‘PENYAIR, Alam dan Bisik pada Tuhan.’ Demikian tema yang akan diangkat menerusi Konvensyen Penyair Dunia 2018 (KONPEN 2018) yang julung-julung kali dianjurkan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) pada 20 hingga 22 Julai ini di CT Resort di Pantai Chap, Bachok.

Menurut Presiden Penyair, Dr A Rahim Abdullah, konvensyen yang julung kali diadakan itu akan disertai 11 penyair terkenal antaranya dari Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan Malaysia.

“Antaranya Dr Free Hearty (Indonesia), Dr Chong Ah Fok (Brunei), Dr Kang Myoung Shouk (Korea), Dr Zulkifli Ibrahim (Thailand), Zafri Ariff (Brunei) dan Dr Siti Zainon Ismail (Malaysia).

"Konvensyen ini juga wadah menjalinkan perkongsian dan kebersamaan idea antara pelbagai badan, pertubuhan, persatuan, penggiat seni serta khalayak awam dalam memartabatkan kesusasteraan tanah air di mata dunia," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penyair, alam dan bisik pada Tuhan]

Sempena acara ini banyak kegiatan seni akan diadakan seperti pembentangan makalah mengenai penyair, persembahan teater, pertunjukan budaya silat, wayang kulit, permainan wau bulan dan lawatan ke perkampungan nelayan.

Turut akan berlangsung ialah acara kemuncak Malam Bicara Puisi Dunia, Apresiasi Seni di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jejak Seni Budaya bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

KONPEN 2018 turut menerbitkan antologi puisi berjudul Wangian Kembang yang diselenggara oleh Norazimah Abu Bakar dengan Prof Rahman Shaari sebagai Ketua Editor.