MEDIA antarabangsa melaporkan keadaan sesak di kem kemanusiaan yang menempatkan etnik Rohinya di Bangladesh.

Selepas bergelut melarikan diri daripada tentera Myanmar, pelarian Rohingya kini terpaksa bersesak dan berebut untuk mendapatkan bekalan makanan dan air serta tempat perlindungan yang baik buat mereka.

Selain masalah tempat tinggal, air dan makanan, udara di kem pelarian tersebut juga berkuap dengan bau kumbahan, yang mana menandakan kem tersebut bakal berdepan dengan masalah baharu iaitu masalah kebersihan dan penyakit bawaan pelarian.

Dianggarkan lebih 270,000 pelarian Rohingya sudah membanjiri kem pelarian sejak tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap pemberontak Rohingya pada akhir Ogos lalu.

Portal abcnews melaporkan, meskipun Bangladesh mengalukan kehadiran pelarian Rohingya, kerajaan Bangladesh tidak mampu membiayai peruntukan perubatan, makanan dan petempatan yang dikatakan menelan belanja besar.

Pendek kata, pelarian Rohingya yang berjaya melepasi sempadan Bangladesh kini terpaksa bergelut sekali lagi untuk meneruskan hidup di kem pelarian Kutupalong di negara tersebut.

Pasangan Rohingya, Ali Johar dan isterinya, Khuthija adalah sebahagian daripada ribuan pelarian yang mendapatkan perlindungan di kem tersebut.

Ketika ditemui wartawan, Khutija kelihatan terlalu letih dan lemah, serta tidak mampu untuk mengeluarkan suara.

Di pangkuannya, terdapat bayi kecil yang hanya diselimut dan dibaluti selimut.

Khutija memangku anaknya yang baru berusia dua hari, di mana dia melahirkan anaknya tanpa bantuan perubatan di dalam hutan berdekatan dengan kem.

Bayinya kelihatan sihat tanpa sebarang masalah. Namun bayi perempuan Khutija bakal memulakan hidupnya tanpa keperluan tempat tinggal sempurna, makanan dan air bersih.

Ali ketika ditemu bual mengaku tidak sempat membawa keperluan mereka sewaktu melarikan diri ke kem tersebut.

Duduk berdekatan dengan Ali, Hafizullah Muhammad dan isterinya, Senwara Begum bersama lima anaknya.

Hafizullah menjelaskan kampungnya telah dikelilingi tentera, menyebabkan mereka sekeluarga tidak ada pilihan selain melarikan diri ke sempadan.

"Tentera melepaskan tembakan ke rumah kami, kami semua keluar dan menyerah diri.

"Tentera berkata kepada kami, 'Baiklah, lari!' Kami lari ke suatu arah, manakala ibu bapa saya lari ke arah yang lain.Kami masih tidak tahu di mana mereka berada," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan abcnews.com.

Selain keluarga Ali dan Hafizullah, ribuan lagi keluarga menghadapi masalah sama di kem pelarian itu.

Setiap hari, bekalan air bersih dicari gali dan diberikan kepada pelarian kem Kutupalong, bagaimanapun ia sentiasa tidak mencukupi.

Setiausaha kem, Noor Mohammad ketika memetik laporan portal memohon lebih banyak bekalan dan bantuan disampaikan kepada pelarian kem tersebut.

"Kami sentiasa menerima ketibaan pendatang baru, sesetengahnya sudah dua hari atau tiga hari hidup tanpa makan dan minum.

"Mereka tidak mempunyai bahan untuk memasak, tidak ada apa-apa untuk dijadikan alas di atas tanah, ada kanak-kanak yang tidak mempunyai pakaian, mereka datang tanpa seurat benang," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KONSEP dakwah santai melalui program “Street Dakwah: Islam is Peace” dapat menarik minat warga ibu kota di Jalan Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.
  • TIDAK memahami syarat pengeluaran, sukar mendapat pinjaman dan tertekan dengan kos sara hidup merupakan antara punca pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjebak dan mudah tertipu dengan aktiviti penipuan pengeluaran simpanan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
  • SEJAK kebelakangan ini, minuman teh hijau semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di negarfa ini, tidak kira golongan apa pun.
  • RASANYA yang manis, saiz buah yang besar dan hanya boleh didapati di Kuala Rompin, Pahang menjadikan buah jambu batu jenis unda ini mendapat permintaan menggalakkan daripada penggemarnya malah amat berpotensi untuk dikomersialkan dan memberi pendapatan lumayan.
  • NAMA asalnya adalah Lembaga Kemajuan Tanah Rancangan Sungai Dusun dan dibuka pada Disember 1962.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.