DATUK Dr Abdul Basit Abd Rahman, dikenali juga sebagai Ustaz Abu Anas Madani ini turut menghuraikan persoalan siapakah manusia terbaik dan terburuk  dan orang yang panjang umurnya, tapi buruk amal perbuatannya.

Abu Bakrah ada meriwayatkan, bahawa ada seorang bertanya kepada Rasulullah SAW: "Siapakah orang yang paling baik?"

Baginda SAW menjawab: "Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya." Dia bertanya lagi: "Siapakah pula orang yang paling buruk?" Baginda SAW menjawab: "Orang yang panjang umurnya, tapi buruk amal perbuatannya." (Riwayat Tirmizi)

TERBAIK & TERBURUK AMALNYA

"Orang yang paling buruk juga ialah mereka yang tidak dapat disedarkan dengan pesanan-pesanan ALLAH dalam al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda: "Antara manusia yang terburuk adalah seorang yang derhaka lagi kurang ajar, yang membaca kitab ALLAH namun tidak disedarkan oleh suatu pun daripadanya." (Riwayat Ahmad)

"Sabda Rasulullah SAW di atas menunjukkan bahawa amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim," jelasnya.

"Manusia terbaik dan manusia terburuk, sebagaimana disebutkan dalam hadis ini, ditentukan berdasarkan kualiti amal ibadat dan tempoh usianya. Disebut terbaik jika seseorang memiliki umur yang panjang dan sentiasa berada dalam ketaatan. Sebaliknya, gelaran manusia terburuk diberikan kepada mereka yang umurnya panjang, tapi kesibukannya adalah maksiat dan dosa kepada ALLAH.

Fikirkan:

1. Apakah kesibukan itu memberikan kebaikan yang mendatangkan pahala?

2. Adakah kita semakin hampir atau jauh dari ALLAH?

3. Bagaimana pula dengan usaha kita untuk mencapai reda ALLAH?

4. ALLAH melimpahkan nikmat yang tidak terhitung kepada hambanya. Apakah kita mensyukuri nikmat-nikmat itu dengan melakukan kebaikan atau sebaliknya?

Renung dan fahamilah petikan daripada Ibnu Kathir RHM yang berkata: "Hisablah diri kamu sebelum dihisab, perhatikanlah apa yang sudah kamu simpan daripada amal soleh untuk hari kebangkitan serta (yang akan) dipaparkan kepada Tuhan kamu." (Taisir Al-'Aliyil Qadir, 4/339)

PERLU DICARI

Pensyarah di Jabatan Syariah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) ini turut menjelaskan, hidayah terbahagi kepada dua kategori, iaitu:-

1- Hidayah dengan makna menunjuk jalan ke arah jalan yang benar dan memberi bimbingan melakukan kebaikan, ini adalah tugas rasul dan diikuti ulama dan pendakwah selepas tidak ada lagi nabi.

2- Hidayah memberi petunjuk dan menerima kebenaran. Hidayah jenis ini hanya ALLAH sahaja yang berhak untuk memberinya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Qasas ayat 56. Ayat ini diturunkan kepada Nabi SAW menjelaskan mengenai bapa saudaranya, Abu Talib yang dikasihi, yang telah berkorban menjaga dan membela Baginda SAW, tetapi enggan peluk Islam.

"Antara hidayah yang diberikan ALLAH kepada manusia ialah Hidayatul Aql (kemampuan berfikir, kemampuan untuk memahami suasana, memberikan persepsi, memberikan makna realiti yang tertangkap oleh panca indera). Akal dapat membantu kelemahan dan keterbatasan pancaindera manusia.

"Sementara Hidayah Ad-Din pula, ia adalah hidayah berupa petunjuk (ajaran agama). Fungsinya untuk membantu keterbatasan akal manusia. Agama menjelaskan hakikat kehidupan, kematian, kebahagiaan dan lain-lain. Yang mana semua hal tersebut (ghaibiyyah) tidak mungkin dapat difahami hanya dengan pendekatan akal," katanya.

Perihal ini turut dijelaskan dalam firman-Nya: "Sesungguhnya Kamilah yang memberi petunjuk." (Surah Al-Lail: 12)

ALLAH telah menetapkan hak untuk memberi petunjuk atau hidayah kepada manusia.

HIDAYAH AD-DIN

Hidayah Ad-Din terbahagia kepada dua bahagian:

a. Hidayah Dilalah; iaitu petunjuk hidup yang termaktub dalam kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Tujuannya agar manusia tidak tersesat dalam mengharungi kehidupan. Hidayah agama akan diperoleh jika manusia mahu mendapatkannya, sama ada orang Muslim ataupun kafir.

"ALLAH akan memberikan Hidayah Dilalah kepada semua manusia yang mahu mempelajari ajaran-Nya yang termaktub dalam kitab suci-Nya. Kerana itu tidak ada alasan bagi kita untuk mengatakan bahawa saya belum mendapat hidayah, padahal ALLAH telah menyediakan hidayah itu dalam kitab-Nya.

b. Hidayah Taufiq;  Hidayah yang sangat mahal, tetapi ALLAH telah berjanji kepada manusia akan memberikan hidayah-Nya kepada orang yang bersungguh-sungguh berjuang dan istiqamah taat pada hukum-hakamnya dalam mencapai tujuan dan cita-cita.

Hidayah Taufiq merupakan suatu kekuatan yang ALLAH berikan pada manusia untuk mengamalkan dengan bersungguh-sungguh apa yang telah diketahuinya. Atau dengan kata lain Hidayah Taufiq adalah Hidayah Dilalah yang kita amalkan.

"Misalnya kita sudah tahu solat itu wajib, ini adalah Hidayah Dilalah. Maka kita pun rajin melakukan solat, ini pula adalah Hidayah Taufiq. Kalau sudah tahu solat itu wajib, tapi tidak melaksanakannya, bermakna kita mempunyai Hidayah Dilalah tapi tidak punya Hidayah Taufiq.

"Hidayah Taufiq adalah hak mutlak ALLAH, iaitu kurnia ALLAH untuk hamba-hamba pilihan-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Qasas ayat 56," ulasnya beliau panjang lebar.

Menurut beliau lagi, antara kaedah untuk mendapatkan Hidayah Taufiq adalah dengan berdoa, beribadat, perbanyakkan amal soleh, serta berada dalam persekitaran yang kondusif.

Ciri-ciri orang yang mendapat Hidayah:-

1. Berasa mudah untuk beramal soleh.

2. Hatinya terbuka untuk menerima Islam, rajin beribadah dan menuntut ilmu.

3. Bersemangat dalam mempelajari ajaran agama.

4. Berasakan kerinduan kepada ALLAH.

5. Istiqamah dan ikhlas.

6. Sabar menghadapi ujian.

Apabila ALLAH meneguhkan hidayah, tidak ada yang dapat memalingkan dan menyesatkannya. Sedangkan hati setiap manusia itu berada di bawah kuasa-Nya.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya hati anak Adam (manusia), semuanya berada di antara dua jari dari jari-jemari ALLAH (yakni di bawah kuasa ALLAH), laksana hati yang satu, Dia arahkan ke mana saja yang Dia kehendaki." (Riwayat Muslim)

Maka sesiapa yang hatinya dijaga ALLAH dengan hidayah, tiada seorang pun yang boleh menyesatkannya. Kerana itu kita hendaklah sentiasa memohon kepada ALLAH supaya tidak menjadikan hati kita sesat setelah Dia memberi petunjuk dan kita juga memohon limpahan rahmat dari sisi-Nya, sesungguhnya Dia Yang Maha Pemberi.

Semoga tazkirah ini menginsafkan agar tidak lagi menangguhkan taubat dan kembali bersimpuh di hadapan ALLAH memohon hidayah dan taufik-Nya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.