• Suhaimi Md Saad Suhaimi Md Saad
1 /

KUANTAN - Penyertaan ulama sebagai calon akan membuatkan  Pilihan Raya Umum (PRU13) lebih berwarna-warni dan dipercayai mampu membuatkan sistem pemerintahan negara lebih mantap.

Sama ada parti Pas atau Umno, kedua-duanya menyokong penyertaan ulama dan dilihat membawa banyak manfaat kepada kepimpinan serta rakyat.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Suhaimi Md Saad berkata, sebelum Umno menyatakan persetujuan penyertaan ulama dalam PRU, Pas sejak dari dulu lagi sememangnya bertunjangkan ulama sebagai pemimpin.

Menurutnya, selain kepakaran golongan profesional, ilmu golongan ulama adalah penting untuk sesebuah kepimpinan.

“Memang sebelum ini Pas menampilkan kepimpinan ulama dan kita memberi ruang yang cukup luas kepada golongan ini.

“Istimewanya, Pas memang meletakkan golongan ulama sebagai pemimpin dan kita tidak pinggirkan juga golongan profesional," katanya.

Dengan gabungan ulama dan profesional, kata Suhaimi, ia diyakini mampu memimpin negara dengan sistem lebih sempurna.

“Bagi PRU13, kita akan saksikan suasana lebih berwarna-warni dengan penyertaan calon ulama dan profesional,” katanya mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyokong ulama bertanding pada PRU13.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pahang, Datuk Abu Jimi Samat turut menyatakan persetujuan dengan kenyataan itu, namun berpendapat ia bergantung kepada ulama untuk membuat pilihan.

“Saya bersetuju dengan cadangan ini dan terserah kepada ulama untuk mewakili mana-mana parti.

“Lebih ramai berlatar belakangkan ulama lagi bagus dan ia membuatkan sistem politik negara lebih seimbang," katanya.

Katanya, jika zaman khalifah memang golongan ulama dan umarah sekali gus tetapi zaman politik moden ia berasingan.

“Dengan terlibatnya golongan ulama dan umarah ia akan mewujudkan kebaikan kepada sistem politik,” katanya.