BMW 5 Siri
$entry.content.caption.value

Kumpulan BMW Malaysia memperkenalkan barisan BMW 5 Siri serba baru yang menampilkan enjin petrol 2.0 liter (L) empat silinder terbaru dengan teknologi BMW TwinPower Turbo.

Dua model iaitu BMW 520i dan BMW 528i M Sport kini dilengkapi enjin petrol 2.0 liter dengan sistem pengecas turbo twin-scroll, bersama-sama ciri kawalan injap boleh laras Valvetronic dan kawalan camshaft boleh laras vanos di mana ia menghasilkan kuasa lebih tinggi namun pada kadar penggunaan bahan api dan pelepasan emisi karbon dioksida yang lebih rendah.

Bagi model BMW 520i, ia mampu menghasilkan kuasa kuda setinggi 184hp yang membolehkannya melakukan pecutan dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh hanya lapan saat, dengan kelajuan maksimum 226 km/j.

Pelepasan gas karbon dioksida pula hanya 149g/km, menjadikan BMW 520i sebagai sebuah model terbaik di dalam kelasnya dari segi kecekapan bahan api dan pelepasan emisi. Harga atas jalan bagi BMW 520i adalah RM358,800.

Bagi model BMW 528i M Sport pula didatangkan dengan teknologi BMW TwinPower Turbo yang menghasilkan kuasa kuda lebih tinggi sebanyak 245hp. BMW 528i M Sport mampu melakukan pecutan dari sifar ke 100km/j dalam tempoh hanya 6.3 saat, seterusnya mencatatkan kelajuan tertinggi pada angka 250km/j. Tanda harga bagi BMW 528i M Sport adalah RM409,800.

Varian terbaru BMW 5 Siri ini juga dilengkapi model dipertingkatkan BMW 520d Sedan yang menghasilkan kuasa 184hp. Sedan eksekutif premium Advanced Diesel itu menetapkan tahap baru sensasi prestasi dan pengiraan kecekapan memecut ke 100km/j dalam tempoh hanya 8.1 saat dengan kemampuan pecutan sehingga 225km/j.

Tahap penggunaan bahan api purata pula sekitar 4.7 liter/km, manakala pengeluaran emisi karbon dioksida hanya 123 gram bagi setiap kilometer perjalanan. BMW 520d dijual pada harga RM333,800.

Untuk ketenangan fikiran pemiliknya, BMW 520i, BMW 528i M Sport dan BMW 520d didatangkan dengan program servis ekstensif BMW iaitu BMW Servis dan Penyelenggaraan Inclusive (BS+RI), yang meliputi pembaikan, penyelenggaraan atau penggantian biasa komponen kilang pada setiap model kenderaan. Program servis itu sah sehingga tempoh tiga tahun bermula dari tarikh pendaftaran asal atau sehingga 60,000 km perjalanan, yang mana terdahulu.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.