• 1 juta baju, 2 juta karpet Selain boleh menawarkan harga, pekerja Jakel sentiasa ringan tulang untuk membantu pelanggan.
1 /

Jika menelusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman kala ini, semangat Hari Raya pasti menyerapi seluruh jiwa. Antara tempat yang boleh dikatakan bagai semut menghurung gula adalah gedung fabrik Jakel. Bagi kebanyakan pengunjung, inilah tempat terbaik bagi mendapatkan busana serba baru sempena lebaran yang kian hampir.

Menurut Pengarah Urusan Jakel, Mohd Feroz Mohd Jakel, promosi Hari Raya sedang giat dijalankan di kesemua cawangan. Mengakui sambutan tahun lalu amat memuaskan, tahun ini Jakel menawarkan jauh lebih banyak pilihan terkini pada harga berpatutan.

“Kelebihan kami pastilah kerana baju siap jahit menggunakan fabrik dari gedung sendiri. Malah kami menghentikan seketika pengeluaran uniform di kilang bagi memberi laluan kepada penghasilan baju kurung dan baju Melayu.

“Dianggarkan satu juta pasang baju telah diagihkan di kesemua cawangan untuk pilihan pelanggan Jakel seluruh negara,” katanya.

Tambah Feroz, kelebihan lain baju kurung dan baju Melayu yang dijual Jakel adalah corak terkini yang sukar ditemui di pasaran biasa. Fabrik yang digunakan juga lebih bermutu namun ditawarkan pada harga lebih rendah kepada pembeli.

Mengakui jualan kain ela berkurangan sebaik pertengahan Ramadan, pelanggan kini katanya lebih menumpukan kepada baju siap jahit untuk dipakai terus kala lebaran. Mengikut pemerhatiannya fesyen trend semasa yang sedang mendapat sambutan adalah kurung Pahang, kurung Riau dan kurung moden.

“Kurung sutera sifon kami paling laris dijual kerana harga ditawarkan cuma RM138 sepasang. Kami melebihkan pilihan fabrik dengan corak tidak berlebih-lebih dan ringkas jadi ia boleh digayakan tidak kira kala lebaran mahu pun pada hari-hari biasa.

“Pelanggan gembira apabila kami turut menampilkan samping bersama baju Melayu yang boleh dibeli pada harga bermula RM85,” katanya.

Bagi pelanggan yang inginkan samping berciri eksklusif, mereka boleh mendapatkan samping buatan tangan dari Terengganu yang berkualiti tinggi dan halus tenunannya. Begitu pun, samping buatan India dengan rekaan hampir serupa juga boleh didapati pada harga sekitar RM300.

Khusus ibu bapa yang mencari baju kurung atau baju Melayu untuk anak-anak pula, mata tentu rambang melihat aneka pilihan dengan corak unik dan menarik. Antara corak yang sedang digilai pembeli masa kini adalah corak polka dot.  

Aneka saiz

Dalam pada itu, Jakel turut menyediakan 2 juta karpet untuk dipilih pelanggan mereka di cawangan seluruh negara. Pada harga bermula RM29 sahaja sehelai, kesemua karpet didatangkan beraneka saiz dan mutu bagi memenuhi kesesuaian penggunaannya tidak kira di ruang tamu, bilik, ruang makan mahupun balkoni.  Turut ditawarkan tikar buluh, kayu dan  rotan pada harga rendah.

“Kami turut menjalankan cabutan bertuah di kesemua 19 cawangan Jakel sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.

“Selain cabutan bertuah mingguan, kami menyediakan hadiah lumayan iaitu Perodua Viva bagi pelanggan yang membuat belian RM1,000 ke atas, motosikal Naza bagi belian RM500 ke atas dan televisyen LCD sekiranya berbelanja RM250 ke atas,” katanya.

Feroz berkata, gedung Jakel biasanya mula dibanjiri pelanggan bermula petang Jumaat dan jumlah kian meningkat pada Sabtu dan Ahad. Pastinya rata-rata pelanggan tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli-belah di gedung fabrik terkemuka ini bagi merebut promosi raya yang hanya akan berakhir pada malam menjelang lebaran.