PEMERIKSAAN-POLIS-DIPINTU-MASUK
$entry.content.caption.value

MENGGUNAKAN angka sebagai simbol pengenalan lebih mudah diingati. Maka penggunaan nombor 901 menjadi pilihan bagi merujuk kepada perhimpunan aman 901 yang berlangsung pada 9 Januari lalu.

Angka 901 merujuk kepada tarikh keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung pada sembilan haribulan satu.

Pada tarikh tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusan penghakimannya melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan.

Keputusan itu disambut dengan sorakan gembira. Keputusan yang tidak disangka itu bukan sahaja dirasai ahli keluarga pemimpin pembangkang itu, malah turut dikongsi penyokong beliau. Di kawasan ber-himpun, bergema laungan reformasi.

Menyoroti tempoh beberapa jam sebelum keputusan mahkamah diberikan, pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dilihat sudah mula ‘meriah’ seawal jam 3.30 pagi.

Di sepanjang bahu jalan memasuki lorong kompleks mahkamah, deretan kereta dan kelompok orang awam telah mula kelihatan. Malah, ada antara mereka yang menghamparkan surat khabar sebagai alas tempat tidur. Hujan renyai-renyai menambahkan kesejukan. Namun, di wajah yang hadir terukir debaran.

Penulis yang tiba di lokasi kira-kira jam 3.15 pagi, melangkah menuju lorong masuk utama ke kompleks mahkamah. Dari jauh sekumpulan polis berkawal berdiri di hadapan lorong masuk utama.

“Assalamualaikum encik,” ucap penulis kepada mereka.

“Waalaikumsalam. Ya, ada apa cik?” jawab seorang daripada mereka.

“Maaf, saya nak tahu bila agaknya petugas media boleh masuk ya?”

“Arahan yang kami terima setakat ni jam 6 pagi nanti,” terangnya.

Saya melihat setiap anggota yang berada di situ. Riak wajah mereka jelas memperlihatkan komitmen.

Sekejapan itu, terlihat sekumpulan rakan media lain berkumpul di kawasan berdekatan hujung simpang memasuki kawasan parkir Medan Selera Jalan Duta, masing-masing dengan gaya tersendiri.

Kami berbual me­ngenai tugasan. Nampaknya, selain orang awam, petugas media juga tidak ketinggalan membuat ramalan berhubung keputusan mahkamah yang akan dibuat.

Pelbagai teori yang rata-ratanya boleh dikatakan dibuat bersandarkan andaian tanpa fakta. Masing-masing sibuk mengeluarkan pendapat tersendiri. Terbit kelucuan di hati penulis; dalam hati sempat berbisik: “Mengalahkan hujah pendakwa raya dan peguam bela lagaknya.”

Masa berlalu. Tepat 6 pagi, penulis bersama beberapa rakan media yang berlin­dung daripada hujan mula bergerak ke lorong masuk utama.

Ketika menghampiri kawasan itu, terdapat suatu fenomena yang dianggap menarik. Kawasan penuh dengan petugas media dan peserta perhimpunan. Keadaan menjadi semakin sesak kerana masing-masing berpayung.
Sementara polis yang bertugas, mengenakan baju hujan. Ia kelihatan berwarna-warni kerana setiap mereka membawa payung dengan saiz, corak, dan warna berbeza.

Jam 6.10 pagi, Pekarangan pagar masuk utama mula dikerumuni perserta perhimpunan termasuk petugas media. Selang beberapa ketika, petugas media dibenarkan masuk setelah lulus pemeriksaan kad pera­kuan media.
Pihak polis yang me­ngendalikan pemeriksaan dilihat serius, anggota media yang gagal menunjukkan kad perakuan media tidak dibenarkan masuk. Masa terus berlalu, petugas media yang ditugaskan membuat liputan di dalam kamar perbicaraan juga telah berada di lokasi sepatutnya.

Matahari mula menampakan cahaya. Pekarangan luar kompleks mahkamah mula dibanjiri ramai peserta perhimpunan dan laungan reformasi mula kedengaran. Laungan itu membantu mengurangi rasa me­ngantuk petugas media. Ramai antara kami keletihan kerana terpaksa berjaga sepanjang malam.

Kini, jelas kelihatan kawasan parkir di luar kompleks mahkamah yang dibenarkan untuk peserta berhimpun semakin penuh. Tidak seperti sebelum ini, cara peserta berhimpun dan bergerak dalam keadaan terkawal dan teratur. Arahan polis diikuti. Kedua-dua pihak, polis dan penganjur masing-masing bekerjasama. Malah, bahasa digunakan dalam me­ngeluarkan arahan juga sopan.

Tidak seperti beberapa per­himpunan yang pernah penulis lihat sebelum ini yang mana boleh diandaikan sebagai perhimpunan ‘kasar’. Tidak kira polis ataupun peserta perhimpunan, masing-masing ‘sama naik’. Polis dilihat keras menggunakan kuasa, sementara mereka yang berhimpun tunjuk degil.

Sememangnya, budaya positif harus ditunjukkan dan diamalkan. Bukankah orang Malaysia memang diajar sejak kecil bersopan-santun? Maka, seharusnya dalam apa juga situasi kesopanan dijadikan teras dalam setiap tindakan.

Contohnya, apa yang dilihat penulis kali ini. Keadaan terkawal mungkin juga salah satunya kerana penggunaan bahasa dan intonasi percakapan yang digunakan. Baik pipolis mahupun pihak penganjur, nada suara dan gaya bahasa yang di­gunakan tidak keras.

Dari sebelum subuh penulis bertugas, sehinggalah prosiding keputusan mahkamah selesai, suasana di pekarangan mahkamah terkawal. Apa yang kedengaran hanyalah laungan kuat ‘Reformasi’ dan ‘Hidup Rakyat’.
Sementara perkataan yang kerap penulis dengar daripada polis sepanjang mereka bertugas adalah ‘tolong’, ‘sila’, ‘maaf’, dan ‘terima kasih’.

Berdasarkan pengalaman, kali ini penulis berasa tertarik sangat cara polis memberi arahan kepada perserta perhimpunan.

“Minta maaf semua, sila beri kerjasama. Diminta supaya semua peserta perhimpunan berada di kawasan berhimpun yang dibenarkan. Terima kasih,” kata seorang pegawai polis menerusi alat pembesar suara.

Pihak penganjur juga mempraktikkan hal yang sama. Antara arahan yang diberikan pihak penganjur kepada peserta perhimpunan yang mana mengambarkan penerimaan baik turut kedengaran.

“Kepada semua, minta beri kerjasama. Kita ikut arahan polis. Sila bergerak ke kawasan ditetapkan.”

Melihat kepada keadaan ini, penulis dapat simpulkan bahawa, perkataan adalah salah satu elemen penting dalam berbahasa. Jika perkataan atau ayat yang digunakan positif, maka respons diterima juga sama.

Walaupun, berlaku insiden letupan yang menggemparkan, bagi penulis itu bukanlah sesuatu yang dapat dijadikan alasan tunggal untuk mengklasifikasikan perhimpunan 901 sebagai satu perhimpunan tidak aman. Kerana ia adalah dua perkara berbeza. Bagi penulis, hal letupan adalah satu cerita lain dan perhimpunan yang berlangsung secara aman adalah satu kisah lain.
"
Sepanjang 11 jam penulis bertugas di lokasi, apa yang hendak dikongsikan adalah kerjasama pihak penganjur mengendalikan perhim­punan dan kematangan pihak polis dalam mengawal keadaan. Teknik persuasive communication digunakan ternyata berperanan penting.

Bagi penulis ini, adalah satu daripada petunjuk positif yang diperlihatkan. Kata-kata dan bahasa adalah kunci utama dalam memastikan keadaan panas menjadi dingin.

Teringat ungkap ‘Bahasa menunjukkan bangsa’ dan ‘ Kerana mulut badan binasa’ turut melintas di ruang minda.

Jam 12.24 petang, penulis meninggalkan lokasi. Sementelah bahan berita yang diingini diperoleh ditambah arahan polis supaya mengosongkan kawasan mahkamah berikutan letupan, penulis sempat terpandang dua anggota polis bercakap dengan lima peserta perhimpunan.

Antara mereka, tiada terlihat sebarang reaksi tegang. Sebaik melintasi mereka, penulis mende­ngar butir-butir perkataan yang dibicarakan.

“Alah encik, bagilah kami lalu kawasan ni, jauh tu kena pusing,” kata salah seorang perserta.

“Maaf encik, sini tak boleh lalu. Dah rentang halangan polis ni. Tolonglah bagi kerjasama, kami nak buat siasatan. Maaf ya,” jawab polis itu sopan.

“Alah... macam tu pulak. Oklah, terima kasih ya,” balas lelaki itu dan terus berlalu.

Walaupun, penulis tidak tahu perkara utama yang dipercakapkan, namun apa yang menarik, sekali lagi perkataan ‘tolong’, ‘minta maaf’, dan ‘terima kasih’ menerpa pendengaran. Untuk sekian kalinya, penulis tersenyum lagi.
“Budi bahasa, budaya kita,” penulis berkata perlahan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.