang ada dan di Facebook juga saya turut berkongsi resipi kepada rakan selain memberikan resipi turun-temurun keluarga kepada rakan di facebook,” katanya.

Untuk lebih dekat bersama penonton dan rakan Facebook, Ammar berhasrat untuk membuka kelas masakannya sendiri untuk mengajar cara masakan berdasarkan Islamik dan berkongsi pelbagai resipi masakan yang diketahui.

“Insya-ALLAH, saya akan membuka kelas masakan yang akan bermula selepas raya ini dan hanya memakan masa beberapa jam sahaja sesi masakan untuk disertai rakan semua.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang dengan mengambil masa mereka terlalu banyak sehingga ada kalangan peserta gelisah apabila mengikuti kelas saya nanti. Cukuplah beberapa jam yang saya akan muatkan segalanya dalam kelas berkenaan dan impaknya memberi kesan pada peserta,” katanya yang boleh berbahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan fasih.

Setakat ini telah ada 300 individu yang berminat untuk amenyertai kelasnya. Hanya menunggu masa dan tempat untuk direalisasikan agar ilmu yang ada boleh dikongsi bersama di samping tidak lupa untuk mengingati ALLAH walau di mana berada.