SEBUT Batang Lupar, pasti ada yang akan teringatkan kisah si Bujang Senang, seekor buaya 'gergasi' yang mengganas di Sungai Batang Lupar puluhan tahun sebelum berjaya dibunuh sekitar tahun 1992.

Jadi tidak hairanlah apabila ketua saya mengucapkan kata-kata 'selamat pergi dan balik'  sebelum saya bertolak ke Kuching, Sarawak untuk program 'Kembara Batang Lupar  2017'.

Program tiga hari itu (20 hingga 22 Okt) yang disertai 40 pengamal media dari Kuala Lumpur dan Kuching adalah anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Saya berasal dari pulau mutiara Pulau Pinang dan memang belum pernah ke Batang Lupar dan secara berjenaka saya memberitahu kawan-kawan saya kalau pun saya tidak menjadi habuan buaya di Batang Lupar, yang lebih menjadi keresahan saya ialah berada di kawasan pedalaman dan terputus hubungan internet!

Alhamdulillah, keadaan sepanjang tempoh program kembara itu tidaklah seteruk yang saya fikirkan.

Program kembara itu sebenarnya bukanlah mengenai Batang Lupar (di Sarawak Batang bermaksud Sungai) semata-mata tetapi meliputi juga kawasan Parlimen Batang Lupar yang luasnya sebesar Negeri Sembilan. Menteri KPWKM, Datuk Rohani Abdul Karim ialah ahli Parlimen bagi kerusi Batang Lupar.

Wakil media dimaklumkan tujuan program kembara itu adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai usaha yang dijalankan KPWKM di kawasan Parlimen berkenaan serta manfaat yang dinikmati kumpulan sasar.

Terdapat 15 buah daerah dalam kawasan Parlimen ini yang mempunyai banyak potensi dari segi ekonomi serta pelbagai tempat menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan.

Kami bukan sahaja berpeluang mengenali budaya masyarakat tempatan tetapi dapat juga menyertai beberapa program bersama kumpulan sasar terpilih.

Banyak yang menarik

Malam sebelum program kembara bermula, peserta diberi taklimat mengenai perjalanan yang akan juga melalui sungai. Saya berasa agak gerun apabila mendapat tahu setiap satu kilometer Sungai Batang Lupar ada 70 ekor buaya berbanding hanya tujuh dalam Sungai Amazon di Amerika Selatan!

Semasa taklimat itu juga kami diberitahu akan dibawa singgah ke 18 lokasi untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai warisan kebudayaan serta alam semula jadi di samping pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

Saya memang berasa berdebar-debar apabila bot yang dinaiki pada keesokan pagi mula bergerak, mata saya pula liar memerhati ke dalam air tetapi perasaan takut perlahan-lahan hilang tatkala melihat sekumpulan anak kecil berenang di dalam sungai. Ada juga yang mengambil air dan beberapa orang menangkap udang

Bagi saya kalau buaya itu tidak diganggu sudah tentu haiwan reptilia itu tidak akan mengganggu manusia.

Tumpuan saya kemudiannya beralih kepada panorama yang terbentang di hadapan saya, pelbagai flora dan fauna yang terdapat di sepanjang sungai yang menjadikan saya terlupa seketika kepada bahaya buaya.

Pelbagai kebudayaan

Peluang menyertai program kembara ke Sarawak ini sememangnya akan dikenang sepanjang hayat.

Kunjungan ke rumah panjang kaum Iban di Kampung Belimbing Besi yang didiami 10 keluarga mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Kami disambut mesra dan berpeluang menyaksikan persembahan tarian Ngajat yang sinonim dengan masyarakat Iban di Sarawak dan silat Kuntau.

Meskipun keluarga Iban yang mendiami rumah panjang itu menganut agama yang berbeza, keadaan itu tidak menghalang mereka tinggal di bawah satu bumbung.

Begitu juga dengan budaya menawarkan 'tuak' kepada tetamu yang akan hanya dibuat setelah meminta izin tetamu itu kerana ianya lebih kepada tanda penghormatan bagi tetamu yang berkunjung ke rumah panjang itu.

Taman Negara Maludam

Satu lagi lokasi persinggahan yang amat menarik ialah Taman Negara Maludam, taman negara kedua terbesar di Sarawak dan dilaporkan mengandungi hutan paya gambut yang terbesar di Sarawak.

Taman Negara ini dikelilingi tiga batang sungai iaitu Batang Lupar, Batang Saribas dan Batang Padeh,

Luas Taman Negara Maludam ini ialah 43,147 hektar dan di taman itu juga terdapat Hutan Simpan Maludam seluas 16,592 hektar.

Kajian yang dibuat setakat ini mendapati hutan simpan itu mengandungi pelbagai jenis habitat termasuk burung kenyalang dan kera proboscis.

Bagi mereka yang memilih untuk meneroka sungai Batang Lupar, warden Taman Negara Maludam, Laing Lesly Ului mengingatkan jangan sekali-kali cuba memasukkan tangan ke dalam air sungai kerana bimbang ada buaya di sekitar sungai berkenaan.

Mereka yang menjelajah hutan pula turut diingatkan jangan memetik sebarang tanaman yang terdapat di dalam hutan yang dilindungi.

Pemprosesan makanan

Persinggahan di Kampung Sampat, Sebuyau pula memberi kami peluang melawat sebuah kilang kecil memproses ubor-ubor untuk dieksport ke Jepun, China, Taiwan dan Korea.

Makanan ini menjadi kebanggaan penduduk tempatan terutamanya untuk keluarga Lee Na Moh, 34, yang terlibat dalam perniagaan memproses ubor-ubor ini.

Lee adalah generasi keempat meneruskan perniagaan keluarga ini yang dimulakan pada awal 1970an.

“Musim untuk menangkap ubor-ubor ialah antara Mac hingga Julai. Kami boleh menangkap lebih dari 3,000 ekor ubor-ubor sehari berbanding sekitar 50 ekor pada bulan-bulan yang bukan musimnya, " katanya.

Terdapat 12 ibu tunggal bekerja di kilang ini untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing.

Sementara itu, di Kampong Tambak yang terletak di daerah Pusa,  kami bertemu dengan Abang Manaf Mahmud yang mengendalikan perusahaan memproses gula nipah secara kecil-kecilan.

Air nira nipah dimasak lebih enam jam sebelum menjadi likat untuk menjadikannya gula nipah atau juga dikenali sebagai gula apong dalamkalangan penduduk tempatan.

Banyak pembangunan​​​​

Di sebalik kerancakan projek pembangunan serta modernisasi di kawasan Parlimen Batang Lupar ini, usaha terus dipertingkat oleh pihak berkenaan bagi memastikan warisan kebudayaan serta alam sekitarnya tidak pupus.

Projek Lebuhraya Pan-Borneo yang menelan kos berbilion ringgit dan dikenali sebagai Lebuhraya Trans-Borneo turut memberi faedah kepada kawasan Parlimen Batang Lupar.

Di bawah projek lebuh raya itu, sebuah jambatan bernilai RM1 bilion dirancang dibina merentas Batang Lupar dan menjangkau sehingga ke Sabah.

Lebuh raya sejauh 1,093 kilometer itu sudah pasti akan meningkatkan pembangunan ekonomi serta infrastruktur di Batang Lupar.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.