JIKA dahulu, kawasan padang rumput di Taman Seri Bedena, Sungai Besar, dicemari sampah-sarap yang menyakitkan pandangan mata, namun siapa sangka usaha seorang penduduk taman itu menternak burung baji menjadikan kawasan itu sebagai tarikan pengunjung.

Roslan Yahaya, 51, yang menternak burung baji atau Love Bird sejak setahun lalu merasakan padang hadapan kediamannya itu memerlukan landskap yang lebih ceria dan menarik.

Roslan yang merupakan seorang koperal polis dari Balai Polis Tanjong Karang itu mengakui, sejak dia membina reban burung, kawasan itu bukan saja berwajah baharu, malah lebih ceria dengan bunyi kicauan burung .

“Dulu laman depan ini kotor dan tak terurus sampailah saya dapat satu ilham nak bina reban ternak burung ini.

“Mula-mulanya bela burung di taman perumahan agak janggal, tapi lama kelamaan ramai jiran dan rakan saya pula berminat nak sama-sama ternak burung ini,” katanya.

Rosli menunjukkan burung baji yang baharu menetas dan belajar berdikari.

Bertelur lima kali setahun

Burung peliharaan yang mempunyai lebih 50 warna itu katanya, amat senang diternak berbanding burung-burung lain.

“Seekor burung baji saja miliki sekurang-kurangnya tiga warna. Di reban saya, seekor burung baji punya warna kuning, hijau dan hitam, ada juga warna biru, hijau dan putih.

“Asalnya, seorang kawan beri saya lima ekor burung ini berusia empat bulan dan bila dah jaga, mulalah rasa sayang dan seronok.

“Kemudian saya rasa macam tak puas sebab rasa sikit sangat dan saya beli lima ekor lagi.

“Alhamdulillah, saya pernah pelihara lebih daripada 100 burung baji dan terpaksa beri kepada rakan-rakan lain,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, pada masa sekarang, sebanyak 70 burung baji dipelihara di rebannya.

Dia yang turut dibantu isterinya, Habibah Shaharudin, 43, berkata, burung comel itu mengambil masa sehingga 18 hari untuk bertelur, mengeram sehingga menetaskan anak baharu yang boleh mencapai sehingga empat ekor.

“Setelah kira-kira sebulan berada bersama ibunya, anak burung ini akan sendirinya keluar dalam sangkar dan berlatih berdikari.

“Burung baji ini bertelur sekitar lima kali setahun dan kerap membiak pada bulan April,” katanya.

Belanja RM700 bina rumah baji

 Roslan berkata, dia membelanjakan kira-kira RM700 bagi membina rumah baji berkenaan.

“Di dalam reban ini, terdapat 22 sarang yang diperbuat daripada sabut buah kelapa. Sarang ini kita tebuk untuk tempatkan burung betina yang bertelur dan menetas,” katanya.

Ditanya tentang cabaran untuk menternak burung peliharaan ini, Roslan memberitahu, soal kebersihan mesti dititikberatkan bagi memastikan burung dalam keadaan sihat.

“Najis burung kena dibersihkan sekurang-kurangnya seminggu sekali sebab takut burung terkena jangkitan kutu.

“Bila dah kena jangkitan ini, burung kelihatan dalam keadaan lemah dan murung.

“Jika dulu reban ini sering diganggu cencorot, sekarang saya dah simen semua lubang yang jadi tempat kemasukan haiwan ini,” katanya.

Katanya, dia membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk membeli makanan burung baji.

“Makanan utama ternakan ini ialah roti dan tulang sotong, selain jagung mentah yang diberi lima tongkol seminggu.

“Saya juga beri makanan rumput liar untuk mencantikkan bulu burung yang berwarna-warni ini,” katanya.

Sejak memelihara burung itu, katanya, dia berasa lebih seronok, selain dapat melepaskan lelah selepas seharian berada di tempat kerja.

“Burung yang saya ternak ini juga seolah-olah dah kenal dengan saya.

“Lagi-lagi kalau saya datang bawa makanan, pastinya burung-burung ini kerumun atas badan dan berlumba-lumba dapatkan makanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.