DAHULU, ketika Dr Morsi yang dipilih oleh rakyat secara sah dilantik sebagai Presiden Mesir, beliau tidak meletakkan tajuk hudud sebagai salah satu senarai keutamaan yang beliau akan laksanakan di dalam pemerintahannya.

Inilah gambaran pendekatan yang diambil oleh Ikhwanul Muslimin. Hudud bukanlah agenda teratas yang dicanangkan kepada rakyat dalam penglibatan mereka dalam arena politik Mesir.

Nada yang sama dilaungkan oleh Parti El-Nahda di Tunisia. Hudud tidak menjadi polemik yang dibahaskan dari sudut pintu parti politik. Pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin dan Parti El-Nahda bijak menentukan apakah sebenarnya keperluan dan kehendak yang menjadi keutamaan rakyat ketika itu.

Agenda utama.

Agenda utama yang ditekankan bersesuaian dengan keadaan masyarakat dan negara ketika itu. Membaik pulih ekonomi, meningkatkan taraf hidup, mengemas kini sistem pendidikan dan memastikan pemerintahan negara dijalankan secara adil dan amanah adalah keperluan segera yang rakyat tagihkan.

Oleh sebab itu, hudud tidak dijadikan modal politik mereka untuk meraih sokongan undi rakyat dalam kalangan orang Islam. Sekiranya tajuk yang diangkat ketika membicarakan politik Islam hanya berkisar isu hudud, ia akan menjadikan ruang Islam yang begitu luas menjadi sempit. Keindahan Islam kemungkinan juga akan terperosok di belakang dan tidak jelas kelihatan, terutamanya kepada orang bukan Islam.

Lalu, jika menyebut perihal pemerintahan Islam, apa yang cepat terlintas dalam bayangan fikiran mereka ialah potong tangan, sebat, rejam dan sebagainya. Sedangkan wacana politik dan pemerintahan Islam jauh lebih luas daripada itu.

Gambaran sempit

Siapa yang memasukkan gambaran sempit ini dalam fikiran mereka yang bukan Islam? Bukan mereka yang memulakan laungan tersebut. Tetapi mereka memetiknya daripada suara-suara penceramah dan ahli politik yang berdiri di atas pentas parti.

Lalu, pandangan dan pendekatan yang dipilih oleh parti tertentu itu dianggap itulah pandangan keseluruhan Islam. Sedangkan hakikatnya jauh berbeza.

Jika orang bukan Islam menganggap hudud adalah satu-satunya agenda utama di dalam pemerintahan Islam, kita masih boleh fikirkan munasabah tanggapan tersebut. Keterbatasan mereka di dalam meneliti dan memahami ajaran Islam secara syumul dan komprehensif boleh menjurus mereka kepada kesimpulan tersebut.

Tetapi, jika ada sekelompok umat Islam yang terlibat di dalam gerakan Islam, dilihat hanya menjadikan topik hudud sebagai agenda utama yang sinonim dengan gerakan mereka, maka di sini ada sedikit ketempangan di dalam pendekatan yang diambil pada masa sekarang.

Lebih parah, apabila ada pihak yang memberikan pandangan berbeza dengan cara faham dan pendekatan yang mereka pilih dianggap telah menolak dan mengkritik ajaran Islam.

Jangan tolak hudud

Ini bukanlah bermakna hudud tidak termasuk di dalam agenda Islam. Tidak wajar seorang Muslim untuk menolak atau mempertikaikan hukum hudud. Hukuman hudud termaktub secara jelas di dalam al-Quran dan hadis. Justeru, mempertikaikan hukuman hudud bererti telah mempertikaikan hukum ALLAH SWT.

Namun, ijtihad di dalam memahami dan melaksanakan ayat-ayat berkaitan hukuman tersebut bukanlah hanya satu versi. Golongan ilmuwan Islam berbeza-beza di dalam mentafsir dan memahaminya selari dengan perbezaan zaman dan suasana.

Justeru, jika satu pendekatan yang dipilih oleh satu gerakan Islam, ia bukanlah sesuatu yang mesti diterima bulat-bulat. Ayat-ayat berkaitan hudud adalah wahyu, tetapi pendekatan di dalam melaksanakan ayat tersebut bukanlah wahyu.

Kesan buruk

Tajuk hudud yang sekian lama dibahaskan melalui kaca mata parti politik, telah memberikan kesan-kesan yang tidak baik terutamanya di kalangan ahli-ahli parti. Menolak pendekatan hudud yang mereka bawa difahami sebagai menolak Islam, maka tercetuslah peristiwa solat dua imam, tidak makan sembelihan, tidak hadir kenduri, tidak bersalaman, tidak direstui untuk berkahwin, dilabel munafik, pengkhianat dan sebagainya. Adakah ini keindahan Islam yang ingin ditonjolkan?

Terdapat banyak prinsip-prinsip yang indah di dalam pemerintahan. Tetapi ia seakan-akan tidak mendapat perhatian sebahagian parti politik yang bernama Islam. Keindahan tersebut seperti dilipat dan disimpan kemas di dalam laci. Hanya bendera hudud yang dikibarkan dan dijulang kepada masyarakat. Sedangkan dalam konteks sekarang, masyarakat lebih berhajatkan kepada perkara lain.

Keadilan dan Ihsan

Misalnya, ALLAH menyuruh menegakkan keadilan dan kesaksamaan. Ia menuntut kepada perlaksanaan undang-undang secara adil kepada setiap warga. Jika ada pihak yang kebal dan bebas melakukan onar kepada negara, tidak boleh diheret untuk dibicarakan, maka di manakah keadilan?

Sekiranya, hukum hudud ingin dilaksanakan dalam konteks sekarang, adakah semua warga dari semua tahap kedudukan akan diadili di bawah hukuman ini? Jangan sampai berlaku seorang ayah yang mencuri susu untuk diberi minum anaknya yang kelaparan dipotong tangan, sedangkan perompak berbilion-berbilion dan berhutan-hutan balak masih dicium tangan mereka.

Islam juga menekankan konsep al-Ihsan. Ihsan adalah konsep komprehensif yang menyentuh hubungan manusia sesama manusia, haiwan dan alam sekitar. Menunaikan kebajikan kepada rakyat, membela hak-hak orang kurang upaya (OKU), penjagaan alam sekitar, kebersihan dan sebagainya termasuk di dalam konsep ihsan yang dianjurkan Islam.

Amanah

Termasuk prinsip yang disarankan Islam ialah amanah. Apabila tajuk amanah dibincangkan dalam wacana politik Islam, maka ia menuntut kepada pentadbiran dan tata kelola kerajaan yang baik, adil dan jujur. Bersih daripada rasuah dan penyelewengan, berintegriti dan telus dalam menguruskan negara. Inilah keindahan Islam yang patut ditonjolkan dan diperjuangkan.

Inilah juga yang rakyat mahukan dalam suasana pada hari ini. Negara-negara yang  menduduki carta tertinggi di dalam senarai negara maju lagi berintegriti bukan kerana mereka sibuk memperjuangkan hukuman kepada penjenayah, tetapi mereka fokus kepada usaha melahirkan pemimpin yang amanah, menata kelola negara dengan adil, memerangi rasuah, meningkatkan kualiti pendidikan dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Mereka tidak tahu membaca dalil itu dan ini, tidak hafal hadis itu dan ini, tetapi apa yang mereka tahu ialah good governance. Perjuangan merealisasikan good governance di dalam pengurusan negara mereka, menjadikan mereka lebih Islamik  daripada sebahagian negara Islam.

*ABD RAZAK MUTHALIB, Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi Magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM