SEBAGAI usaha membanteras penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak diwujudkan sekali gus meredakan keresahan banyak pihak.

Mereka mahukan penguatkuasaan dan perlindungan berkesan terhadap kanak-kanak kerana golongan itu sering menjadi mangsa jenayah seksual yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Penubuhan mahkamah itu tercetus daripada idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan ketika beliau berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Mahkamah khas berkenaan bukan sahaja menjadi mahkamah pertama seumpamanya diwujudkan di negara ini, malah ia juga yang pertama di Asia Tenggara.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, kewujudan mahkamah itu sekali gus mempercepat dan melancarkan semua prosiding serta perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya mula bersidang 4 Julai lalu dan mendengar kes-kes berlaku di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia akan diperluaskan secara berperingkat di semua 13 negeri di seluruh Malaysia.

Sebanyak 56 kes sedia ada yang telah didaftarkan di bawah undang-undang jenayah dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Petaling Jaya akan dibawa serta dibicarakan di mahkamah berkenaan.

Menariknya, mahkamah ini akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan dalam Gred Jusa C,  malah turut mempunyai pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus dalam jenayah seksual kanak-kanak.

Perlu diambil maklum, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini adalah berbeza dengan mahkamah kanak-kanak sedia ada yang mengendalikan kes-kes, di mana pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.

Sebaliknya, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang baru ditubuhkan ini, adalah untuk membicarakan kes-kes jenayah seksual, di mana mangsanya adalah kanak-kanak.

Kemudahan mahkamah

1) Sistem Court Recording dan Trancription (CRT) yang membolehkan pengguna mengakses rakaman video dan visual prosiding mahkamah.

2) Bilik Khas yang menempatkan Vulnerable Witness yang dilengkapi kemudahan video-link yang membolehkan keterangan saksi diberikan dari bilik khas dan dapat diakses oleh hakim, pendakwa raya dan peguam dari mahkamah terbuka.

3) Bilik Menunggu Saksi Kanak-Kanak yang dinamakan Bilik Permata dilengkapi perabot, televisyen, komputer dan permainan kanak-kanak serta perpustakaan kecil yang menyediakan bahan-bahan sesuai untuk kanak-kanak.

4) Kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU)

Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif berkata, semua kemudahan itu disediakan sebagai usaha memastikan kanak-kanak malang yang menjadi mangsa jenayah seksual selesa dan diberi perlindungan sewajarnya semasa menghadiri perbicaraan kes.

Selain itu, Md Raus berkata, penubuhan mahkamah khas di peringkat mahkamah sesyen telah diwujudkan sebelum ini seperti Mahkamah Khas Rasuah, Mahkamah Khas Koroner, Mahkamah Khas Anti Percatutan, Mahkamah Khas Sibar, Mahkamah Khas Alam Sekitar dan Mahkamah Khas Siber.

“Prestasi mahkamah-mahkamah khas ini amat membanggakan kerana antara 90 hingga 95 peratus kes dapat diselesaikan dalam tempoh masa ditetapkan, tidak melebihi satu tahun,” katanya.

Md Raus menegaskan, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak penting untuk didengar segera dan tidak dijalankan secara tertangguh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEPATAH 'menjaga seorang anak perempuan lebih susah daripada membela sekandang lembu' menggambarkan betapa mencabarnya bagi ibu bapa hari ini untuk membesarkan seorang anak perempuan.
  • KANAK-kanak sihat adalah aset negara. Bagaimanapun, mereka kini dikatakan terdedah kepada risiko menghidap pelbagai penyakit ekoran mengamalkan budaya pemakanan tidak sihat. Rencana pertama daripada dua bahagian ini cuba menerokai kebenarannya.
  • SEHINGGA saat ini saya masih trauma apabila terdengar ada suara seseorang memanggil dari arah luar pagar rumah.
  • GUA MUSANG - Keletihan mengharungi perjalanan penuh berliku selama tiga jam menggunakan jalan balak sebelum tiba di Kampung Pasik, Kelantan, bagaikan tidak terasa apabila disambut dengan lambaian mesra dan senyuman beberapa kanak-kanak Orang Asli.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.