GUA MUSANG - Hanya kerana baldi, Ketua Kampung Orang Asli Pos Hendrop ini diberi nama Bidi Ronggeng.

Menurut bapa kepada tiga anak ini, dia dilahirkan pada 14 Julai1978 di mana ketika itu satu-satunya kelengkapan rumah yang ada hanyalah baldi.

“Saya bertanya kepada bapa saya, kenapa nama saya Bidi. Bapa kata, ia sempena barang baharu iaitu baldi kerana sebelum ini, tiada baldi di kawasan penempatan kami.

“Zaman kelahiran kakak dan abang saya, masih tiada baldi dan ketika saya dilahirkan, baru ada. Sebab itulah saya dinamakan Bidi.

“Kehidupan di kawasan penempatan kami jauh bezanya dahulu berbanding kini. Semuanya hanya menggunakan sumber alam dan baldi satu-satunya kemudahan baharu ketika itu,” katanya lagi.

Tambah Bidi, dia mempunyai enam adik beradik dan namanya yang paling unik.

“Adik beradik saya bernama Bella, Asu, Siti Sarina, Azman dan Supian. Manakala anak-anak saya sudah moden dengan nama Nazirah Wahida, 20, Nur Azlin, 13, dan Shahril Afendi, 11,” katanya lagi.

Juga mesra dipanggil Atop

Meskipun namanya Bidi, namun di kalangan keluarga, dia lebih mesra disapa Atop kerana fizikalnya yang lebih rendah berbanding adik beradik yang lain.

“Orang luar panggil saya Bidi, tapi keluarga panggil saya Atop. Atop tu merujuk kepada Kementot iaitu rendah atau pendek.

“Tapi, saya tak kisah dengan nama itu kerana ia salah satu sebab saya lebih mesra di kalangan keluarga.

“Keluarga saya memang berasal dari Kampung Hendrop dan majoritinya masih berada di sini,” katanya lagi.

Bidi bersama isteri dan anak-anaknya.

Tambah Bidi yang sudah memeluk Islam lebih 10 tahun ini, tiga daripada lima adik beradiknya sudah memilih Islam sebagai agama pilihan.

“Anak-anak dan isterinya juga memeluk agama Islam dan kami mengamalkan cara hidup Islam seperti orang lain.

“Di Hendrop, majoriti beragama Islam dan kami sentiasa mengimarahkan masjid. Anak sulung saya pula menyambung pelajaran di Kolej Islam Kota Bharu.

“Walaupun saya tidak dilahirkan beragama Islam, namun saya bersyukur kerana anak saya berjaya berada di kolej Islam,” katanya lagi.

Cabaran sebagai penghulu

Sama seperti ketua kampung yang lain, Bidi memberitahu, pelbagai cabaran perlu ditempuh bagi menjaga kebajikan serta menguruskan kampung dengan jumlah lebih 1,000 penduduk.

Katanya, antara cabaran yang paling utama adalah mengekang penularan gejala sosial di kalangan belia Orang Asli yang kini semakin galak dengan ketagihan arak.

“Kalau dari sudut pembangunan, Hendrop masih di peringkat memuaskan kerana kami berada di pinggir jalan utama Lojing-Cameron Highlands.

“Cuma apa yang membimbangkan adalah dari segi penularan ketagihan arak di kalangan belia. Ini kerana penempatan kami yang dekat dengan Lojing dan Cameron Highlands. Bekalan arak amat mudah didapati di sini.

“Selain itu, sebagai ketua masyarakat, saya juga berharap agar kemudahan bekalan elektrik dapat disalurkan ke kampung kami kerana selama tempoh ini, kami bergantung kepada generator sahaja,” katanya.