BATERI kereta 'kong', alternator rosak, tiada duit untuk mengisi minyak pulang ke kampung. Itu antara alasan yang digunakan bagi meraih simpati orang ramai oleh pihak yang dipercayai mendapatkan wang dengan cara mudah.

Bagi meyakinkan orang ramai, kenderaan yang dikatakan mengalami kerosakan itu diletak tersadai di tepi kaki lima, dengan penutup enjin terbuka. Malah, bagi mengaburi orang ramai, beberapa penumpang yang didakwa isteri dan anak-anak turut sama dalam kenderaan terbabit.

Sekiranya kata-kata dan pujuk rayu kurang memberi keyakinan, pihak tersebut dikatakan turut menawarkan telefon bimbit berjenama miliknya, kononnya sebagai cagaran kepada wang yang dipinjamkan.

Dalam keadaan itu, orang ramai dengan mudahnya percaya dengan kesusahan yang dialami, lalu membantu menghulurkan wang ringgit.

Malangnya, modus operandi yang sama digunakan pihak tertentu itu telah mengundang kemusykilan dalam kalangan orang ramai dan ia mula menjadi tular.

Dalam kalangan netizen, ramai yang menjadi mangsa dan mereka turut memberikan komen pernah ditipu sehingga ada yang mengambil inisiatif membuat laman page di Facebook untuk menjejaki mereka ini.

Ada yang berkongsi, atas rasa simpati dengan musibah yang dihadapi, mereka sanggup memberikan wang sehingga ratusan ringgit tanpa meletakkan rasa syak wasangka dengan niat ikhlas membantu mereka yang memerlukan.

Dipercayai pihak yang terlibat ini bergiat aktif lebih setahun lalu sekitar Klang dan Shah Alam dengan menjadikan stesen minyak, bank-bank utama serta kawasan tumpuan orang ramai sebagai tempat menjalankan kegiatan itu.

Pengakuan mangsa

Melalui perkongsian di laman Facebook, beberapa individu menceritakan pengalaman mereka yang menjadi mangsa. Ada dalam kalangan mereka kerugian ratusan ringgit, nyaris menjadi mangsa dan ada yang menceritakan pernah terserempak dengan pihak tersebut beberapa kali di tempat lain.

Seorang wanita di kenali sebagai Asyikin memaklumkan, kejadian berlaku di Masjid Negeri di Shah Alam apabila beliau dihampiri oleh seorang lelaki bersama anak-anaknya.

Katanya, lelaki itu mahu meminjam wang bagi menggantikan bateri keretanya dan perlu pulang ke Sabak Bernam setelah menghantar anaknya di sebuah IPT di Shah Alam.

Setelah menyerahkan duit dalam jumlah yang agak banyak, individu tersebut berlalu pergi dan menjadi kemusykilan apabila kereta yang dikatakan baterinya tidak berfungsi, turut lesap.  

Zakia pula berkongsi, dia juga nyaris menjadi mangsa apabila kenderaannya dihalang sebuah kereta ketika berhenti di sebuah stesen minyak. Kemudian, seorang lelaki keluar dan meminta wang bagi menggantikan bateri keretanya untuk meneruskan perjalanan menghantar anaknya di sebuah IPT di Shah Alam.

Lalu Zakia memaklumkan, dia tiada duit. Dan setelah itu, kenderaan tersebut beredar dengan pantas.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Nurul mendakwa kerugian RM400 dan gagal mengesan lelaki tersebut. Katanya, lelaki itu memerlukan RM400 untuk menukar bateri keretanya.

Beliau kemudiannya menyerahkan wang kerana terpedaya dengan kata-kata lelaki itu. Namun, lelaki itu gagal dikesan.

Bagi Azliza pula, dia terserempak dengan lelaki itu di sebuah bank di Klang yang meminta simpati, namun memaklumkan dia tiada wang.

"Selepas dua bulan, lelaki yang sama di Pekan Kapar dan memberikan alasan serupa. Tapi tak beri dia wang sebab tahu dia menipu." katanya.

Tampil buat laporan

Mereka yang mendakwa menjadi mangsa kepada penipuan pihak terbabit diminta tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan.  

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, siasatan hanya boleh dilakukan setelah laporan rasmi dibuat oleh mereka yang menjadi mangsa.

“Sehingga kini, polis tidak menerima laporan mengenai penipuan yang dilakukan. Maka, saya sarankan mereka yang menjadi mangsa atau pernah berhadapan dengan perkara ini tampil untuk membuat aduan rasmi.

“Aduan di media sosial sahaja tidak menyelesaikan masalah. Adalah lebih baik datang ke balai polis dan membuat laporan rasmi dan polis boleh lakukan siasatan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang mengambil kesempatan menipu orang ramai boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang melakukan penipuan ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DALAM situasi negara kita yang masih hangat selepas Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik yang diadakan oleh wanita-wanita yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di samping peduli dengan situasi negara kini, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, negara jiran kita Singapura mengiktiraf keupayaan wanita dalam memimpin. Tahniah Puan Presiden Halimah Yacob! Tahniah Rakyat Singapura.
  • AGAK terkejut dengan kejadian kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Yang lebih mengejutkan modus operandi kebakaran tersebut dilakukan remaja-remaja Islam yang bermasalah. Tapi yang mengecewakan apabila seorang mufti sibuk mengkritik sistem pengajian tahfiz dan menyuruh jangan berprasangka baik dengan sekolah tahfiz.
  • PADA mulanya pokok leban yang condong ke arah sungai itu hanya menjadi tempat berteduh untuk berehat bagi orang menaiki perahu di sungai Rompin dan juga sebagai penanda kawasan.
  • KALAU atas apa alasan pun, kita mengharap atau menjangka kos sara hidup akan turun dalam masa terdekat, kita akan kecewa kerana harga barang dan perkhidmatan akan terus naik. Malah kadar peningkatan mungkin lebih tinggi.
  • DI sana sini orang memakai istilah ‘nilai’. Ahli politik, ahli agama, ahli sukan malah pembohong dan pencuri pun suka menggunakan istilah ini untuk maksud berbunyi baik dan mencari kebenaran.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.