“Maaf, mengikut sistem kami, anak tuan statusnya bukan warganegara Malaysia. Ini dinyatakan dalam sistem kami. Kami tiada pilihan. Sila lihat sendiri.”
Itulah kata kata pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berinisial M, setelah saya disuruh menemuinya oleh staf wanita F di kaunter. Nombor giliran saya pagi ini (semalam) ialah 4, setelah Jumaat lalu saya perlu menunggu sehingga hampir 100 nombor untuk dapatkan giliran perkhidmatan membuat kad pengenalan anak gadis saya yang sudah berusia lebih 12 tahun.
Inilah kejutan di awal pagi Jumaat 23 Disember 2011 di Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak Kuching ke atas diri saya. Saya datang seawal jam 7.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan di kaunter yang mendapat anugerah kaunter terbaik negara tahun 2008 itu.
Saya tidak pernah ada pengalaman yang baik di Wisma Persekutuan Sarawak. Sudah pelbagai khidmat Kerajaan Persekutuan yang saya buat, daripada pasport, kad pengenalan, surat beranak, pejabat pelajaran, dan sebagainya, tidak pernah ada pengalaman yang baik untuk saya sebagai rakyat Sarawak yang menjadi sebahagian daripada Malaysia. Kalau boleh mengelak, memang saya tidak mahu berurusan dengan Jabatan Persekutuan yang ada di Sarawak. Amat berbeza dengan kaunter kerajaan di Semenanjung, teramat jauh lebih baik. Barangkali kami di Sarawak lebih suka memendam rasa berdiam durja ditadbir oleh orang lain.
Punca dan dosa saya pada hari ini ialah saya suka ambil nombor giliran seperti rakyat marhaen yang lain kerana lebih suka berbaris ikut barisan. Bukan potong barisan dengan terus berjumpa boss yang sedia melayan VVIP di dalam biliknya. Berbaris di kaunter sudah jadi kebiasaan saya untuk merasai denyut nadi rakyat. Saya pernah dimaki di kaunter oleh pegawai kerajaan, tetapi apabila siap urusan dan menyedari siapa orangnya, mereka hanya tersipu-sipu dan tetap enggan meminta maaf. Pengalaman azab berbaris di kaunter kerajaan ini sudah lama saya rasai sejak menuntut di al Azhar, Cairo sewaktu membuat visa tahunan. Tetapi pengalaman di kaunter Malaysia tidaklah lebih baik daripada kaunter kerajaan Mubarak di Mesir waktu itu.
Apakah perasaan anda sebagai Bumiputera negara ini yang jelas disebutkan bangsanya dalam Perlembagaan Malaysia sebagai bangsa asal dan warganegara tulin negara tercinta ini serta telah dijamin mendapat segala hak yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi tiba-tiba hak itu dinafikan oleh sistem negara anda sendiri? Hak yang paling minima adalah mendapatkan kewarganegaraan, bukannya hak mendapatkan lesen balak atau projek atas angin. Namun hak itu dinafikan oleh sistem yang ada. Saya berbangga berbangsa Melanau dan tetap memastikan anak anak saya kekal mewarisi bangsa yang saya cintai ini. Malangnya, bangsa ini hanya wujud di wilayah ini sahaja.
Ya, isteri saya rakyat Indonesia, masih warganegara di sana dan saya masih enggan memohon menukar kerakyatannya kerana berbangga isteri saya warga Indonesia, walaupun banyak pihak menawarkan untuk memudahkan urusan permohonan berkenaan. Tetapi kenapa anak gadis saya yang tiada dosanya jadi mangsa? Dia bukan warganegara Indonesia. Kami baru sahaja ke Jakarta awal Disember lalu untuk menziarahi keponakannya di sana menggunakan pasport Malaysia. Tetapi kenapa apabila saya hendak membuat kad pengenalannya, dalam sistem JPN dinyatakan anak saya bukan warganegara? Anak saya stateless! Sistem apa ini?
Pada saat ramai orang asing dikatakan diberikan hak warganegara, tiba-tiba anak gadis saya yang berbangsa Bumiputera asal Sarawak, Melanau, yang jelas nama bangsanya disebut dalam Perlembagaan Malaysia dijamin hak warganegaranya, dinyatakan bukan warganegara Malaysia.
Di manakah laungan kerajaan bahawa segalanya kini semakin efisien dan sistem kita semakin lebih dipercayai berbanding dahulu? Saya cuba mengisi borang JPN itu sebaik mungkin menurut contoh yang dibuat pihak JPN sendiri. Tetapi jelas di sana tiada peraturan menyebut bahawa perlu bawa sijil kahwin? Dulu sewaktu membuat kad pengenalan anak anak yang lain, tidak ada pulak mereka minta surat kahwin. Wow! Bila jumpa pegawai JPN si M itu, dia kata dalam ISO JPN kata perlukan surat nikah bagi warganegara yang berkahwin dengan rakyat asing? Tetapi di papan kenyataan tak pulak disebut panduan berkenaan. Wah! Kenapa begitu sekali? Padahal rakyat asing dikurniakan hak warganegara oleh Menteri Dalam Negeri, maka mengapa anak kepada lelaki berwarganegara Malaysia dinafikan hak warganegaranya? Entahlah!
Betul, tertulis status di skrin situ, nama anak saya, status anak gadis saya, X Warganegara, tetapi bangsa masih tertulis berbangsa Melanau.
Apa sudah jadi pada sistem negara kita ini? Siapakah yang sudi membantu mendapatkan kewarganegaraan anak gadis saya?
* Dr Juanda Jaya
Mufti Kerajaan Negeri Perlis
Anak mufti tanpa negara
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.




