• Tok Mon mahu tanding lagi di Kuala Terengganu Penolong Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Negeri Terengganu, Nurul Ajleaa Azmi menyerahkan borang kertas pencalonan kepada Maimun Jusoh, hari ini. - Foto Bernama
  • Tok Mun mahu tanding lagi di Kuala Terengganu Tok Mun dibantu kakitangan SPR negeri sewaktu mengambil borang penamaan calon di Pejabat SPR Terengganu di Wisma Persekutuan, hari ini.
1 /

KUALA TERENGGANU - Tok Mun atau nama sebenarnya Maimun Yusof, 94, yang pernah bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2008, menjadi antara bakal calon yang terawal mengambil borang penamaan calon.

Tok Mun yang kelihatan masih sihat, menaiki prebet sapu untuk datang ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira jam 10 pagi tadi di Wisma Persekutuan bagi mendapatkan maklumat sebagai persediaan menghadapi PRU13.

Warga emas itu ketika ditemui pemberita berkata, dia berhasrat untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu sebagaimana sebelum ini.

“Alhamdulillah, Tok sihat lagi. Tok nak bertanding parlimen lagi, sebab ini amanah orang. Tok takut nak menanggung akhirat esok, dunia tak apa lagi. (Ini kerana) amanah orang lama-lama dulu.

“Semalam Tok tengok TV (sudah) bubar Parlimen. Sebab itu Tok mari (pejabat SPR) nak ambil borang. Adik (wartawan) jangan tanya soal menang atau kalah sebab Tok tak kisah menang atau kalah, Tok tetap akan bertanding sebab ini amanah orang,” katanya.

Pada PRU 2008, Tok Mun yang juga calon Bebas menggunakan simbol kunci, berjaya mendapat 685 undi namun tewas kepada Allahyarham Datuk Razali Ismail (BN) yang memperoleh 32,562 undi, manakala seorang lagi calon, Mohamad Sabu (Pas) memperoleh 31,934 undi.

Jelas Tok Mun, dia berhasrat untuk menggunakan simbol Kerajaan Negeri sebagai lambang partinya tetapi SPR menolak dan memintanya menggunakan simbol lain.

Ketika ditanya sama ada sudah bersedia dari segi kewangan, Tok Mun mengakui tidak mempunyai wang tetapi berhasrat untuk meminta bantuan daripada orang.

“Jangan soal pasal duit. Tok kalau tak ada duit, Tok mintak dengan orang, sikit-sikit. Jadi cukuplah. Anak-anak buahlah yang tolong. (Nak menang), Tok kena kempen lebih. Tok pandailah nak kempen macam mana,” katanya.