DIANUGERAHI dengan Padma Shri iaitu penghargaan awam tertinggi India keempat pada tahun 2006, Sudha Varghese, yang juga dikenali sebagai Sister Sudha, tidak pernah berhenti membantu golongan masyarakat kasta paling rendah di Bihar, India.

Berjuang selama bertahun-tahun untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang lain, biarawati Katolik berusia 69 tahun itu seakan tidak mengendahkan untuk mewujudkan kehidupan lebih baik pada dirinya sendiri.

“Rasa seperti mendapat seribu nyawa dalam 50 tahun yang saya pilih untuk menghabiskan kehidupan di Bihar,” kata Sudha dalam wawancaranya dengan DNA India.

Sudha yang kadang-kadang biasa digelar ‘Didi’, yang bermaksud ‘kakak perempuan’, tiba di Akademi Notre Dame Patna pada tahun 1965 dengan para biarawati yang bekerja untuk Sekolah Roman Katolik.

Tidak semudah disangka, ketika itu dia yang dilahirkan dan dibesarkan di Kerala ini baharu berusia 16 tahun, malah hasratnya ke sana mendapat halangan keluarga.

Halangan bahasa di rantau itu menjadi perkara sukar untuknya pada awalnya kerana dia tidak tahu sama ada perlu berbahasa Hindi atau Inggeris.

Namun pekerja sosial ini kini boleh berbangga mengatakan bahawa Bihar telah membantu mengembangkan perspektifnya terhadap banyak isu.

“Saya tidak sedar kejahatan sistem kasta dan keadaan miskin di Bihar. Dalam lima dekad terakhir saya habiskan di sini, mata dan fikiran saya telah terbuka. Saya berjaya mengatasi ketakutan saya bahawa saya boleh mati pada bila-bila masa.

"Awalnya selepas menerima ancaman bunuh, saya dinasihatkan meninggalkan rumah di Danapur dan terpaksa tinggal di flat disewa. Tetapi ia menyedarkan bahawa saya tidak boleh takut kehilangan nyawa saya. Tuhan telah memberikan saya kehidupan ini. Selepas itu saya pulang semula ke rumah saya di Danapur," katanya.

Presiden India, Dr A.P.J Abdul Kalam menyampaikan Anugerah Padma Shri - 2006 kepada Sister Sudha Varghese

Menurutnya nasib orang-orang miskin seperti di Bihar sangat 'mengganggu' fikirannya apabila membandingkan keadaan orang-orang miskin di situ dengan penduduk di kampung halamannya di Kerala.

Pada fikiran Sudha, orang-orang miskin di Kerala sekurang-kurangnya mempunyai rumah, tetapi di Bihar mereka terpaksa mengemis dan hidup di jalanan ada hingga terpaksa makan tikus.

"Selain itu, kes perkahwinan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga juga semakin menjadi-jadi kalangan masyarakat di Bihar. Kekejaman yang dihadapi oleh masyarakat Dalit mengejutkan saya.

"Sistem kasta dikenakan tidak mungkin memudahkan masyarakat Dalit dan Musahar untuk bertahan. Saya diberitahu bahawa orang kasta atas mahukan masyarakat Dalit dan Musahar ini meninggalkan kampung dan mereka tidak dibenarkan memanfaatkan kemudahan asas yang ada," katanya.

Program pendidikan

Selama 21 tahun hidupnya tinggal dalam kalangan masyarakat Musahar, Sudha telah melihat kesakitan, penderitaan, gaya hidup dan adat masyarakat di situ setiap hari.

Wirawati tidak didendang ini sedih melihat kanak-kanak tidak pergi ke sekolah, terutama kanak-kanak perempuan kerana mereka perlu memasak, membersihkan dan mencuci di rumah.

Justeru, dia memulakan program pendidikan untuk gadis-gadis terpinggir pada tahun 2005, dan menubuhkan sekolah kediaman, Prerna. Sudha juga menambah kemahiran vokasional seperti menjahit dalam program pendidikannya.

“Saya bermula dengan 25 pelajar perempuan. Kemudian pegawai kerajaan negeri mendengar tentang program itu dan melawat pusat pendidikan ini. Mereka suka bagaimana pendidikan telah membawa perubahan dalam kehidupan gadis komuniti Musahar dan menyokong dalam mengembangkan pusat pendidikan saya dari satu hingga tiga.

"Dari tiga kini menjadi 80 buah, saya mempunyai pusat pendidikan di Bihta, Danapur, Punpun, Phulwari dan Naubatpur," katanya.

Selepas menyediakan pendidikan asas di pusat-pusat ini, pelajar perempuan dihantar ke sekolah-sekolah kerajaan untuk pendidikan formal kerana pusat-pusat dijalankan oleh Sudha tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan sijil pendidikan.

Menjelang 2015, kira-kira 2,000 kanak-kanak perempuan dari pusat pendidikan ini telah menerima sijil matrikulasi. Gadis-gadis di situ hari ini semakin mengetahui pentingnya pendidikan dan aspek kebersihan dalam hidup.

Dengan memberi ilmu kepada seorang gadis, bagi Sudha ia bertujuan untuk mendidik keluarga mereka dan berusaha menuju peralihan paradigma dalam masyarakat.

“Ia adalah perubahan terkecil yang dapat saya bawa kepada kehidupan orang lain yang membuat perbezaan besar kepada kehidupan saya sendiri,” katanya.  Sumber: DNAIndia

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENGENDALIKAN dan mendirikan pusat penyelidikan dan pembangunan akhlak serta peradaban ummah, bukannya mudah, tapi itu dilakukan Dr Masjuki, 56, sejak operasi RPWP pada 2005.
  • BELIAU berjaya mencipta kejayaan di pelbagai bidang, termasuklah pembuatan dan import eksport, perniagaan barangan kulit, perabot, pakaian, barangan saintifik, jentera, haiwan ternakan dan banyak lagi.
  • ROB Greenfield ialah aktivis alam sekitar dan kemanusiaan dengan cara tersendiri dalam menyampaikan misinya. Beliau pengasas The Food Squash Fiasco, sebuah kempen berusaha mengatasi masalah sisa makanan dan kelaparan di Amerika Syarikat.
  • PERNAH kita memikirkan apakah nasib pelarian di sesuatu kem penempatan tanpa pasukan paramedik terutama dalam bidang perbidanan.