AIDILFITRI tahun ini masih mengingatkan mereka tanpa kehadiran bekas ketua dan juga pelopor kumpulan Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, yang dianggap sebagai pemimpin yang berkaliber dan sentiasa memberi inspirasi kepada mereka.

Walaupun sudah empat tahun vokalis kumpulan nasyid Rabbani itu meninggal dunia namun kelapan-lapan ahli kumpulan itu ternyata masih merindui saat-saat indah bersama arwah.

Diketuai oleh Mohd Asri Baidul @ Ubaidullah bersama tujuh ahli lain iaitu Azadan Abu Aziz, Rahmat Syafie, Nazrul Azhar Tamrin,Lokman Abdul Aziz, Rithauddeen Yaakob, Zulkiflee Azman dan Muhammad Afandi Shabudin, akan tetap mengingati momen bersama arwah sebelum ini.

Malah bagi memperingati Allahyarham, setiap tahun,  mereka akan mengadakan majlis tahlil pada bulan Ramadan dan melawat kubur arwah.

Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia setelah rebah semasa raptai pada  sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), pada 13 Ogos 2009.

Seorang pemurah, pemaaf

Mengimbau momen bersama arwah, Mohd Asri Baidul  berkata, dia dan arwah rapat sejak di bangku sekolah lagi.

"Arwah sering mengeluarkan idea-idea yang bernas dan kreatif walaupun dia bukan seorang yang gemar bercakap banyak.

"Auranya masih terasa setiap kali kami melakukan persembahan," katanya yang kelihatan menahan sebak.

Menurutnya, arwah merupakan insan yang sangat pemurah, pemaaf, baik hati dan murah dengan senyuman. Malah sehingga kini dia terhutang budi dengan arwah kerana membawanya menyertai dunia hiburan, sekali gus bergelar penyanyi yang membawa lagu berunsur ketuhanan.

"Mungkin tanpa dia, saya tidak akan menceburi bidang muzik secara serius.

"Sikapnya  mudah bertolak ansur dan serasi menyebabkan kami mampu bertahan dalam dunia seni walaupun industri kita dibanjiri dengan pelbagai jenis genre muzik," kata Mohd Asri.

Menariknya mengenai arwah, Mohd Asri berkata, arwah tidak akan menolak sebarang permintaan orang lain selagi terdaya melakukannya.

"Beliau seorang yang patut dicontohi oleh generasi baru. Keperibadiannya membuatkan kita kagum dan senang dengannya," katanya.

Kekalkan tradisi ziarah        

Mungkin ramai yang kurang tahu, Rabbani merupakan kumpulan nasyid yang masih mengekalkan ahlinya sehingga kini. Meskipun ketiadaan Ustaz Asri, namun kumpulan ini masih mampu bertahan dengan ahli yang ada. Menurut Mohd Asri, sejak dulu, arwah sentiasa berpesan untuk menjaga antara satu sama lain. Setiap rezeki dikongsi sama rata, bahkan setiap masalah turut dileraikan bersama.

"Pendirian itulah yang membuatkan kami bertahan sehingga kini. Malah segala pesanan dan tunjuk ajar Utaz Asri ketika hayatnya bersama kami akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Insya-Allah kami akan terus mempertahankan hubungan dan ukhuwah antara ahli, serta Rabbani itu sendiri bagi meneruskan perjuangan asal kumpulan dalam memartabatkan muzik ketuhanan," katanya. 

Mohd Asri memberitahu, Aidilfitri ini juga memberikan kesempatan untuk mereka menziarahi antara satu sama lain. Malah amalan tersebut sudah lama dipraktikkan sejak arwah masih ada dan ianya diteruskan sebagai satu usaha untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka.

"Kebiasaannya kami berkumpul bersama keluarga di satu tempat, kemudian kami akan memutuskan untuk melawat rumah ahli yang paling dekat lebih dahulu.

"Jika hari-hari biasa kami sukar untuk berkumpul sedemikian, dan hanya berkesempatan meluangkan masa pada masa tertentu sahaja," katanya yang turut bertugas menyusun jadual kumpulannya.

Dalam pada itu, selepas seminggu Syawal, mereka akan berkonvoi melawat rakan dan saudara yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan Seremban.