NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah kini lebih sibuk dan lincah dari masa dia mula-mula berkecimpung dalam kancah politik selepas ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan dilucutkan daripada jawatan timbalan perdana menteri 20 tahun lalu.

 Ibu tunggal beranak dua ini terus bergerak ke seluruh negara bersama pemimpin-pemimpin pembangkang lain, memberi penerangan dan ceramah politik, apa lagi dengan PRU14 boleh diadakan bila-bila masa terdekat.

Namun demikian, tidak banyak diperkatakan mengenai dirinya sejak setahun dua yang lepas.

Yang ada hanyalah sekadar laporan mengenai kenyataannya berkaitan perjuangan dan perancangan parti.

Tidak banyak lagi dengar laungan ‘Puteri Reformasi’, gelaran yang diberikan kepadanya ketika beliau mula muncul dalam arena politik tanah air.

Suara-suara yang pada suatu ketika mengangkat imejnya ke tahap tinggi hingga dia diramalkan akan menjadi wanita pertama memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia pada suatu masa kelak seolah-olah sudah senyap sepi.

Malah, terdapat cakap-cakap berbaur sinis yang menganggapnya sebagai Puteri Reformasi yang sudah semakin basi, yang sudah tiada apa lagi untuk diperjuangkan.

Tetapi, pemimpin dan rakan-rakan dalam parti masih mempertahankan Nurul Izzah sebagai seorang wanita cekal yang kuat bekerja, tidak mudah mengalah, jauh sekali berputus asa!

”Tidak mungkin populariti jatuh. PKR dan Pakatan Harapan sentiasa mengambil serius pandangan Nurul Izzah,” kata Ketua Setiausaha Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika dihubungi.

Anak sulung Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini kini berusia 38 tahun diberikan kepercayaan parti menjadi naib presiden paling kanan antara tujuh orang yang memegang jawatan yang sama.

”Atas kebolehannya juga, beliau diberi peranan besar dalam parti dan gabungan pembangkang. Jangan lupa, beliau adalah pengarah bersama pilihan raya PKR,” tambah Saifuddin.

Sebelum menceburi politik, Nurul Izzah adalah mahasiswa Universiti Teknologi Petronas yang kemudian bertukar pengajian di Universiti Tenaga Nasional dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik.

Tetapi, barangkali pendidikan sarjananya dalam Kajian Asia Tenggara, Hubungan Antarabangsa di School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington banyak membantu kakak kepada lima beradik ini menjadi lebih matang dalam politik.

Saifuddin berkata, tanggungjawab dan kepercayaan diberikan kepada parti adalah berdasarkan kebolehan Nurul Izzah.

"Penyertaannya secara aktif dalam politik sejak pemecatan ayahnya banyak mengajar beliau menjadi cepat matang.  

"Jika dahulu beliau digelar Puteri Reformasi melalui pelbagai platform untuk memperjuangkan pembebasan ayahnya dari penjara, hari ini beliau telah berperanan di wacana lebih besar berkenaan dasar PKR dan Harapan.

"Input ideanya tetap diambil kira untuk menjadi dasar penyatuan dan pergerakan parti untuk menawan negara,” jelasnya.

Baru-baru ini, nama Nurul Izzah disebut-sebut sebagai calon PKR untuk bertanding di kawasan parlimen Permatang Pauh, kerusi tradisi milik ayah dan ibunya.

Anwar menjadi wakil rakyat Permatang Pauh dari 1982 dan sehingga 1999 sebelum beliau dipenjara atas kesalahan salah guna kuasa.

Kerusi itu kemudiannya dipertahankan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga sekarang.

 Wan Azizah menang dengan majoriti 8,841 dalam pertandingan empat penjuru dalam pilihan raya kecil pada 2015.

 Dua minggu lalu, Wan Azizah telah membuat pengumuman akan mempertahankan kerusi Permatang Pauh itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, frasa Reformasi yang digunakan 20 tahun lalu mungkin sudah pudar dengan suasana politik hari ini.

 Ketika itu katanya, Nurul Izzah berusia 18 tahun dan agenda reformasi 1998 barangkali tidak boleh diangkat atau perlukan pengubahsuaian memandangkan gerakan politik berbeza.

”Tetapi kini, Tun Dr Mahathir (Mohamad) telah bersama pembangkang,” katanya.

Walaupun pembawakan politik pembangkang memerlukan perbezaan dan pembaharuan, Sivamurugan berkata, peranan Nurul Izzah dalam parti tetap ketara apabila turut mengetuai jentera pilihan raya PKR.

”Selaku Naib Presiden PKR dan saya percaya beliau turut menjadi instrumental dalam usaha mewujudkan suasana pendamaian bersama Mahathir serta pencalonan Mahathir sebagai calon perdana menteri Harapan.

”Nurul Izzah juga telah melalui perjalanan yang penuh liku dan daripada seorang yang tiada pengalaman, kini dilihat sebagai salah seorang pemimpin muda wanita berkaliber dalam Harapan dan PKR,” katanya.

Sivamurugan berkata, ikon PKR itu telah diterima dengan kewibawaan dan penampilannya di kalangan masyarakat tanpa lagi bergantung kepada Anwar dan Wan Azizah sendiri.

”Namun untuk terus memberikan impak berterusan, ia perlu dilihat juga sejauh mana dengan keadaan partinya, PKR mendapat tempat dalam negara,” katanya.

Berlainan pandangan pula dengan Penganalisis Politik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff yang melihat populariti Puteri Reformasi itu semakin suram dalam Harapan.

 Katanya, sejak gabungan pembangkang itu menaikkan Mahathir dan Wan Azizah sebagai pemimpin utama parti, mungkin mereka sengaja mengurangkan langkah Nurul Izzah.

”Jika berterusan, takut watak utama dalam barisan pembangkang akan hambar dan rakyat terkeliru untuk memilih pemimpin dalam gabungan itu.

”Cuma Nurul Izzah tetap ada pengaruh sendiri, tanpa perlu berpaut kepada ayahnya mahupun ibu dalam berpolitik dan beliau ada karisma tersendiri untuk memimpin,” jelasnya.

 Pensyarah Komunikasi Massa UPM itu juga menjelaskan faktor  Nurul Izzah kurang popular juga disebabkan lebih ramai pemimpin muda telah muncul seperti Ketua Pemuda Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

”Mungkin Syed Saddiq lebih kerap bersama masyarakat dan Nurul Izzah yang semakin berusia menjauhkan jurang dengan masalah rakyat pertengahan menjadi beliau ‘tenggelam’.

”Walaupun pernah naik dengan jolokan Puteri Reformasi dan anak Anwar Ibrahim, Nurul Izah perlu ingat gelaran yang dipikul itu bukan lagi menjadi pemberat dalam perjuangan politik hari ini kerana pengaruh ayahnya semakin tenggelam,” katanya.

Walaupun telah dinafikan Wan Azizah mengenai pencalonan anak sulungnya di Permatang Pauh ia tidak dipandang mudah Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

”Jika bertanding, Puteri Reformasi sejak 20 tahun lalu itu tidak memberi kesan dan mampu meraih sokongan pengundi kawasan berkenaan

"Nurul Izzah akan mengalami nasib paling malang jika bertanding di Permatang Pauh. Puteri Reformasi tidak membawa makna kepada pengundi.

”Permatang Pauh bukan lagi untuk legasi Anwar. Cukuplah, Puteri Reformasi juga gagal kalau melompat dari Lembah Pantai ke tempat lain,” katanya.

Sementara itu, bagi Nurul Izzah sendiri, gelaran Puteri Reformasi diberi oleh pendukung gerakan reformasi ketika itu.

"Sudah tentunya ia mengalami evolusi dan diserap dalam semangat gerakan yang diserap Srikandi PKR dan juga agenda reformasi bagi mengangkat martabat wanita.

”Selepas dua dekad pengenalan tema Puteri Reformasi, dasar pro wanita di Selangor jadi saksi kepada relevannya mana-mana terma apabila memberi kesan kepada kebajikan serta keadilan sosial bagi rakyat terbanyak,” katanya.

Akan tetapi bagi pemilik gelaran itu berpendapat, beliau melihat pelunasan salah satu agenda reformasi belum tercapai sepenuhnya selagi pemisahan bidang kuasa perdana menteri dan menteri kewangan masih belum terlaksana.