SHAH ALAM - Bulan Ramadan memberi peluang kepada umat Islam untuk melakukan amal ibadah sebagai alat untuk menggandakan pahala, mencari pengampunan dosa dan mendapatkan keberkatan dari Allah SWT.

Pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, amalan sunnah yang sering dilakukan Rasullah SAW di bulan Ramadan ialah bertadarus, membaca dan berkhatam al-Quran.

"Ini kerana pada bulan Ramadan turunnya Al-Quran. Tinggi ganjaran pahalanya bagi mereka membaca Al-Quran di bulan mulia ini seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

"Bersedekah juga antara amalan sangat mulia di bulan Ramadan. Sedekah boleh diberi dalam apa jua bentuk sama ada wang ringgit atau keperluan asas kepada mereka yang memerlukan dan setiap amal yang dilakukan ganjarannya berlipat kali ganda," katanya.

Menurutnya, umat Islam juga disarankan memberi makanan kepada orang yang berpuasa.

"Menyambut atau memberi hidangan kepada orang yang berpuasa antara amalan yang dilakukan Rasulullah dan harus diikuti serta dijadikan sebagai satu ibadah.

"Rasulullah SAW bersabda, barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu," katanya.

Tambahnya lagi, beriktikaf di masjid lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan antara ibadah yang boleh dilakukan umat Islam.

"Rasululllah sering beriktikaf pada awal, pertengahan dan sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.

Tetapi waktu yang penting melakukannya ialah 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan untuk mencari kehebatan malam lailatul qadar," katanya.

Kata Wan Akashah, ibadah umrah juga antara sunnah Nabi untuk dilakukan pada bulan Ramadan.

"Melakukan ibadah umrah pada bulan Ramadan amat disarankan kepada umat Islam kerana ganjarannya umpama menjalani ibadah haji. Rasulullah SAW bersabda, umrah di bulan Ramadan menyerupai haji," katanya.

Jelasnya, bulan Ramadan ini sebenarnya melatih kita untuk pandai menguruskan masa dan disiplin diri serta mengajar kita untuk capai matlamat dan sasaran.