• Nurul Izzah Anwar NURUL IZZAH ANWAR
1 /

SHAH ALAM - Di sebalik desas-desus Parlimen akan dibubar  bulan ini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menasihatkan rakyat yang berada di luar negara segera merebut peluang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Katanya, lebih sejuta warganegara yang berada di luar Malaysia mampu mengubah landskap demokrasi tanah air melalui pembuangan undi atau mendaftar undi pos.

Beliau juga berkata, sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rakyat yang berada diluar negara perlu segera mendaftar sebagai pengundi pos serta membuat semakan.

Tambahnya, jika pendaftaran telah dibuat, mereka diminta memaklumkan kepada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau undi yang bakal dilakukan.

"Ada kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada hujung bulan Februari, dan mengikut undang-undang baru berkaitan pengundi pos untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara seperti yang ditetapkan SPR, hanya mereka yang telah mengisi dan menghantar borang pendaftaran pengundi pos sebelum atau pada hari pembubaran akan dibenarkan membuang undi pos bila PRU13 berlangsung nanti.

"... lebih sejuta warganegara yang kini tinggal di luar negara mampu merubah landskap demokrasi tanah air, sama ada dengan mereka kembali ke sini untuk membuang undi atau dengan mendaftar sebagai pengundi pos.

"Jika anda sudah daftar, bolehlah memaklumkan kepada NGO seperti Bersih, My Overseas Vote dan Pakatan Rakyat untuk kami pantau," katanya dalam kenyataan media semalam.

Mengikut peraturan SPR, mereka yang menetap di luar negara perlu berada di Malaysia selama 30 hari dalam tempoh lima tahun lalu untuk mendaftar sebagai pengundi pos atau pengundi.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata perubahan yang dibuat oleh SPR terhadap sistem undi pos adalah tidak menurut perlembagaan dan satu bentuk diskriminasi.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk memboikot sistem pilihan raya walaupun tidak bersetuju dengan syarat baru yang telah ditetapkan SPR.

"Walaupun sistem ini tidak sempurna, memboikot sistem tersebut mendatangkan lebih mudarat dari kebaikan.

Mereka yang tidak dapat pulang, daftarlah sebagai pengundi pos. Masa terhad, dan hari pembubaran Parlimen sudah dekat," katanya lagi.