Sejarah Furoshiki amat panjang, malah dipercayai bermula seawal zaman Nara ketika pemerintahan Jepun iaitu sekitar 710 hingga 794 sebelum Masihi. Pada mulanya balutan menggunakan kain Furoshiki digunakan untuk membalut barangan yang dipindahkan agar tidak rosak selain membalut pakaian untuk mengelakkannya daripada basah ketika mengunjungi sento, tempat mandi awam.

Selari dengan masa, Furoshiki turut digubah untuk dijadikan pembalut hadiah. Kain yang digunakan biasanya dicorakkan pewarna menggunakan teknik Shibori (tye-dye) namun materialnya kian dipelbagaikan termasuk sutera, nilon, kapas dan rayon.

Bagaimanapun di Jepun sendiri, seni Furoshiki kian diabaikan terutama setelah beg plastik diperkenalkan. Ia hanya kembali popular setelah kesedaran menjaga alam sekitar mulai berkembang dalam masyarakat.

Menteri Alam Sekitar Jepun, Yuriko Koike turut memainkan peranan besar apabila menggalakkan Furoshiki dipelbagaikan kegunaannya pada zaman moden. Hasilnya Furoshiki digunakan secara meluas untuk membungkus kotak bekal makanan (bento). Kain yang digunakan untuk membalut bento ini biasanya dibesarkan sedikit agar ia boleh pula dijadikan alas makanan berkenaan.

GUNA SONGKET, BATIK

Kini, keunikan Furoshiki dibawa ke Malaysia oleh syarikat yang terkenal dalam menjual dan membalut hadiah serta cenderamata, Memory Lane. Menerusi anak syarikat yang diberi nama Give! balutan Furoshiki mampu disediakan kakitangan yang dilatih oleh pakar yang didatangkan khas dari negara matahari terbit.

“Sejak dibuka Ogos lalu sambutan diterima amat menggalakkan. Kami berbesar hati apabila ada pelancong asing dari Jepun yang terkejut dan memuji Furoshiki yang dibuat di sini,” ujar Penyelia Operasi (Senior) Memory Lane, Siti Suhana Md Jidi.

Akuinya, setakat ini sambutan lebih kepada pelancong asing dan pelanggan korporat kerana Furoshiki yang ditawarkan di Give! turut disesuaikan dengan ciri-ciri tempatan termasuk penggunaan kain songket dan batik bagi membalut hadiah.

Kain yang dibalut biasanya digunakan kembali sebagai skarf, beg mahupun disimpan tanda kenang-kenangan. "Kain yang digunakan turut dipelbagaikan. Selain songket dan batik, terdapat pilihan kain kapas, organza dan lain-lain. Bagaimanapun tak semua jenis kain sesuai digunakan. Contohnya jika kain terlalu lembut, ikatan terlalu kejap untuk dibuka semula dan tidak kelihatan menarik," terang Suhana.

Balutan Furoshiki boleh digunakan untuk hampir semua bentuk hadiah termasuk botol. Apa yang penting, teknik ikatan mestilah betul dan kemas agar ia tidak mudah terlorot dan tampak cantik.

“Antara keunikan Furoshiki adalah balutannya tidak menggunakan sebarang pelekat, hanya ikatan. Bagi menambahkan manis kami turut menawarkan pilihan aksesori sebagai hiasan seperti chopstick, bunga, reben dan sebagainya.

“Setakat ini kami mempunyai empat kakitangan terlatih yang mampu melakukan balutan Furoshiki. Harga yang dikenakan pun cukup berpatutan, antara RM7 hingga RM35 mengikut kain dan pilihan aksesori oleh pelanggan,” ujar Suhana.

Tambahnya, mereka sedia membalut pelbagai saiz hadiah, namun kain paling besar yang mampu disediakan setakat ini adalah 42 inci. Dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, Give! turut menawarkan pilihan kad ucapan dan aneka cenderamata.