KUALA LUMPUR - "Mula secara kecil-kecilan. Jadi perantis dulu sebelum mula buat bisnes. Guna wang sendiri, elakkan meminjam dari bank". "Berniaga mesti ikhlas, jangan bermula dengan niat hendak menipu. Jadi ketua mesti pandai memimpin, tunjuk teladan yang baik, hargai pekerja. Mesti mempunyai daya imaginasi dan berfikir di luar kotak."

Ini adalah antara nasihat Datuk Hussamuddin Yaacob, pengasas Kumpulan Karangkraf kepada para peserta bengkel "Aspirasi Usahawan" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini baru-baru ini. Sekitar 60 orang menyertai bengkel dua hari yang dikelolakan Pusat Perundingan dan Latihan (PPLI) Ikim. Kata-kata yang datang daripada usahawan yang mempunyai empayar perniagaan percetakan dan penerbitan ini bukan kata-kata kosong kerana beliau sendiri melalui proses sedemikian.


LIKU KEHIDUPAN

Membesar dalam serba kemiskinan, dibuli ketika di sekolah kerana saiz tubuh yang pendek, terpaksa membantu ayah menjaga kedai serta pergi ke pasar membeli barangan keperluan keluarga. Ini adalah secebis cuma liku-liku hidup penuh duri dan ranjau Hussamuddin
sebelum bergelar usahawan. Kejayaan yang dikecapi beliau yang kini mempunyai perniagaan media, penerbitan dan percetakan yang menghasilkan jumlah jualan dagangan sekitar RM400 juta setahun, jelas bukan datang menggolek.

Daripada perkongsian kisah hidup, ternyata Hussamuddin melalui pelbagai proses sebelum meraih kejayaan besar pada hari ini. Maka tidak hairanlah jika beliau menyarankan mereka yang hendak menjadi usahawan perlu bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

"Bila kita di bawah kita tidak akan jatuh. Kita jatuh bila kita di atas," katanya.


BELAJAR DARI KECIL

Beliau sendiri belajar berniaga ketika menjaga kedai ayahnya dan didedahkan dengan urusan jual beli walaupun jual beli yang paling mudah. 

"Suratkhabar masa itu harga 20 sen, jual 20 sen untung 4 sen. Jual majalah seringgit untung 15 sen, jual majalah RM3 untung 60 sen. Ini contoh. Dan orang bagi RM1, suratkhabar 20 sen saya kena bagi balik 80 sen, jadi itu pendedahan yang saya sudah terima sejak kecil.

"Walaupun bisnes ayah saya kecil tetapi saya sudah dilatih, saya boleh membaca dengan percuma dan belajar bisnes sikit-sikit," katanya jika di kedai, dia menjaga bisnes ayahnya, di sekolah, Hussamuddin membuat perniagaannya sendiri.

"Di sekolah saya mengambil upah menjual buku dan jika kawan-kawan hendak membeli buku, saya akan tolong belikan. Di universiti juga saya berniaga kecil-kecilan. Saya fotostat buku, kertas-kertas soalan," katanya. Beliau mengambil bidang ekonomi semasa menuntut
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hussamuddin turut mengungkap kata-kata Tun Mahathir yang menyarankan kalau orang Melayu hendak berniaga, mereka kena bermula secara runcit dahulu.

"Berniaga runcit ini melatih kita, berapa modal kita berapa untung kita," jelasnya seperti pokok juga yang membesar dari kecil, Hussamuddin berkata perniagaan juga perlu bermula dari bawah.
 

KONGSI PENGALAMAN
  
Bukan sahaja pengalaman membantu ayahnya menjaga kedai menyumbang kepada kejayaan usahawan ini tetapi tugasnya ke pasar turut mendatangkan manfaat kepada dirinya. Hussamuddin mengakui beliau pada mulanya marah bila disuruh ke pasar dan
menganggap emaknya tidak adil memandangkan dia ada abang dan kakak.  Bahkan tugasnya ke pasar membeli barangan keperluan keluarga atas arahan ibunya turut memberi manfaat kepada dirinya pada kemudian hari.

Walaupun berbekalkan wang sekitar RM1.50 atau RM2 sebagai belanja pasar, dia pulang dengan bakul penuh.  Rahsianya?  "Saya buat networking dengan makcik-makcik yang berniaga. Saya belajar memilih ikan segar. Saya belajar tawar-menawar. Makcik-makcik tu kesian dengan saya, dahlah pendek pakai baju robek. Kalau orang beli ikan RM1 dapat 12 ekor, saya dapat 15 ekor. Saya faham sekarang mengapa emak saya menghantar saya ke pasar.

"Emak mungkin sudah merasakan anak dia ni tak bijak dari segi akademik dan dia perlu memberi saya latihan dari segi lain. Dari segi bisnes saya lebih pantas daripada adik-beradik. Proses inilah menjadikan saya seorang ahli perniagaan," Hussamuddin berkongsi kisahnya.


HASIL PENGALAMAN
 
Minat membaca dan pengalaman menjaga kedai dan ke pasar membentuk peribadi usahawan ini yang menyebabkan bukan sahaja beliau mempunyai pengetahuan yang luas tetapi juga sifat peramah. Ketika menjaga kedai ayahnya, dia banyak berinteraksi dengan pelanggan dengan berkongsi buku yang telah dibacanya untuk menarik pelanggan membeli buku berkenaan.

"Saya dah dapat kawan, saya dah tahu selera pembaca," jelasnya. Apabila beliau menceburi bisnes penerbitan, beliau mendalami minat pembacaan buku dan majalah untuk melihat selera pembaca. Kenapa semua produk saya meletup sebab saya memahami jiwa pembaca," kata Hussamuddin.

Begitu juga sebelum beliau menubuhkan syarikat percetakannya sendiri, usahawan ini mengkaji dahulu selok-belok bisnes percetakan.

"Sepuluh tahun saya terbitkan buku, kemudian majalah. Saya upah orang cetak. Setiap bulan saya upah orang cetak bernilai RM1 juta. Saya masuk kedai orang Cina, saya tengok macam mana dia buat, apa proses dia gunakan. Daripada kecil saya sudah dilatih bermesra dengan pembekal dan penjual.

"Lagi pun saya pelanggan yang besar jadi saya bebas masuk ke kilang dia, kaji apa yang dia buat. Inilah proses perantis bagi saya walaupun saya tak bekerja dengan syarikat percetakan Cina itu. Saya juga membaca dan mencari teknologi percetakan yang
terbaik. Jadi bila saya buat percetakan sendiri, saya sudah ada bisnes RM1 juta dan saya buat lebih baik daripada orang Cina itu buat dan," kata Husammuddin sambil memberitahu syarikat percetakannya, Ultimate Print Sdn Bhd kini adalah syarikat percetakan komersil terbesar di Malaysia.


JADI PERANTIS

Melalui proses perantis, Hussamuddin tegas menasihatkan mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya menjalani proses berkenaan terlebih dahulu. 

"Kalau anda seorang jurutera dan hendak membuka syarikat, contoh baiki alat penghawa dingin, pergilah kerja enam bulan atau setahun. Lambat sedikit tidak mengapa. Kalau terus buka bisnes tanpa pengalaman, kalau ada modal RM100,000, RM100,000 itu akan habis. Simpan RM100,000 dan pergi kerja dulu, tengok macam mana orang Cina, orang India buat kerja. Kalau kita hendak buat sesuatu kita kena tahu benda yang kita hendak buat," nasihat beliau.

Husammuddin mengambil contoh orang Cina yang ternyata begitu berjaya dalam dunia perniagaan. Ini adalah melalui pengamatannya sepanjang membesar di tengah-tengah komuniti peniaga Cina dan berkawan baik dengan anak peniaga.
   

PENDEDAHAN AWAL
 
Dalam apa juga bisnes sama ada kedai runcit, kedai kopi atau kedai menjual barangan perkakasan, peniaga Cina akan membawa isteri dan anak ke kedai. Anak sambil membuat kerja rumah didedahkan dengan urusan kedai dan menjadi juru wang, memulangkan baki wang kepada pelanggan.

"Kuli pula, 10 tahun kemudian dia pergi ke kampung lain, buka bisnes sendiri, kedai runcit ke, kedai baiki motorsikal, kedai elektrik," tambahnya walaupun dia duduk di kedai sebagai kuli, dia belajar dan 10 tahun kemudian dia buka sendiri bisnes, pembekal dah kenal dia dan separuh daripada pelanggan tauke dia akan pindah kepada dia. Ini sinergi bisnes orang Cina.

"Itu yang menyebabkan kebarangkalian dia berjaya itu 99 peratus. Tengok orang Cina yang berjaya, semuanya bermula sebagai kuli tapi mereka jimat dan uruskan duit. Disiplin ini penting," tambahnya.
    

KAWAL PERBELANJAAN

Beliau berkata, mereka yang berniaga juga perlu tahu apa dia jualan dan apa dia keuntungan.

"Saya melihat bapa saya kalau jualan hari itu RM40, maknanya pendapatan dia bukan RM40. Keuntungan dia mungkin empat ringgit dan bapa saya tidak belanja empat ringgit, dia belanja seringgit sahaja.  Sebab sekarang biasanya orang ingat bila dia dapat projek RM1 juta dia untung RM1 juta. Dia pun beli rumah besar, kereta besar, televisyen besar.

"Sedangkan kalau dia dapat projek RM1 juta, mungkin untung dia RM100,000 dan kalau dia belanja RM100,000 dia tak boleh buat projek seterusnya," jelas usahawan ini.

Mengambil contoh pengalaman berniaganya pula, Hussamuddin memberitahu bahawa beliau masih mengawal perbelanjaan meskipun memiliki saham majoriti syarikat.

"Gaji saya ditetapkan. Kita kena bezakan, kalau kita buat bisnes kita kena gajikan diri kita sendiri. Kita jangan ingat duit itu semua kita punya. Kita kena bezakan duit kita dengan duit syarikat. Kita tak boleh ingat kita nak pakai berapa kita boleh ambil duit itu. Tak boleh," katanya.
    
    
AKTOR KEJAYAAN
   
Menurut Hussamuddin, antara faktor yang membolehkan Karangkraf berkembang ialah melabur semula setiap keuntungan yang diperoleh syarikat.

"Majoriti keuntungan kami laburkan balik. Orang tak percaya sampai sekarang kita tak pernah isytihar dividen. Daripada sebuah syarikat kecil kami menjadi semakin besar, semakin besar. Kami buat projek baru, buat majalah baru, kita tambah kilang, kita beli tanah, kita tambah mesin baru supaya syarikat kuat," jelasnya.

Di samping itu, kata Hussamuddin, pihaknya juga sentiasa bersikap positif meskipun dunia berdepan dengan kegawatan ekonomi.

"Bila dunia gawat, orang kena buang kerja, mereka ini akan duduk di rumah, tak akan tengok wayang, tak beli baju. Di rumah mereka akan membaca suratkhabar, baca majalah dan menonton televisyen. Saya akan terbitkan majalah, terbitkan lebih buku," katanya.
   

FOKUS PERNIAGAAN
   
Hussamuddin mengaitkan faktor fokus kepada perniagaan sebagai antara penyumbang kejayaan Karangkraf. Beliau lalu mengingatkan peserta bengkel itu supaya melakukan apa yang mereka tahu dan bukan apa yang dicadangkan orang.

"Kalau bidang kita tak tahu dan orang lain kata kita boleh buat duit, jangan masuk. Itu lubuk, tambah-tambah lagi bila orang kata jamin untung. Mana ada bisnes jamin untung? Yang penting kita mesti tahu bagaimana hendak mengurangkan kos," katanya.

Hari ini Hussamuddin boleh berbangga dengan empayar perniagaannya. Kilang percetakannya terletak di kawasan seluas 10.1 hektar, 550 meter dari pusat bandar Shah Alam.

"Tapi bayangkan 33 tahun dahulu di situ saya makan, di situ saya duduk dan di situlah saya berniaga. Masa saya mula berniaga selepas keluar dari universiti apa yang saya buat kerana nak jimatkan kos, saya beli roti canai pada waktu pagi, saya minta kuah banyak-banyak. Kuah tu saya simpan untuk makan tengah hari, rebus telur taruh dalam kuah, masak nasi dan makan dengan kuah kari telur.

"Itu ikhtiar. Untuk berikhtiar perlu imaginasi. Itu yang orang kata di luar kotak," katanya.
    
 
LAGI NASIHAT
    
Hussamuddin turut menegur mentaliti sesetengah orang iaitu bila berniaga mesti buka pejabat. Beliau memberi contoh seorang peguam yang mahu membuka firma guaman boleh bermula di rumah dengan sebuah komputer dan perlahan-lahan mengembangkan
perniagaan bila mula mendapat pelanggan. Seperkara lagi yang ditegur usahawan ini ialah memulakan perniagaan dengan membuat pinjaman bank.

"Pinjam RM10,000 bayar duit peguam, kos buat kertas projek, bayar duti setem, kemudian dapat hanya RM9,000. Bayar faedah mungkin 8 peratus. Jadi sebelum berjuang kita sudah kalah. Mula dengan wang sendiri. Kalau duit kita, kita kena pertahankan perniagaan
habis-habisan," tegasnya.