MEMILIKI pancaindera kelainan upaya tidak bermakna kurang kemahiran. Ini dibuktikan wanita kebanggaan Indonesia yang berjaya menjalankan syarikat sosial dinamakan Thisable Enterprise, fokus untuk membantu golongan kurang pendengaran dan orang kurang upaya (OKU).

Syarikat itu diasaskan wanita muda bernama Angkie Yudistia bersama rakannya untuk memberi motivasi kepada golongan berkenaan menjadi lebih yakin dan bebas meningkatkan kemahiran diri.

Bersama peserta OKU dalam programnya.

Siapa sangka, di sebalik kejelitaannya, Angkie yang menjadi finalis program popular menunjukkan bakat dari negara seberang, Abang None mewakili Jakarta Barat pada tahun 2008 ini juga mempunyai batasan fizikal dengan gangguan pendengaran atau dalam bahasa Indonesia disebut 'tuna rungu'.

Angkie pekak sejak berusia 10 tahun akibat demam panas terlalu tinggi, walau bagaimanapun ia tidak menjadi halangannya menyambung pengajian dan memegang ijazah sarjana dalam Komunikasi dari London School of Public Relations selain mengembangkan bakat.

Bersama peserta OKU luar negara.

Sebelum ini, Angkie mengalami kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana setiap syarikat selalu menolak menerimanya kerana keterbatasannya, biarpun ketika kecil dia bercita-cita bekerja di sebuah syarikat besar, namun akhirnya berjaya mendapat kerja sebagai kakitangan perhubungan awam di beberapa syarikat.

Walau bagaimanapun, dia melihat bahawa penolakan syarikat itu juga dialami oleh kebanyakan mereka mempunyai kecacatan seperti dirinya. Ini menjadikan dia berfikir bahawa masyarakat sering mempunyai persepsi bahawa OKU tidak mempunyai keupayaan.

Atas dasar pemikiran itu dia memilih berhenti kerja sebagai kakitangan perhubungan awam dan mengasaskan Thisable Enterprise ini pada tahun 2011 bersama seorang rakannya.

“Saya mahu tunjukkan OKU mempunyai kemampuan, bukan tidak berguna.

"OKU juga dapat hidup berdikari dan antara program kami laksanakan adalah menyokong usahawan OKU ini melalui program memberdayakan ekonomi kreatif untuk OKU," katanya.

Semasa program Perempuan Tuna Rungu Menembus Batas.

Bagi Angkie, walaupun menjalankan perniagaan kalangan OKU kurang pendengaran sepertinya, namun ia tidak mudah menyebabkannya perlu belajar banyak perkara, terutama dengan keyakinan diri dan sifat ingin belajar.

"Perjalanan saya masih panjang, itu sebab saya masih bertahan hingga sekarang. Cabaran terbesar saya membangun kesedaran kemampuan OKU, tidak hanya masyarakat tapi juga dalam komuniti OKU sendiri.

"Saya sedar, banyak pro dan kontra perjalanan program #thisable. Kemampuan mengendali emosi menjadi bahagian terpenting dalam mengelola social enterprise kerana sebenarnya saat kita jalankan ia tidak semudah kita sangka.

“'Orang dapat banyak pengalaman hadapi saat sukar, akan menang'," antara frasa motivasi selalu keluar dari bibir Angkie.

Angkie juga mempunyai impian menjadikan Indonesia sebagai negara mesra OKU dan syarikat diusahakan antara langkah mewujudkannya.

Beri inspirasi

Wanita lahir tahun 1987 ini mendengar dengan alat bantu pendengaran.

“Jika saya mengeluarkan peranti ini... apatah suara orang lain, suara saya sendiri tidak boleh didengar.

"Kalau anda mahu berbual dengan saya mesti bersemuka, jadi saya dapat melihat pergerakan bibir dan dapat memahami apa anda katakan," katanya dalam acara Inspirato Liputan6.com.

Percaya setiap individu cacat mempunyai kemahiran, menurutnya golongan itu hanya perlu dididik.

Memiliki seorang anak kini berusia dua tahun, Kayla Almahyra yang dilahirkan normal, Angkie tidak dapat lari berdepan cabaran dan khuatir.

Dia ternyata masih khuatir Kayla Almahyra ketika besar nanti akan merasa malu atau benci tatkala mengetahui ibunya merupakan orang kurang pendengaran.

Apa diinginkannya ialah puteri kecilnya itu dapat merasa bangga terhadapnya.

Bersama suami dan anak tersayang.

“Kalau dia nangis, aku ‘Ngomong (cakap) apa? Nggak (tak) dengar.’ Dia sampai nangis-nangis, ‘Kamu tuh, ngomong apa, sih nak...?’ Aku juga nggak tahu, namanya juga bahasa anak kecil.

“Pada saat-saat tertentu, dia akan marah kalau omongannya nggak didengarkan. Padahal, aku memang nggak dengar,” ceritanya.

Mengatasi hal itu, Angkie turut mengajarkan anaknya menggunakan bahasa tubuh seperti dengan menunjuk gelas jika ingin minum, selain 'meminjam' telinga suaminya, Budi Sanjoto.