ANTARA hakikat perlu diketahui dunia luar ialah masyarakat pelarian Rohingya kini sedang sangat memerlukan kerana menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan.

Nasib golongan tersebut sememangnya mendapat perhatian pihak prihatin, termasuklah Yayasan Ikhlas.   

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli memaklumkan, sejak awal Januari tahun 2017 sehingga sekarang, pihaknya telah menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.

Menurutnya, bantuan bermula dengan sumbangan selimut waktu musim sejuk, pembinaan telaga tiub atau dipanggil pam air, surau dan madrasah, sumbangan makanan iftar di lima kawasan sepanjang Ramadan, seterusnya pengagihan daging korban ke dalam kawasan kem.

Setakat hari ini, jumlah telah disampaikan berjumlah RM227,500.

Namun krisis kekurangan  makanan ini masih belum tamat. Dalam misi terbaharu dikongsi sukarelawan Yayasan Ikhlas, ketika terdapat ahli rombongan sukarelawan memberi belon pada kanak-kanak pelarian Rohingya di sana untuk menggembirakan mereka, apa berlaku kanak-kanak tersebut berebut pemberian terdapat dan ada memasukkannya ke dalam mulut.

Mereka sangat-sangat kelaparan. Mereka hanya berlegar di kawasan kem sahaja, mengharap simpati orang ramai. Bukan sehari, tetapi setiap hari.

Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan, Abdul Rahman Iskandar yang berkongsi demikian berkata, pihaknya turut dikhabarkan oleh rakan NGO ketika di kem pelarian Balukhali 2, terdapat pelarian Rohingya lain pula terpaksa makan jeli dari tuala wanita.

"Bukan mereka tidak tahu atau tidak berpendidikan sehingga tidak tahu tuala wanita, tetapi mereka sangat-sangat lapar.

"Mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan kem, tidak dibenarkan bekerja oleh kerajaan Bangladesh. Kawasan bukit penuh pasir, apa lagi mereka boleh makan? Pasir? Bantulah mereka umat Islam kerana mereka sedang berlapar," ceritanya.

Dia berkata demikian semasa misi Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin serta Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melaksanakan bantuan kemanusiaan di enam kem pelarian Rohingya, Cox's Bazar, Bangladesh, baru-baru ini.

Misi selama enam hari bermula 23 Januari lalu disertai empat sukarelawan daripada Yayasan Ikhlas dan tiga I-Medik, melibatkan kem di Balukhali 1, Balukhali 2, Gundhum 2, Gundhum 3, Jamtoli dan Kutupalong.

Lebih 1,200 pek makanan telah disampaikan kepada pelarian Rohingya, termasuk bantuan perubatan yang dijalankan dengan kerjasama Chittagram International Medical College (CIMC) yang berpusat di Chittagong.

Sebanyak enam klinik dibuka di semua kem berkenaan, menempatkan seramai 13 doktor dihantar dari CIMC. Doktor bersama dalam rombongan Yayasan Ikhlas memberi khidmat bantuan kepada doktor di sana.

Mengalu-alukan sumbangan

Selain bantuan makanan dan perubatan, sebanyak 400 helai selimut turut diserahkan kepada keluarga di kem Balukhali 2 dan Balukhali 1.

Sukarelawan Yayasan Ikhlas, Syafiq Syahmi berkongsi, ketika tiba di Dhaka, Bangladesh, waktu malam suhu sudah mencecah 18 darjah celcius.

"Kalau kat kem pelarian Rohingya, malam boleh capai 8 darjah Celcius, pagi dalam 18 darjah Celcius. Ditambah lagi dengan keadaan rumah beratapkan plastik, berlantaikan tanah.

"Saya masuk ke dalam 'rumah' mereka, memang tak ada apa-apa. Mereka baring dan tidur di atas tanah menggigil kesejukan," katanya.

Yayasan Ikhlas mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk sama membantu meneruskan misi kemanusiaan terhadap etnik minoriti Islam tersebut.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Yayasan Ikhlas, 8600 601 366 (CIMB), 5628 3463 6228 (Maybank) atau 1108 0100 1514 (Bank Rakyat).

Orang ramai juga boleh menyumbang melalui talian di https://www.billplz.com/saverohingya, hubungi 012-9790211, atau  emel [email protected]