• Rahsia penganggur terbongkar Mohd Jasmani bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Lepar Hilir 1, Gambang, Rabu lalu.
1 /

KUANTAN - Dua bekas makanan ringan yang ditemui di bawah laci almari pakaian dalam sebuah bilik mendedahkan rahsia seorang penganggur mendapatkan wang apabila polis menemui 3,210 pil kuda dianggarkan bernilai RM80,000 tersorok di dalamnya, kelmarin.

Rahsia lelaki berusia 32 tahun itu terbongkar selepas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menyerbu rumahnya di Felda Lepar Hilir 1, Gambang, pada 31 Julai lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, suspek bersendirian di dalam bilik rumah yang dipercayai milik keluarga isterinya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun akhirnya lelaki itu mengalah dan berjaya ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek, polis tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang, bagaimanapun penemuan sebuah beg kecil di atas almari yang menyimpan kad pengenalan serta bekas gula-gula getah membongkar kegiatan sebenar lelaki tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas bekas gula-gula getah itu, polis menemui 10 biji pil kuda dan hasil siasatan lanjut suspek mendedahkan lokasi tempat dia menyorokkan bekalan dadah,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, penemuan dua bekas makanan ringan di bawah laci almari pakaian selepas ditunjukkan suspek membawa kepada penemuan 1,800 biji pil kuda dalam bekas pertama dan 1,400 biji pil dalam bekas kedua.

“Nilai pasaran dadah terbabit dianggarkan RM48,000,  bagaimanapun nilainya mencecah dua kali ganda jika dipasarkan secara runcit kepada penagih,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang sudah beristeri dan mempunyai seorang anak itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine, namun semakan rekod lampau dia tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah sebelum ini.

“Siasatan awal juga mendapati, suspek bergiat aktif mengedar dadah jenis itu sekitar gugusan Felda Lepar Hilir, Gambang dan Kuantan sejak Mei lalu,” katanya.

Mohd Jasmani berkata, soal siasat yang dilakukan pegawainya mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah daripada pengedar di sebuah negeri di Pantai Timur.