• SU Pas Selangor mahu kebajikan rakyat terbela Khairuddin (tiga, kanan) bersama Abdul Khalid dan pemimpin PR semasa sambutan Tahun Baru Cina.
  • SU Pas Selangor mahu kebajikan rakyat terbela Bersama penyandang Adun Paya Jaras, Dr Ir Muhammad Bushro Mat Johor, persaingan sihat menyebabkan Khairuddin disegani rakan dan lawan.
  • SU Pas Selangor mahu kebajikan rakyat terbela Sumbangan kepada rakyat sepanjang masa.
  • SU Pas Selangor mahu kebajikan rakyat terbela Sikap ramah dan ceria Mohd Khairuddin menambat hati pelbagai golongan termasuk anak-anak kecil.
  • SU Pas Selangor mahu kebajikan rakyat terbela Melawat kawasan di Dun Paya Jaras yang dilanda banjir.
1 /

ISTILAH ‘pantang berundur sebelum berjuang’ dipegang erat Penyelaras Dun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman walaupun statusnya sebagai calon Dun Paya Jaras masih samar-samar malah angin kencang membawa khabar bahawa Ketua Pemuda Pas Subang, Reduan Ismail bakal menggantikan beliau.

Namun khabar yang belum konkrit itu tidak boleh dijadikan asas untuk hilang semangat kerja malah beliau terus komited untuk memberikan khidmat bakti kepada penduduk di Paya Jaras.

“Kita terbuka menerima kritikan dan sentiasa memperbetulkan kesilapan kita. Segala cakap-cakap berunsur negatif adalah lumrah dalam mentadbir tetapi tidak sehingga menjejaskan tugas seharian bagi memastikan rakyat di Paya Jaras mendapat pembelaan serta bantuan kebajikan sewajarnya demi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Bagi Khairuddin, beliau tetap bersyukur kepada ALLAH SWT dan berpuas hati kerana selama dilantik sebagai penyelaras Dun ini beliau berpeluang membantu rakyat di Dun Paya Jaras menikmati apa yang sepatutnya.

Dalam isu calon pula katanya, siapa sahaja yang dicalonkan pucuk pimpinan parti, akan disokong dan dibantu dalam usaha memberikan kemenangan kepada Pas secara keseluruhannya.

“Saya terima apa sahaja keputusan Pas Pusat dengan hati terbuka. Soal penentuan calon adalah Pas Pusat dan terserah pada Pas Pusat untuk memilih siapa sahaja calon boleh menang yang difikirkan sesuai,” katanya.

“Tidak timbul rasa kecil hati atau bermusuhan dengan sesiapa jika tidak dicalonkan kerana tumpuan kita adalah berhadapan dengan BN, kita minta semua ahli Pas bersama berjuang mengekalkan kemenangan PR di Selangor,” katanya.

Lima tahun usaha keras

Khairuddin mengakui beliau belum berpuas hati dengan usaha yang dilakukan namun gembira melihat hasil usaha yang sedikit sebanyak meringankan bebanan rakyat setempat.

Setiausaha Pas Selangor itu tetap bersyukur walaupun tidak dapat membantu secara menyeluruh memandangkan beliau hanya penyelaras Dun yang tidak mempunyai peruntukan khas seperti Adun.

Keadaan ini sekaligus memberi peluang kepada rakyat untuk melihat keikhlasan Pas dan pemimpin akar umbinya membantu rakyat dalam apa juga situasi baik sukar mahupun senang.

Sepanjang tempoh sebagai penyelaras Dun, beliau cuba memberikan yang terbaik kepada rakyat terutamanya mengenalpasti perkara yang tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan BN dalam tempoh begitu lama.

Katanya, beliau memberikan perkhidmatan kepada semua  rakyat di Dun Paya Jaras tanpa melihat kepada latar belakang politik mahupun bangsa.

“Itu asas paling penting bagi kita. Kedua, Pas Dun Paya Jaras membawa slogan yang diuar-uarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu hasil Selangor untuk rakyat Selangor.

“Jadi dari situ kita bukan sahaja boleh menarik 642 undi tetapi lebih ramai lagi termasuk mereka yang dulunya tak kenal Pas. Sebab itulah kebajikan rakyat menjadi keutamaan kita,” katanya.

Beliau mengakui, masih banyak usaha yang perlu ditingkatkan tetapi dengan kemampuan yang ada, beliau tetap berjaya menunaikan amanah rakyat yang ingin melihat Dun Paya Jaras lebih baik dari sebelumnya.

Katanya, beliau berusaha membaik pulih jalan-jalan rosak selain menghulurkan pelbagai bantuan kebajikan kepada rakyat yang kurang bernasib baik dan memerlukannya.

“Walaupun tidak secara menyeluruh, setiap permohonan dan permintaan rakyat cuba saya selesaikan sedaya upaya mengikut kemampuan saya sebagai penyelaras Dun,” katanya.

Khairuddin berkata, segala usaha yang dilakukan beliau adalah membawa mesej kerajaan negeri yang begitu menekankan kebajikan rakyat melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Alhamdulillah, kita telah  berusaha memperbetulkan jalan, mendalamkan beberapa sungai di Paya Jaras ini, disamping membesarkan parit yang ada. Sekarang ini kita dalam proses mengeluarkan kelulusan tanah di Kampung Seri Indah ( bawah daerah Gombak) untuk penduduk di sana sekitar 500 lebih orang dan sudah diluluskan mesyuarat kerajaan negeri baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang diperoleh daripada kerajaan negeri, diagihkan ke saluran yang betul dengan memfokuskan kepada kebajikan kerana kebanyakan penduduk datang meminta bantuan persekolahan anak-anak, mendapatkan rawatan dan sebagainya.

"Kebanyakan di Paya Jaras ini lebih kepada masalah kehidupan rakyat, jadi kita cuba bantu mereka. Selain itu kita bagi bantuan ke surau, masjid, sekolah, pelajar cemerlang termasuk program MES dan yang paling popular Jom Shopping,” katanya.

Program bergerak seiring

Sejak dilantik Penyelaras Dun Paya Jaras, pelbagai program kerajaan negeri dan parti disusun atur agar rakyat mendapat manfaat dan maklumat yang berguna.

Khairuddin berkata, program dan aktiviti yang disediakan banyak dibantu dan digerakkan oleh semua ketua kampung dan cawangan-cawangan Pas di Dun Paya Jaras.

“Pendekatan kita dengan pendekatan kumpulan Muslimat  Pas di mana mereka bergerak dari rumah ke rumah menziarah orang sakit, meninggal dunia, kenduri-kendara, bersalin.

“Ada program ceramah umum, penerangan, seminar, pemeriksaan kesihatan dan sebagai. Semua program ini bergerak aktif setiap minggu dan berterusan sehingga hari ini,” katanya.

Keperluan rakyat diutama

Menceritakan situasi semasa di Paya Jaras, Khairuddin tidak menafikan isu tanah adalah perkara berbangkit sejak bertahun-tahun lama memandangkan masih banyak rumah belum memiliki geran tanah dan sebagainya.

Saban hari beliau berusaha menangani masalah tersebut dengan bantuan pelbagai pihak namun tempoh lima tahun yang agak singkat itu menyukarkan proses tersebut dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya, proses yang panjang adalah cabaran besar tetapi sekiranya dibantu oleh kerajaan sebaik mungkin dalam tempoh setahun boleh diselesaikan.

“Isu tanah sangat relevan dan sangat mendesak di Paya Jaras ini kerana banyak rumah masih belum ada geran lagi, itulah tumpuan kita dari awal lagi dengan berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah tanah.

“Jadi memandangkan lima tahun pertama ini sangat terhad, kita yakin perkara ini boleh diselesaikan dalam tempoh lima tahun kedua ini,” katanya yang mengharapkan kemenangan berpihak kepada Pas pada PRU13 tidak lama lagi.

Selain itu katanya, infrastruktur di Paya Jaras juga masih ada yang ketinggalan dengan jalan rosak serta kerap berlaku banjir di beberapa kawasan di situ.

“Kampung di sini kampung tradisi, bila buat rumah tiada saliran atau parit. Itu masalah yang kita berusaha selesaikan, penambaikan dan penstrukturan semula kawasan ini,” katanya.

Kebajikan rakyat terbela

Beliau berharap kerajaan negeri Selangor sekarang ini terus kekal agar dapat meneruskan kesinambungan program kebajikan yang dilaksanakan sebelum ini.

Baginya, tiada yang menggembirakan selain melihat rakyat menikmati hasil negeri malah itulah penghargaan kepada rakyat yang memilih beliau menjadi wakil rakyat di situ.

“Kita tetap dengan kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah dan menaik taraf infrastruktur. Meneruskan kebajikan, maksudnya meneruskan perancangan yang disusun atur sebelum ini,” katanya.

Memandangkan sepanjang tempoh lima tahun itu beliau sudah menjelajah ke seluruh kawasan di Paya Jaras, beliau berharap usaha tersebut dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun kedua ini dan akan berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat di situ.

“Semua sudah jelajah, kenal pasti masalah di setiap kawasan. Secara umumnya kampung-kampung kita sudah turun. Kita tahu masalahnya setiap kawasan dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaiannya.

“Jika diberi peluang, kita akan membantu menyelesaikannya serta Pas Paya Jaras menyediakan pelbagai perancangan untuk penduduk kawasan ini. Dan apa yang penting, kita membantu tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya.