$entry.content.caption.value
Cuti persekolahan kian hampir ke penghujungnya dan awal Januari penggal persekolahan 2012 akan bermula lagi seminggu. Ketika itu, golongan ibu bapa akan mengambil peluang untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak seperti pakaian, buku dan kasut.
Tatkala itu, perbelanjaan keluarga mungkin akan meningkat berikutan pelbagai barangan kelengkapan yang harus dibeli dalam tempoh singkat. Bagi pengguna bijak, perancangan pengurusan kewangan untuk membeli kelengkapan itu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan bajet harian.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, masyarakat terutama ibu bapa perlu membuat penilaian semula terhadap kelengkapan persekolahan anak yang sedia ada.
“Ini akan membantu pengguna supaya tidak terbeban dengan keperluan kelengkapan yang harus dibeli. Lihat semula pada uniform mereka. Jika masih elok, maka ia boleh digunakan semula pada penggal persekolahan baru,"katanya.
Menurutnya, tahun baru dan penggal baru bukan bermakna semua kelengkapan juga haruslah baru.
“Penggunaan kelengkapan sedia ada yang masih elok akan membuatkan pengguna lebih berjimat cermat dengan lebih bijak,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan yang perlu dibeli, ibu bapa haruslah membuat senarai barangan untuk dibeli sebelum ke tempat membeli belah.
“Ini akan mengelakkan pengguna menjadi “impulse buyer” yang membeli untuk memenuhi keperluan dan kehendak sepatutnya.
Tarikan promosi
Kajian yang dilakukan persatuan tersebut mendapati pengguna yang pergi ke pusat untuk membeli belah tanpa senarai barangan telah berbelanja tanpa had, lebih memburukkan lagi dengan penggunaan kad kredit.
“Sudahlah berbelanja tanpa had, pengguna terpaksa pula dibelenggu hutang kerana terlibat dengan penggunaan kad kredit,” katanya.
Jacob berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak tertarik dengan promosi dan diskaun yang dilakukan peniaga.
“Kajian yang dilakukan di 15 pusat membeli belah sekitar Lembah Klang mendapati ramai peniaga menggunakan pelbagai taktik untuk menarik lebih ramai pengguna membeli produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.
Menurutnya, pemberian bonus RM500 untuk kakitangan awam perlu digunakan sebaiknya walaupun masih tidak mencukupi bagi sesetengah individu.
“Nasihat saya agar orang ramai berbelanja mengikut bajet yang sedia ada bukan menjadi bakal penghutang kelak,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan Shah Alam mendapati banyak premis perniagaan mengadakan jualan sempena kembali ke sekolah. Rata-rata premis menyediakan sudut khas bagi kelengkapan persekolahan untuk memudahkan pembeli membuat pilihan seterusnya membeli produk mereka.
Harga yang ditawarkan pula mengikut jenis fabrik. Misalnya baju sekolah pelajar perempuan berharga sekitar RM20 dan ke atas. Begitu juga dengan kelengkapan lain. Kelihatan juga ibu bapa membawa anak mereka untuk mencuba pakaian yang bakal dibeli sekali gus membuat pilihan terbaik dalam pembelian itu.
Waktu sesuai
Pembeli yang ditemui, Azizan Hussain, 38, berkata, dia memperuntukkan hampir RM1000.00 untuk membeli kelengkapan persekolahan bagi tiga orang anaknya.
“Jumlah tersebut dikira selepas membuat perancangan sebelum saya berbelanja untuk keperluan persekolahan. Bonus yang diberikan kerajaan merupakan durian runtuh yang tepat pada masanya.
“Saya sangat bersyukur kerana kerajaan bermurah hati memberi bonus tersebut sekali gus membantu meringankan bebanan terutamanya apabila sesi persekolahan bakal dibuka awal Januari nanti,” katanya.
Tinjauan dan perbandingan harga dengan kedai lain juga membolehkan beliau membeli dengan harga berpatutan.
“Sudah menjadi amalan saya melakukan tinjauan perbandingan harga untuk memperoleh barangan berkualiti pada harga terendah terutama pada waktu sekarang,” kata ibu kepada dua anak.
Dia menyatakan persiapan persekolahan terpaksa dibuat pada saat akhir kerana mereka sekeluarga pulang bercuti ke kampung.
“Saya membeli dua set kelengkapan persekolahan kebangsaan dan juga dua set untuk kelengkapan persekolahan agama.
“Baju sekolah, beg dan kasut yang masih elok akan digunakan semula,” katanya.
Taharah Yusof, 45, berkata, persiapan persekolahan anaknya telah dibuat pada awal cuti lagi untuk mengelakkan kesulitan pada kemudian hari.
“Persediaan awal membuatkan saya mempunyai banyak pilihan kerana ketika itu tidak ramai ibu bapa yang berbuat demikian. Saya risau jika melakukannya pada saat akhir, baju sekolah anak-anak tiada saiz dan kurang berkualiti,” katanya.
Menurutnya, tabungan dari awal tahun merupakan langkah bijak untuk mengurangkan beban bagi menampung perbelanjaan.
“Pada waktu ini, sesiapa pun akan terasa bebanannya kerana aliran keluar wang dalam masa singkat. Jika menabung daripada awal, ia akan terasa kurang sedikit,” katanya.




