KEBANYAKAN rakyat Malaysia sedar mengenai cacar air, iaitu virus varicella zoster (VZV) yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan ruam seakan-akan lepuh.
        
Walaupun setelah seseorang pesakit cacar air sembuh, virus yang sama akan duduk terpendam di dalam sel sarafnya selama bertahun-tahun sehinggalah virus berkenaan mencetus semula lalu menyebabkan ruam kulit yang menyakitkan.
        
Pengaktifan semula ini mengakibatkan kayap atau herpes zoster (HZ).
        
Kayap adalah ruam yang amat menyakitkan dan sukar ditanggung. Kayap juga boleh mengakibatkan komplikasi yang serius kepada golongan yang sudah lanjut usia.
        
Malangnya, kayap tidak difahami oleh ramai rakyat Malaysia yang menyangka bahawa mereka hanya boleh dijangkiti virus cacar air sekali dalam hidup mereka, kata Ketua dan Perunding Perubatan Kanan, Unit Penyakit Berjangkit di Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Christopher Lee pada bengkel media anjuran MSD, syarikat penjagaan kesihatan yang ulung, di sini baru-baru ini.
       
RISIKO MENINGKAT IKUT USIA
       
Sebaliknya, risiko menghidap kayap meningkat secara mendadak pada usia 50-an tahun kerana sistem imun golongan yang lebih tua biasanya lemah.
        
"Sesiapa sahaja yang pernah menghidap cacar air berisiko menghidap kayap. Dan kerana risiko ini meningkat apabila umur meningkat, kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencapai usia 85 tahun pernah atau akan menghidap kayap pada sesuatu masa dalam hidupnya," kata Dr Lee.
        
"Rakyat Malaysia perlu dididik mengenai risiko menghidap kayap dan pilihan yang ada untuk mengelakkan penyakit yang menderitakan ini. Cara meramalkan sebab-sebab kayap aktif semula atau keterukan penyakit ini tidak diketahui",katanya.
       
SIMPTOM AWAL KAYAP
       
Menurut Dr Lee, antara simptom awal kayap adalah rasa gatal, gelenyar atau pedih.
        
Ini akan menjadi ruam berupa lepuh berisi cecair yang mungkin diiringi rasa sakit yang ringan hingga teruk dan selalunya berlaku hanya di sebelah badan atau muka.
        
Kayap yang tidak dirawat boleh mengakibatkan neuralgia pascaherpes (PHN), iaitu kesakitan saraf jangka panjang yang boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan dan dalam beberapa keadaan, selama bertahun-tahun.
        
"Mujurlah, penyakit yang menderitakan ini kini boleh dicegah dengan vaksin", tambah Dr Lee.
       
APA ITU PHN
       
PHN adalah komplikasi kayap yang paling lazim berlaku dan didefinisikan sebagai rasa sakit yang berlarutan melebihi 90 hari selepas timbulnya ruam. Komplikasi ini diakibatkan oleh kerosakan pada urat saraf yang disebabkan oleh virus zoster yang membiak.
        
Sama seperti komplikasi perubatan yang lain, risiko seseorang menghidap PHN selepas menghidap kayap akan meningkat dengan usia. Kurang daripada seorang dalam setiap 50 pesakit kayap yang belum mencapai usia 60 tahun akan menghidap neuralgia pascaherpes.
        
Bagaimanapun, bagi pesakit yang berusia 60 hingga 69 tahun, angkanya meningkat kepada tujuh peratus, manakala bagi mereka yang berusia lebih 70 tahun hampir 20 peratus mungkin akan mengalami PHN.
        
Namun, kebanyakan pesakit yang menghidap kes acute zoster boleh mendapat alodinia di mana sentuhan pakaian yang lembut atau bayu yang bertiup di kulit juga boleh menyebabkan kesakitan.
        
Antara komplikasi serius yang lain ialah parut, hilang pendengaran, jangkitan kulit, dan lemah otot.

KESAN KAYAP
       
Malangnya, cara menyembuhkan kayap masih belum diketahui. Pilihan rawatan seperti ubat anti-virus hanya boleh mengurangkan tahap kesakitannya dan tempoh penyakit ini, tetapi tidak boleh mencegah neuralgia pascaherpes yang menyebabkan penderitaan akibat kayap dalam kalangan golongan yang lebih tua.
        
Kesan jangka panjang kayap dan komplikasi yang berkaitan dengannya boleh menjejaskan kehidupan harian pesakit.
        
Dalam satu kajian, hampir 40 peratus pesakit menyatakan bahawa mereka menghadapi kesukaran walaupun untuk ‘keluar dari rumah’ atau ‘pergi membeli-belah’.
        
Sesetengah pesakit juga menjadi murung, resah dan terganggu emosinya. Kayap menjadi bebanan kewangan yang berat terhadap pesakit, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
       
KAWALAN MENERUSI VAKSIN
       
Bilangan orang dewasa yang berisiko menghidap kayap semakin tinggi setiap tahun. Antara tahun 2000 hingga 2050, bilangan penduduk dunia yang melebihi usia 60 tahun dianggarkan akan berganda daripada kira-kira 11 peratus kepada 22 peratus.
        
Seiring dengan arah aliran global, penduduk Malaysia juga semakin menua.
    
Pada tahun 2013, penduduk Malaysia yang berusia lebih 50 tahun dianggarkan berjumlah 4.34 juta, iaitu kira-kira 14.6 peratus daripada jumlah penduduk negara.
        
Golongan usia ini dijangka mencapai 11.46 juta menjelang tahun 2040 atau kira-kira 29.7 peratus.
        
Menurut Pusat Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit, pemvaksinan ialah satu-satunya cara mengurangkan risiko menghidap kayap dan rasa sakit jangka panjang berikutannya.
        
Menurut Pengarah Eksekutif Vaksin Untuk Orang Dewasa di bahagian Hal Ehwal Perubatan Dan Dasar Vaksin Global, Merck Vaccines, Dr. Eddy Bresnitz, apabila seseorang itu terdedah kepada organisme penyebab penyakit, sistem imunnya akan cuba melawan virus berkenaan.
        
Hasil barisan pertahanan badan yang berjaya biasanya ialah keimunan.
        
"Badan kita biasanya menghasilkan bahan bergelar antibodi atau sel-sel darah pelindung yang khusus untuk menentang virus yang tertentu, contohnya virus cacar air, dan membentuk “ingatan” mengenai pendedahan itu yang boleh dicetuskan semula sebagai perlindungan pada masa akan datang.
        
"Apabila berlaku lagi pendedahan kepada virus yang sama, antibodi dan sel-sel darah pelindung yang beredar di dalam darah akan menghalang virus berkenaan menyebabkan penyakit, ataupun meringankan keterukan penyakit yang disebabkan oleh virus itu.
        
"Vaksin bertindak dengan cara yang serupa. Bagaimanapun, vaksin mewujudkan tindak balas imun yang serupa dengan jangkitan semula jadi tetapi pesakit tidak mengalami penyakit itu.
        
"Bagi vaksin kayap, pemvaksinan menguatkan keimunan semula jadi yang mula-mula diperoleh oleh pesakit semasa menghidapi cacar air sewaktu kecil.
        
"Keimunan yang diperkuat oleh vaksin ini menghalang virus cacar air menjadi aktif semula apabila keimunan semula jadi pesakit itu beransur lemah dengan usia yang meningkat," tambah Dr. Bresnitz.
        
Ketua Bahagian Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Philip Poi menekankan bahawa pemvaksinan itu penting pada setiap peringkat hidup seseorang.
   
Orang dewasa perlu tahu bahawa ada vaksin untuk mencegah penyakit dan jangkitan.

"Tanpa mengira usia, imunisasi diperlukan demi kesihatan kita. Selepas beberapa lama, keimunan daripada vaksin yang kita terima semasa zaman kanak-kanak boleh menjadi lemah dan kita mungkin berisiko menghidap penyakit yang baru dan berlainan.
        
"Cabaran yang dihadapi adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa kita boleh diimunkan terhadap penyakit," kata Prof Poi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • "SAKITNYA belakang aku. Dah lebih seminggu sakit ni tak hilang-hilang. Berurut pun masih sakit," kata Suhana sambil tangannya menekan di bahagian belakang pinggang.
  • ANTARA keistimewaan Islam sebagai penutup agama samawi adalah Islam mempunyai role model dalam beragama, yang hidup dalam dua dimensi beragama dan keduniaan. Role model yang ini wujud di tengah-tengah sahabat bahkan berkomunikasi serta berinteraksi dengan mereka secara manusiawi.
  • TAHAP kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna. Oleh itu, kerosakan buah pinggang merupakan masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya.
  • GOLONGAN alternatif salaf mengatakan, “Apabila suatu ujian menimpa orang beriman, ia membuktikan keimanan orang itu. Manakala apabila ujian menimpa orang yang zalim, terbuktilah kezaliman dan kesesatan mereka.”
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.