MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui apakah tragedi Memali yang pernah menggemparkan negara sebelum ini, apatah lagi, ia kini turut menjadi punca kekecohan di sebuah forum melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Forum Nothing to Hide 2.0 kecoh apabila adegan membaling kerusi, suar dan botol air di dewan ketika Mahathir menjawab soalan peserta di dalam program tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adegan baling kerusi, suar cemar Nothing To Hide 2.0]

Kekecohan tercetus ketika seorang peserta mengajukan soalan kepada Mahathir mengenai peristiwa Memali yang berlaku ketika zaman pemerintahannya beliau.

Tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Mahathir membuatkan ada peserta yang bertindak sedemikian rupa sehingga program terpaksa ditamatkan awal.

Mahathir sebelum ini juga memperjelaskan isu tersebut di dalam blognya mempertahankan tindakan pihak polis ketika itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peristiwa Memali: Penjelasan Tun Dr Mahathir]

Tragedi itu berlaku tanggal 19 November 1985 di sebuah kampung bernama Memali di Baling, Kedah dan telah mengorbankan 18 orang termasuklah empat anggota polis semasa pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku, berpuluh yang lain cedera dan ratusan orang khususnya penduduk kampung ditahan.

Punca pertempuran didakwa berpunca daripada tindakan polis mahu menahan seorang penceramah bebas, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dalam satu operasi yang digelar Operasi Angkara kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Musa Hitam didakwa bertanggungjawab terhadap operasi tersebut.

Keengganan penduduk kampung menyerahkan Ibrahim Libya, menyebabkan satu pertembungan antara kedua-dua pihak sebelum penceramah itu ditembak mati.

Kesemua mereka yang meninggal dunia dikebumikan dalam satu liang lahad serta dikendalikan sebagai orang yang syahid.

Tragedi itu kekal menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Sementara itu, Musa Hitam dalam sebuah rancangan bual bicara, Obviously Harith Iskander (OHI) menafikannya.

Beliau berkata penat menanggung beban sejarah menjadi kambing hitam dalam peristiwa tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Hitam sudah letih jadi kambing hitam Memali]

Katanya, beliau dipersalahkan dan dijadikan individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, tragedi malang itu menjadi titik tolak kepada parti Islam itu untuk konsisten tidak akan menyertai parti pemerintah kerana kes itu tidak diadili di mahkamah, malah keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas kekal jadi pembangkang kerana Peristiwa Memali]

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PADA mulanya pokok leban yang condong ke arah sungai itu hanya menjadi tempat berteduh untuk berehat bagi orang menaiki perahu di sungai Rompin dan juga sebagai penanda kawasan.
  • MAKAN lewat malam dan kurang bersenam menjadi satu daripada punca utama ramai rakyat Kedah menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan obesiti, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Kedah Datuk Leong Yong Kong.
  • GENERASI muda hari ini perlu sentiasa meletakkan ego mereka pada tempat yang betul dan jangan sesekali bersikap kasar terutamanya ketika menghadiri temuduga pekerjaan.
  • MAJIKAN sering mengeluh mengenai graduan hari ini yang tidak begitu kompetan dan sikap tidak acuh mengenai pekerjaan yang dipilih. Ramai menganggap kerana faktor pasaran kerja hari ini yang tidak menentu selain prinsip ‘janji ada kerja’.
  • SEBUT sahaja Kerian, pastinya ramai terbayang kelazatan hidangan popular di sini iaitu kari ikan sembilang, yang turut menjadi kegemaran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.