[VIDEO] KECANTIKAN dan wanita berpisah tiada. Meskipun hidup tanpa negara, dalam keadaan daif, kaum wanita pelarian Rohingya di Kem Balukhali, Cox's Bazar, Bangladesh tidak ketinggalan untuk berhias.

Tanpa peralatan 'make up' yang lengkap tidak menjadi hal buat mereka sehinggakan rela memilih menggunakan berus gigi sebagai berus bedak asas di muka.

Gaya 'make up'  mereka  yang tersendiri menyerlahkan lagi identiti etnik Rohingya itu sendiri.

Salah seorang pelarian, Asemahatu, 30, turut menjadikan gaya bersolek sebagai rutin, menyifatkan tidak sempurna harinya tanpa solekan.

"Di pasar ada jual bedak dan peralatan solek lain. Jadi saya boleh beli jika habis.

"Inilah gaya kami wanita Rohingya. Pada saya jika tidak bersolek, seperti tidak lengkap," katanya kepada Sinar Harian.

Situasi itu menjadikan Asean Village yang dibangunkan di bawah Program SINAR4ROHINGYA oleh Sinar Harian ini tidak sunyi dari dikunjungi jurujual yang membawa pelbagai barangan kosmetik, termasuk aksesori.

Kaum-kaum wanita akan mengerumi si penjual untuk melihat dan membeli segala apa yang dirasakan sesuai untuk memberi nilai tambah pada kecantikan mereka.

Dalam masa sama, budaya itu tidak terkecuali dari mempengaruhi kanak-kanak perempuan di situ yang dilihat turut 'bersiap' meskipun dengan pakaian comot dan berkaki ayam.

Tidak hairanlah 70 peratus penghuni kem ini yang terdiri daripada kanak-kanak dan wanita tidak pernah lokek dengan senyuman.

"Kami daif, tapi tetap mahu cantik!."