• 500 kedai nasi kandar di Pulau Pinang
1 /

Nasi Kandar terkenal sebagai salah satu makanan utama dan paling popular negeri ini, kini lebih 500 kedai nasi kandar terdapat di seluruh Pulau Pinang. Siapa yang tidak kenal dengan keenakan lauk-pauk di kedai nasi kandar, termasuklah ayam ros, kari kepala ikan, kari kambing, waima kari burung puyuh juga sudah ada di kedai nasi kandar kini.

Sekadar cuba menyebut beberapa nama, Nasi Kandar Kapitan, Nasi Kandar Kayu, Nasi Kandar Khaleel, Nasi Kandar Kassim Mustafa, Nasi Kandar Dawood, Nasi Kandar Beratur dan Nasi Kandar Ramzan, sudah pun begitu terkenal di kalangan masyarakat tempatan dan juga pelancong luar negara.

Umumnya ramai yang sudah tahu perkataan bagaimana nama nasi kandar diperoleh, mengikut Naib Ketua Wanita Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang, Julaiha Begum Mohd Sultan berkata, sinonimnya dahulu akan ada lelaki yang memikul kayu dan digantung bersamanya dua bakul rotan yang mengandungi nasi. Perbuatan tersebut digelar mengandar dan dari situlah nama nasi kandar mula tercipta, bukan itu sahaja, pakaian tukang gandar nasi kandar ini juga ada caranya yang tersendiri.

“Mereka adalah peniaga Muslim yang memakai baju T berlengan pendek warna putih dan memakai kain pelikat yang ditarik sehingga ke paras lutut dengan diikat bersama tali pinggang berwarna hijau serta bersongkok.
“Tetapi tradisi itu sudah lama berubah dan kini semua nasi kandar sudah sedia ada di kedai dan dimasak secara banyak.

“Dahulu dalam satu pinggan nasi kandar akan diisikan dengan nasi, daging, kuah campur, bendi, telur rebus dan semestinya kari ikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kadeer berkata, nasi kandar telah mula wujud di negeri ini sejak ratusan tahun dahulu dan trendnya semakin berubah demi menepati cita rasa semua lapisan masyarakat. Oleh itu, terdapat pelbagai resipi yang terhidang enak di restoran nasi kandar, sama seperti di Kelantan, masyarakatnya meminati masakan berunsurkan manis. Jadi kebanyakan kedai nasi kandar ada menyediakan lauk yang agak manis seperti ayam madu.

Menurutnya, walaupun nasi kandar adalah antara makanan rakyat Pulau Pinang, namun tidak pernah ada satu platform yang diwujudkan bagi mempopularkan lagi makanan ini di mata masyarakat dunia khasnya.Penganjuran Festival Nasi Kandar bersempena dengan Festival Georgetown 2011 di Lebuh Queen, Georgetown pada 7 hingga 9 Julai lalu mencipta sejarah dalam memartabatkan menu itu di mata dunia.

“Sebelum ini, orang kata, Pulau Pinang dengan nasi kandar, malah seantero Malaysia sudah tahu negeri tersebut menjadi lubuk nasi kandar paling sedap. Dengan adanya festival tersebut, kami dapat menaikkan nama nasi kandar dan seterusnya menjadikan ia lebih serius dan bermakna,” katanya.

Haja Najmudeen berkata, walaupun kali pertama diadakan ia mendapat sambutan yang begitu hangat daripada peniaga dan orang ramai.

“Kemungkinan besar acara ini akan dijadikan acara tahunan dan selepas ini akan mendapat penyertaan yang lebih menggalakkan daripada peniaga seluruh negara,” katanya.


Mesra dan cepat

Penggemar nasi kandar, Sheikh Ali Sheikh Tahir, 43 berkata, tidak sah rasanya jika anak kelahiran negeri Pulau Pinang tidak tahu merasa keenakan nasi kandar. Nasi kandar menjadi hidangan wajib dia sekeluarga ketika mengunjungi mana-mana.

“Walaupun ada yang kata nasi kandar ini mahal dan macam-macam mereka kata, tetapi bagi saya lauk-pauk mereka ada identiti, tidak sama dengan orang lain.

“Jika dilihat pada keenakan rempahnya, ayam gorengnya, bukan sekadar ayam goreng biasa seperti di kedai lain, rempahnya cukup memikat selera dan bersesuaian dengan harga yang kita bayar,” katanya.

Pekerja kedai nasi kandar, Mahmood Basheer yang mula bekerja di restoran nasi kandar sejak 10 tahun lalu begitu handal memasak pelbagai jenis lauk nasi kandar.

Dia berkata, disebabkan layanan yang cepat membolehkan kebanyakan restoran nasi kandar dibuka 24 jam di sekitar negeri ini. Malah ramai pekerja sepertinya ramah dan sanggup melayan karenah pelanggan sehingga ke pagi.

“Itulah keistimewaan kedai nasi kandar pada masa kini, malah sudah banyak restoran yang selesa dan mempunyai penghawa dingin,” katanya.