KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membidas tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bahan api petrol dan diesel sebanyak RM3.3 bilion setahun yang disalurkan kepada kira-kira 28 juta rakyat Malaysia sedangkan subsidi kepada syarikat korporat khususnya penjana tenaga bebas tidak terjejas.

Beliau mendakwa kerajaan BN cuba menyembunyikan angka sebenar pemberian subsidi kepada rakyat sambil memberikan gambaran palsu untuk menutup pembayaran subsidi kepada penjana bebas terbabit.
 

"Kerajaan memberi gambaran seolah-olah keadaan ekonomi negara dalam keadaan yang sangat sesak.
 
"Ramai tidak tahu dan kita kadang kala terkeliru dengan propaganda yang dibuat BN, sebab itu banyak berlaku manipulasi yang sehingga kini belum lagi diterangkan kepada rakyat dengan baik," katanya pada Forum 20 Sen di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini, malam tadi. 
 
Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan pada 3 dan 5 September lalu yang menaikkan harga bahan api petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen serta RON97 sebanyak 15 sen seliter.
 
Selain itu katanya, subsidi yang diberikan kepada rakyat jauh lebih rendah berbanding subsidi yang diperuntukkan kepada syarikat korporat.
 
"Setiap tahun kerajaan akan memperuntukkan subsidi gas sebanyak RM8 bilion kepada penjana bebas, subsidi gas-RM5-RM6 bilion kepada industri dan RM4-RM5 bilion untuk pampasan konsesi tol yang berjumlah RM17-RM19 bilion.
 
"Belanja subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat besar setiap tahun adalah tersembunyi dalam subsidi rakyat dan ia digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga minyak," katanya. 
 
Rafizi menegaskan sewajarnya kerajaan memotong peruntukan tersebut terlebih dahulu sebelum memotong subsidi minyak kepada rakyat.
 
Tambahnya pada 2009, jumlah subsidi petrol dan diesel hanyalah berjumlah RM9.9 bilion daripada RM20 bilion, manakala bakinya adalah untuk kegunaan LPG, gas dan elektrik oleh pihak industri.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.